85 Hari Bertugas Tanpa Henti, Sarjan Azahar Bersyukur Dapat Sambut Hari Jadi Anak

Share

Terima kasih kepada semua barisan yang tekah bertungkus-lumus menjaga negara sepanjang Covid-19. Jasa kalian sudah tentu tidak mampu dibalas. Op COVID yang telah berakhir nenberi nafas lega kepada barisan hadapan.

Bersyukur kepada Allah selepas 85 hari bertugas tanpa henti, Sarjan Azahar lega apabila dapat menunaikan impian anak bongsunya untuk menyambut hari jadi bersama.

Op COVID Berakhir

“Alhamdulillah. Lega. Segala tugasan Op COVID berakhir malam ini. Dapatlah saya menyambut hari lahir anak bongsu yang ke-11 Jumaat ini.”

Demikian luahan Sarjan Azahar Ayub, 54 tahun, Penolong Pegawai Penyiasat yang bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Selepas bertugas selama 85 hari tanpa henti, beliau merupakan antara yang paling gembira apabila dua sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini ditutup sepenuhnya jam 12 malam tadi.

Sebak Malam Terakhir Bertugas

Katanya, anak bongsunya, Mohd Aniq Hanafi Azahar, 11 tahun, tidak henti menghubunginya sebaik mengetahui malam tadi adalah malam terakhir dia bertugas di SJR tersebut.

“Anak saya sibuk minta hadiah. Cuma saya seorang saja yang belum beri dia hadiah. Abang-abangnya semua dah beli hadiah untuknya, tempah melalui dalam talian, hantar terus ke rumah.

“Sebab itu dia asyik menelefon saya bertanya, saya nak beri hadiah apa. Saya pun belum beritahu dia apa saya akan berikan sebagai hadiah, saja buat kejutan. Biasanya saya akan belikan kek pada hari jadinya,” katanya.

Dapat Hadiah Kek

Azahar juga turut berterima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang sudi menyambut hari lahirnya di sekatan Plaza Tol Alor Setar Selatan pada 28 Mei lalu.

Malah, malam tadi juga, Azahar bertuah apabila seorang jururawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berhenti di sekatan itu semata-mata untuk menghadiahkan kek bertulis ‘TQ Frontliners’ kepadanya di atas pengorbanan mereka membantu memutuskan rantaian COVID-19.

Katanya, sepanjang 34 tahun bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Op COVID adalah tugasan paling mencabar dan akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidupnya.

“Memang mencabar. Banyak kerenahnya berdepan dengan orang awam. Yang faham, fahamlah, tetapi yang tak faham, itu yang timbulkan macam-macam masalah.

“Walaupun kerajaan dah umum tak boleh rentas negeri, dia rentas juga. Apabila mereka sampai di sini, kita terpaksa keluarkan saman,” kata Azahar.

Bersedih Dengan Kematian Ketua

Sementara itu, bagi Sarjan Syarifah Norshila Syed Mohamad, 31 tahun, dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kota Setar, Op COVID ini sesuatu yang amat menyedihkan buatnya apabila ketuanya terkorban dalam nahas pada 19 April lalu.

Katanya, mendiang ASP Aldrin Gonda terbabit dalam kemalangan ketika dalam penugasan COVID dan meninggal di tempat kejadian.

“Masa dapat tahu itu, saya terus bergegas ke hospital. Dan saya dapat hantar jasadnya terus ke KLIA. Saya menyaksikan kerandanya masuk ke dalam kargo. Pengalaman pertama bagi saya. Tak pernah dialami sebelum ini, perkara seperti itu terjadi terhadap bos kita,” katanya.

MW: Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa-jasa barisan hadapan. Terima kasih. 

Somber/ Foto: Astro Awani

Published by
Syazwani Mehat