86 Jam Gangguan Bekalan Air, Ini 7 Panduan Boleh Jimatkan Penggunaannya!

Share

Baru-baru ini, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), ahli kumpulan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2). Ia akan dilaksanakan pada 24 April dan dijangka berakhir pada 27 April ini.

Susulan perkara berkenaan, penduduk di beberapa kawasan di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Petaling, termasuk Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air sementara.

Kerja-kerja penambahbaikan bermula dari 9 pagi hingga 11 malam iaitu selama 14 jam akan menyebabkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna.

Tips Jimatkan Penggunaan Air

Berikut merupakan antara tips yang boleh amalkan semasa ketiadaan air dari 24/4/19 – 27/4/19 (86 Jam) sebagai panduan.Panduan ini boleh digunakan setelah berusaha menyimpan air yang sepatutnya.

1.Wudhu

Amalkan guna sebotol air mineral sahaja ketika wudhu’ seperti yang diajarkan kepada jemaah haji ketika di Mina. Boleh wudhu’ 1x sahaja bagi setiap anggota dengan syarat yakin bahawa air sampai ke anggota wudhu’ dengan sempurna.

Caranya, air diletak diatas tapak tangan dan diratakan keseluruh anngota wudhu’.Ketiadaan/kekurangan air dianggap darurat. Maka dibolehkan bagi yang tidak ada masalah kesihatan menghimpunkan solat dalam 1 wudhu’. Contoh zohor dengan ‘Asar. Maghrib dengan Isyak. Hanya perlu dijarakkan masanya antara 1jam atau yang mampu.

2.Masak

Sediakan masakan yang boleh disimpan untuk hari-hari tersebut. Hanya perlu dipanaskan atau ditambah isinya.Menyimpan makanan yang mudah dimasak ketika kekurangan air seperti sardin, maggi dan yang sesuai dengannya.

Jika ayam, ikan dan lain-lain yang hendak digoreng hendaklah dicuci dan siap dirempahkan sebelum disejuk bekukan.Sayur dicuci tanpa dipotong sebelum disimpan.Rempah seperti bebawang dan cili dicuci sebelum disimpan.

Sebaiknya elak makan di kedai mahupun beli di gerai kerana boleh diragui tahap kebersihan dan cara memasak sewaktu ketiadaan bekalan air ini. Malah boleh mengelakkan masalah kesihatan seperti keracunan makanan juga.

3.Makan

Gunakan pinggan yang dilapik dengan plastik/daun. Selesai makan hanya perlu buang plastik dan daun sahaja. Sudu/garfu juga boleh guna yang pakai buang.

4.Sediakan air minuman secukupnya

Ini penting bagi mengelakkan kekurangan air dalam badan. Jika tak sempat masak air, sediakan bekalan, beli air mineral secukupnya. Sebaiknya beli awal, kerana sewaktu gangguan bekalan air ni, air mineral sangatlah ‘laris’ dan selalu tiada stok!

5.Tandas

Perlu ingat kembali pelajaran beristinjak untuk menjimatkan air. Jika tidak tahu, maka perlu sediakan air secukupnya untuk bersuci kerana ia perkara penting yang melibatkan ibadah solat. Pastikan tidak guna air mustakmal ketika bersuci. Paling penting tidak membazir.

6.Mandi

Berusaha mandi dengan 1 baldi besar air sahaja. Letak ditempat yang tidak terkena percikan air yang kotor ketika mencuci anggota badan. Cara mandi, basahkan badan, sabunkan dan gosok rata-rata. Gosok gigi dengan seceduk air. Setelah selesai jiruslah seluruh badan dengan sempurna.

7. Elak Kerja Guna Banyak Air

Elakkan melakukan kerja-kerja yang guna banyak air dalam tempuh berkenaan.Contohnya membasuh baju, cuci kereta dan sebagainya.Tumpukan penggunaan air kepada perkara perlu sahaja dan jangan sampai menjejaskan ibadah solat.

Sekiranya diri kita mampu membiasakannya dengan mengamalkan panduan yang baik, maka dapat mengurangkan bebanan ketika ketiadaan air.Jangan sesekali mengeluh dengan menyalahkan keadaan. Sebaliknya kita diajarkan supaya beringat bahawa air amat berharga dalam kehidupan.

Bersyukurlah hanya diberi 4 hari sahaja tanpa air. Semoga mampu mendidik diri kita agar lebih berhemah dalam menggunakan air seharian.

Semoga memberi manfaat!

Published by
Suhaidah Abd Wahab