Lagi beberapa hari kita akan menyambut Hari Raya. Dalam pada meraikan kemeriahan Hari Raya dengan penuh kesederhanaan tahun ini, mungkin ada yang tanpa sedar melakukan kesilapan-kesilapan ini.Sekaligus membuka ruang dan peluang menambah dosa.

Baca perkongsian daripada Dr Zaharuddin Abd Rahman ini.

8 KESILAPAN KERAP DI HARI RAYA [DENGAN PINDAAN RAYA ISTIMEWA 2020]

1) Sentuhan

Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi. Larangan ini disebut di dalam al-Quran dan kefahaman dari Hadis Nabawi. Disebabkan COVID tahun 2020 ini, ini mungkin akan sangat berkurangan.

2) Aurat & Ipar

Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah. Inti larangan ini ada disebut di dalam al-Quran dan kefahaman dari Hadis Nabawi. Disebabkan COVID tahun 2020 ini, ziarah menziarahi pasti berkurangan, maka hal ini juga turut dapat dielakkan pada raya kali ini.

3) Wangian Wanita

Kaum wanita memakai wangian semerbak dengan sangat kuat (sepatutnya cukup hanya sekadar tidak berbau busuk sahaja) dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram. Larangan ini dengan jelas disebut di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Nabawi. Disebabkan COVID tahun 2020 ini, beraya di luar rumah sangat terhad, maka tentunya hal ini juga turut dikurangkan. Wangian sesama adik beradik, tiada masalah.

IKLAN

4) Pakaian Wanita

Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai. Larangan ini dengan jelas disebut di dalam al-Quran dan Hadis-hadis Nabawi. Disebabkan COVID tahun 2020 ini, tiada banyak pakaian yang perlu ditayangkan namun ini masih berbangkit disebabkan keaktifan gambar dan video yang disebar melalui internet.

5) Adab di Kubur

Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga DUDUK di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin). Larangan ini berdasarkan kefahaman dari Hadis Nabawi. Disebabkan COVID tahun 2020 ini, ramai yang tidak balik ke kampung mungkin hal ini juga turut berkurangan.

6) Meninggalkan Solat

Meninggalkan solat kerana terlalu sibuk beraya di sana sini. Berdoa agar solat dijaga sebaiknya khsuusnya waktu COVID yang mana jangkitan dan kematian [bagi yang berisiko tinggi] adalah dalam tempoh 2 minggu sahaja.

IKLAN

7) Dosa Bertempoh

Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating lelaki perempuan, bersyahwat melalui telefon dan ‘chat’, berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

8) Mata Lelaki

Tidak menjaga pandangan mata sama ada terhadap wanita yang yang sedang bergaya dan menayangkan aurat mereka. Atau juga sewaktu berada di dalam rumah sudara mara, iaitu mengintai ke dalam bilik dan sebagainya.

Sebenarnya kesilapan-kesilapan ini turut berlaku secara kerap di bukan musim perayaan, tetapi sengaja di highlight akibat raya Aidil Fitri sepatutnya menjadikan kita extra sensitif dengan ruang dan peluang dosa, hasil tarbiah Ramadaniah.

IKLAN

Dr Zaharuddin Abd Rahman
28 Ramadhan 1441 H
21 Mei 2020

Baca Lagi Di Sini: 9 Perkara Sunat Dilakukan Pada Hari Raya Aidilfitri, Amatlah Rugi Jika Terlepas Pandang!

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat menjadi panduan kita. Sama-samalah kita mendidik diri dan hati daripada melakukan kesilapan-kesilapan ini pada hari raya sekaligus bagi mengelakkan dosa.

Sumber: Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI