8 Ragam Syawal, Seronok Berkumpul Bersama Sanak Saudara

Share

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Alhamdulillah, hari ini adalah hari keempat umat Islam meraikan hari kemenangan. Bagi yang masih berada di kampung, teruskan amalan kunjung-mengunjung yang sudah menjadi sebahagian tradisi masyarakat Melayu. Bagi mereka yang sudah pulang ke kota itu bukanlah alasan untuk tidak meneruskan sambutan Syawal.

Seperti mana orang lain saya dan keluarga juga meraikan Aidilfitri dengan penuh kemeriahan. Bukan sekadar pulang ke kampung, malah Syawal juga menjadi medan pertemuan sanak dan saudara. Apatah lagi buat mereka yang susah untuk mendapatkan cuti. Tatkala inilah peluang diambil untuk bersama anak-anak saudara.

Apabila semua keluarga berkumpul masing-masing ada kerenah tersendiri. Tapi disebabkan hari raya jadi tidak ada yang ambil hati apabila ada yang terlepas cakap, malumlah baru saja bermaaf-maafan pada pagi raya. Pengalaman hari raya rata-rata masyarakat kita lebih kurang sama. Di sini saya nak kongsi antara 8 perkara menarik sepanjang keluarga kami berkumpul. Walaupun ada kekurangan namun masing-masing tidak pernah serik berhari raya bersama-sama setiap tahun. Bila diingatkan momen ini, memang indah dan menjadi sejarah dalam kamus keluarga besar kami. Inilah Hari Raya kami!

 

1.Masih Berkumpul Walaupun Orang Tua Telah Tiada

Ibu dan ayah beserta abang sulung kami sudah tiada. Walaupun mereka telah tiada namun adik beradik yang lain tetap mengambil inisiatif untuk berkumpul bersama-sama. Malah anak buah arwah abang sulung kami juga akann beraya bersama-sama. Jadi hilanglah rasa sedih mereka pada arwah bapa dan ibu mereka yang sudah tiada.

2.Berkunjung ke Rumah Ibu & Bapa Saudara

Walaupun arwah ayah sudah lama kembali ke ramahtullah. Bagaikan satu tradisi arwah ibu semasa hayatnya akan membawa kami ke rumah ibu dan bapa saudara kami sebelah arwah ayah untuk beraya. Bila kami lewat sampai pakcik akan hubungi kami dan bertanya mengapa tidak datang beraya ke rumah mereka. Setelah arwah ibu tiada, kami akan berkonvoi bertandang ke rumah ibu dan bapa saudara di Melaka pada hari raya kedua.

3.Tidur Berhimpit

Menjadi tradisi kami semua sanak saudara, akan tidur di rumah ibu mentua kakak kedua yang kami panggil nenek di Tanjung Bidara. Tiada siapa pun dibenarkan menginap di hotel atau rumah rehat. Bayangkan, dengan jumlah adik beradik, anak saudara serta cucu saudara yang ramai kami semua perlu tidur di dalam satu rumah. Tapi hakikatnya pengalaman ini sangat menyeronokkan. Masing-masing akan tidur berhimpit. Pandai-pandailah cari port untuk tidur. Tapi kaum wanita dikhaskan tidur di dalam bilik.

4.Berborak Sampai Ke Pagi

Walaupun letih seharian berjalan raya namun masing-masing tak boleh nak lelapkan mata sebab seronok berborak-borak. Ada saja cerita yang akan dibualkan apatah lagi rumah nenek berdekatan dengan laut jadi sambil berborak kami mendengar bunyi ombak.

5.Berebut Bilik Air

Bila bangun tidur pula, masing-masing akan berebut gunakan bilik air. Memandangkan jumlah kami ramai, jadi masing-masing kena bersabar menunggu giliran untuk mandi. Mereka yang malas nak tunggu giliran tu ada yang sempat ke pasar dulu kemudian barulah mandi.

6.Gotong Royong Memasak

Memandangkan ramai orang dalam satu rumah, jadi masing-masing kena tolong memasak. Tak kira lelaki ke perempuan. Paling best bila masing-masing tunjuk skil memasak. Jadi bila tengah hari banyak juadah yang terhidang. Bila dah makan anak-anak terutama yang remaja kene basuh pinggan jadi makcik-makcik dan pakcik-pakcik bolehlah berehat.

7.Kira Duit Raya

Hari raya ni paling seronok sudah pasti kanak-kanak. Anak-anak saya sendiri rasanya dalam sehari lebih 30 kali mereka kira duit raya. Kadang-kadang tu sampai ada yang ‘menyakat’ dan sorokkan duit raya mereka. Apa lagi satu rumah bergegar bila masing-masing cari duit raya mereka yang ‘hilang’. Memang riuh rendahlah.

8.Main Bunga Api

Sebelah malam pula, masing-masing menunggu main bunga api. Yang kelakarnya ada yang sanggup tak nak tidur awal sabab menanti nak main bunga api. Gembira sungguhlah semua anak-anak dan cucu-cucu saudara yang masih kecil.

Ternyata Syawal tidak akan meriah jika masing-masing tidak berkumpul bersama sanak saudara. Amalan ini kami lakukan setiap tahun, agar anak-anak juga akan lakukan tradisi ini di kemudian hari. Selamat hari raya Aidilfitri!

Selamat hari raya dari kami sekeluarga!
Published by
Norhayati Suboh