Setelah hampir 8 hari bertarung nyawa, pelajar perempuan Tingkatan Dua yang dituduh mencuri telefon bimbit gurunya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas cuba membunuh diri, minggu lalu.
Memetik laporan Hmetro, lebih 500 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan rapat kepada mendiang M Vasanthapiriya, 14, yang meninggal dunia selepas cuba membunuh dirinya minggu lalu hadir memberi penghormatan terakhir sebelum mayatnya disemadikan petang, hari ini.
Vasanthapiriya disahkan meninggal dunia semalam di Hospital Seberang Jaya (HSJ) Butterworth apabila keadaan kesihatannya mula merosot sejak dimasukkan ke wad pada 24 Januari lalu.Suasana pilu menyelubungi kediaman ahli keluarga mendiang dengan tangisan dan air mata apabila tidak dapat menerima pemergian Vasanthapiriya apatah lagi pelajar tingkatan dua itu dikatakan pergi dalam keadaan kecewa selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya.
Ibu bapa mendiang, R Muniandy, 54, dan A Malaveily, 51, juga tidak dapat menahan sebak apabila dilihat sentiasa berada dekat dengan mayat anak bongsu mereka.Muniandy berkata, dia kesal sehingga kini guru yang dipertanggungjawabkan atas kematian anaknya masih tidak tampil berjumpa dengannya dan isteri bahkan menghilangkan diri.
“Saya cuba mencari dan menghubungi guru berkenaan tetapi dia mengelak daripada berjumpa dengan kami malahan turut menghilangkan diri hingga sekarang.
“Mengingati kembali apa yang diceritakan mendiang kepada seluruh ahli keluarga atas kejadian tuduhan itu membuatkan saya masih tidak dapat menerima apa yang berlaku terhadapnya” katanya.
Dalam kejadian 24 Januari lalu, pelajar itu, dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik guru sekolahnya.Pelajar tersebut juga ada meninggalkan nota kepada ibu bapanya, menafikan dia mencuri sebelum beliau ditemui tidak sedarkan diri.
Kejadian itu disedari bapanya yang membawa remaja itu ke hospital tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ), 3.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, menurut rakan kepada mendiang I Rubhasiri, 16, beliau percaya dan yakin M Vasanthapiriya, 14, tidak buat (mencuri) telefon bimbit guru. Rubhasiri berkata, dia berkawan rapat dengan Vasanthapiriya sejak mendiang memasuki sekolah sama, tahun lalu.
Katanya, sifat Vasanthapiriya yang peramah dan baik hati memudahkan sesiapa sahaja untuk mendekati dan berkawan dengannya.
“Mengenangkan persahabatan kami membuatkan saya sedih selepas menerima berita kematiannya dan terus bergegas ke rumahnya hari ini sebaik sahaja habis waktu sekolah untuk memberi penghormatan terakhir.
“Sehingga kini, saya masih tidak percaya apa yang sudah berlaku dan berharap ada keadilan untuk dirinya, namun saya yakin dia tidak melakukan seperti apa yang dituduh,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga mendiang Vasanthapiriya di Kampung Tong Hai, Nibong Tebal, hari ini.
Menurut Rubhasiri lagi, guru yang dipercayai menuduh Vasanthapiriya juga didapati tidak hadir ke sekolah sejak Jumaat minggu lalu.
“Saya tidak tahu sebab apa dia (guru) tidak hadir ke sekolah, namun berharap dia dapat berjumpa dengan keluarga mendiang untuk menjelaskan perkara sebenar” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan takziah buat keluarga mendiang dan semoga mendiang bersemadi dengan aman.Apa pun yang berlaku, siasatan sedang dijalankan semoga keluarga ini diberi kekuatan dan mendapat keadilan yang sewajarnya diatas kehilangan anak tersayang.
Sumber: Hmetro