Rezeki kelahiran anak merupakan anugerah terindah daripada tuhan. Setelah sekian lama bertahun-tahun menanti kehadiran cahayamata, rupanya tanpa disedari telah hamil dan kandungan telah sarat dan hampir melahirkan anak.
Selepas hampir lapan tahun menunggu penuh sabar, pasangan suami isteri, Nor Hidayatul Ilham Mohd Kamaruddin, 28, dan Helmy Hafiz Ab Aziz, 33, akhirnya dikurniakan cahaya mata perempuan 3 Disember lalu.
Kelahiran bayi diberi nama Nur Medina Ilham itu memberi rahmat buat pasangan itu selain kejutan berikutan Nor Hidayatul hanya menyedari dirinya hamil ketika kandungan berusia lapan bulan.
“Sekitar Mac dan April lalu, saya kerap tidak sihat kerana dijangkiti Covid-19, muntah-muntah juga pening kepala, tetapi tidak terfikir ia disebabkan hamil memandangkan sudah dua tahun tidak datang haid.
“Awal Oktober lalu, saya dapat rasa ada pergerakan pada perut dan bertanyakan pada ibu saudara. Namun dia mengandaikan saya lapar kerana kebetulan sedang dalam fasa diet ketika itu.
“Saya bertanyakan pula kepada seorang lagi ibu saudara yang bekerja sebagai jururawat.
“Dia dapat merasakan saya hamil selepas mengusap perut saya.
“Bagi mendapatkan kepastian, saya lakukan ujian kehamilan sendiri dan terkejut apabila didapati positif hamil. Tengah hari sama, saya pergi ke klinik untuk imbasan dan mendapati kandungan sudah memasuki usia 32 minggu,” katanya.
Nor Hidayatul Ilham sebak selepas diberitahu doktor berita gembira itu kerana sudah lama dia dan suami, Helmy Hafiz menginginkan zuriat.
Katanya, kehamilan itu memang di luar jangkaannya kerana selepas berkahwin, berlaku perubahan hormon yang menyebabkan tempoh datang haidnya tidak stabil.
“Dua tahun pertama perkahwinan, saya ikut saranan doktor untuk hamil, tetapi tiada rezeki kerana berat badan makin bertambah menyebabkan hormon semakin tidak stabil.
“Doktor selalu beri cadangan untuk saya diet dan turunkan berat badan cuma saya baru memulakannya awal tahun ini.
Apapun, Nor Hidayatul Ilham bersyukur kerana doanya dan suami untuk menimang cahaya mata seperti pasangan lain dimakbulkan Allah SWT.
“Terima kasih juga kepada yang mendoakan terutama selepas rakan saya, Shamimi Shamimi Shamsudin muat naik video di TikTok,” katanya yang turut mendoakan pejuang garis dua lain dikurniakan cahaya mata sepertinya.
Baca Lagi Di Sini:“Alhamdulillah, Syukur Sangat,” Semua Teruja Dr Halina Hamil Anak Ke-7!
Mesti Baca:8 Tip Peluang Hamil Anak Kembar, Perkongsian Oleh Dr Hamid Arshat
Artikel Menarik:Penantian 6 Tahun, Hamil Anak Pertama, Ibu Muda Reda ‘Seri Muka’ Pergi Dekat Baby
Mingguan Wanita : Alhamdulillah, rezeki dikurniakan anak selepas 8 tahun menanti kehadiran cahaya mata.
Sumber: Hmetro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.