Tahukah anda, di Arab Saudi sahaja terdapat lebih 400 jenis kurma! Itu belum lagi kurma yang berasal dari luar tanah Arab; antaranya kurma keluaran negara Mesir, Iraq, Iran, Tunisia, Pakistan dan California. Kurma sama ada jenis segar mahupun kering kaya dengan sumber antioksidan.
Amalan pengambilan kurma dalam diet harian mampu memberi keseimbangan gula dalam darah. Penyelidik juga telah mendapati, kurma juga bagus untuk mengurangkan tekanan darah, merupakan agen penggalak buat minda serta baik untuk membantu mengekalkan jisim tulang dalam tubuh.
Kurma yang merupakan manisan kegemaran Rasulullah S.A.W menjadi kudapan popular terutamanya ketika menjelangnya musim Ramadan. Buah yang memiliki nama latin dactylifera phoenix ini, diyakini mempunyai segudang keistimewaan dan manfaat yang sangat baik untuk tubuh manusia.
Berikut adalah LAPAN jenis kurma popular dari keluarga besar kurma yang sering mendapat permintaan ramai :
1. Kurma Ajwa (kurma Nabi)
Kurma ajwa adalah jenis kurma kesukaan Nabi berasal dari Madinah dan juga yang paling digemari oleh umat Islam di dunia. Ciri-ciri kurma ajwa yang asli adalah warnanya yang hitam pekat dan terdapat beberapa garis kecil. Kurma Ajwa tidak terlalu manis dan bertekstur lembut. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda tentang kurma ajwa ini:
“Barangsiapa mengambil tujuh butir kurma Ajwa pada pagi hari, maka pada hari itu ia tidak akan terkena racun maupun sihir” HR. Bukhari
2. Kurma Medjool (Majdoul)
Kurma Medjool banyak tumbuh di iklim yang panas dan kering seperti di Timur Tengah dan Afrika. Isi buahnya agak gemuk, lembab dan manis. Mengandungi serat dan mineral penting seperti potassium, magnesium, tembaga, dan mangan. Ciri-ciri kurma jenis ni berwarna coklat gelap. Rasanya sederhana manis dan berlemak sangat sesuai untuk membuat susu kurma.
3. Kurma Safawi
Kurma Safawi ada terdapat di Madinah dan Mekah. Berwarna coklat gelap, dan rasanya yang manis mirip dengan rasa kurma Ajwa, isi buahnya lembab dan bertekstur lembut. Sifat pohon kurma Safawi yang produktif, menjadikan kurma Safawi lebih mudah didapati berbanding kurma jenis lain.
4. Kurma Deglet Nour (Kurma bertangkai)
Kurma Deglet Nour berwarna kemerahan dan kekuningan, rasanya halus, tidak semanis dan selembab kurma Medjool. Deglet Nour adalah kurma yang paling banyak ditanam di Afrika Utara. Ia juga dikenali sebagai kurma bertangkai di Malaysia.
5. Kurma Mariami
Kurma Mariami berwarna coklat kehitaman, mempunyai rasa halus dan lembut. Kurma jenis ini banyak terdapat di Iran. Kurma ini popular kerana rasa yang manis, lembut dan harganya murah.
6. Kurma Muda (Rutob)
Rutob adalah kurma segar yang baru masak. Kurma ini memang agak sukar ditemui di Malaysia kerana sifatnya yang mudah rosak. Semakin enak rasanya, semakin tinggi harganya. Rutob tidak terlalu manis dan ranggup.
7. Kurma Mabroom
Struktur buah ini ramping, panjang, dan padat. Rasanya tidak terlalu manis. Kurma Mabroom kaya dengan serat, vitamin, dan mineral. Kurma Mabroom tergolong dalam kurma berharga premium (mahal).
8. Kurma Sukkary
Kurma Sukkary sangat manis dan lembab, dapat memberikan tenaga dengan cepat jika dimakan. Kurma jenis ni tumbuh di daerah Qaseem, Arab Saudi, warnanya hampir kemerahan ketika pertama kali mengering. Bila semakin kering, warnanya akan menjadi kuning keemasan.