
Isi Kandungan
ToggleCuti sekolah ni ramailah yang buat kerja kahwin. Yang anak dara dan teruna, dah merancang nak naik pelamin pun iya. Dah ada idea nak buat perkahwinan berkonsep macam mana?
Suami isteri, Syahrul Hisham Abdul Azim dan Nurul Asyikim Zakaria (Ekim Zakaria) ini, pernah viral kerja kahwin mereka. Bila mana pasangan pengantin merdeka viral ini mengenakan pakaian bermotif Jalur Gemilang dengan teman Merdeka Wedding waktu bersanding.
Sweet sangat momen Hari Merdeka untuk mereka tahun itu. Sampai bila-bila sambutan Merdeka, mesti akan jadi kenangan indah untuk pasangan ini. Mingguan Wanita hubungi Ekim untuk mendapatkan tip bagaimana mahu merealisasikan impian perkahwinan berkonsep.
5 Tip Rancang Impian Perkahwinan Berkonsep Ikut Tema Anda Suka
(Ini cara yang Ekim dan Syahrul buat ketika kerja kahwinnya pada 31 Ogos 2017. Anda boleh sesuaikan ikut citarasa tema pilihan masing-masing. Ideanya tetap sama)
Pertama : Dapatkan Persetujuan Kedua Belah Pihak
Plan #merdekawedding2017 2 bulan sahaja. Selepas perbincangan dan dapat persetujuan dari kedua belah keluarga, idea diteruskan.
Minta restu mak ayah kedua pihak terlebih dahulu baru mulakan susun atur langkah persiapan hinggalah ke hari perkahwinan.
Momen ini nanti akan menjadi kenangan untuk Ekim. Jadi Ekim tak hairan pun kalau tak pakai baju kahwin.
Kedua : Survey Tema Kahwin Dan Tengok Detail-detail Perkahwinan
Persediaan macam biasa. Survey tema kahwin. Memandangkan tarikhnya jatuh 31 Ogos jadi Ekim dan pasangan decide untuk buat #merdekaweddingday.
Dari situ, kami mula buat persiapan pelamin, photobooth, goodies bag bendera, set up baju bridemaid semua sampailah kek bendera.
Planning baju dalam masa sebulan saja. Jumpa tukang jahit, jahit dalam masa 3 minggu. Pilih tema photography dan video. Ini yang banyak memainkan peranan untuk menjayakan lagi wedding pilihan kami.
Ketiga : Kata Sepakat Boleh Mudahkan Halangan
Sebenarnye apa yang dirancang itu belum lengkap sepenuhnya. Sebab masing-masing ada kekangan masa untuk siapkan semua persiapan. Lagipun, Ekim sibuk dengan kerja.
Lepas siapkan setiap perkara, fikir dan decide last minute tapi terus capai kata sepakat. Saling percayai mempercayai jadi kekuatan pasangan.
Keempat : Tak Boleh Ikut Kepala Masing-masing
Selepas adanya kata sepakat, kena saling menerima pandangan. Tak boleh ikut kepala masing-masing. Bincang sama-sama sebab dalam kerja kahwin ini banyak hati yang perlu dijaga.

Kelima : Update Setiap Minggu
Setiap minggu bincang apa yang perlu ada masa perkahwinan nanti. Bekerjasama, tolong antara satu sama lain untuk jayakan lagi planning yang dibuat.
Keenam : Buat Apa Kita Suka
Paling penting buat sesuatu yang kita dan pasangan suka dan selesa. Bukan ikut cakap-cakap orang.
Ketujuh : Tetapkan Tema Study
Perlu tetapkan tema study kelebihan dan kekurangan tema kahwin tu terlebih dahulu, maksudnya ok atau tidak nak buat tema tu.
Semasa merancang, buat list persediaan dari awal sampai hingga hari kejadiaan. Sentiasa checklist apa dah siap, mana yang belum siap. Baru tak kelam kabut.
Foto : Facebook Page Sweetpictures
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Untungnya Lahai Tuan Rumah Dapat Penyewa Macam Ni..

Isi Kandungan
ToggleKalaulah setiap penyewa rumah tu berjiwa besar macam Puan Khairunnisa Hamzah dan suami, alangkah beruntungnya pemilik kediaman. Tau sebab apa? Bila mana beliau dan keluarga mengambil keputusan menyewa sebuah rumah ‘tinggal’ dan akhirnya mengubah rumah sewanya itu menjadi rumahku syurgaku.
Rumah sewa yang siap diubah suai oleh pasangan suami isteri ini cantik sungguh hasilnya. Bak kediaman resort yang ringkas dan menenangkan mata yang memandang. Waktu mula-mula nak masuk rumah sewa ini, Khairunnisa sedikit sedih.
“Macam mana saya nak tinggal di sini dengan rumah sebegini?” Tanya saya sedikit sedih dan minta belas kasihan. Ini kerana ketika itu saya sudah sarat 8 bulan mengandung. Setiap kali mengandung saya pasti muntah-muntah sehingga anak lahir.
“Memang beginilah keadaan rumah. Kami tak pernah buat apa-apa dari kami beli lagi. Jika tidak mahu, tiada masalah sebab ada saja orang yang mencari nanti. Sini memang orang cari rumah untuk disewa.”
Jawapan jujur tuan rumah buatkan pasangan suami isteri ini tekad membuat keputusan.
Nampaknya kami tiada pilihan. Masa itu ini saja rumah yang kami jumpa. Kerana di Melaka tidak seperti di kuala lumpur. Tiada langsung papan tanda memaklumkan rumah untuk di sewa. Hanya bergantung pada makluman jiran-jiran di kawasan tersebut sahaja. Tiada iklan di luar rumah.
Ini Cerita Sebenar Tentang Rumah Sewa ‘Tinggal’
Rumah ini tidak pernah didiami oleh tuan rumah. Sudah banyak tahun ia silih berganti bertukar penyewa. Penyewa terakhir meninggalkan rumah dengan kosong tapi tidak membersihkan sebaiknya. Lalang pula sudah tinggi sampai kepala saya yang tinggi ngam-ngam 150cm ini.
Untuk orang yang alahan seperti saya, sangat meloyakan. Bertambah pening dengan keadaan rumah yang tiada kabinet dapur. Hanya ada sebuah sink asas yang diberikan oleh kontraktor dahulu.
Namun, mujur tuan rumah tidak berkira. Selepas berbincang, tuan rumah setuju untuk kami modalkan deposit 2 bulan menjadi modal bikin rumah bagi nampak selesa seperti cat dinding, kerja-kerja pembersihan, betulkan kecacatan, tukar lockset, betulkan pagar dan sebagainya.
Baiknya Hati Tuan Rumah
Dan bulan demi bulan, tuan rumah masih berkompromi membenarkan kami bikin kan dapur di ruang tambahan sebelah rumah.
Kata tuan rumah “Buat lah apa nak buat”
Syukur kami dapat tuan rumah yang agak tegas tapi jauh di sudut hatinya, ada rasa belas kasihan.
Terima kasih pada tuan rumah kerana bagi kami menumpang setahun. Sebelum berangkat keluar, unifi juga sudah kami tarik kabel optiknya dari jalan masuk rumah. Kemudian kami hiaskan dinding dan perkakas rumah dengan barang yang elok.
Sudah prinsip kami setiap rumah ada bahasa dan jiwanya sendiri, kami tidak rasa mahu mengangkat atau mencabut segala barang apabila keluar dari rumah ini. Jika benar apa yang kami rasa, pasti orang lain turut merasa. Lalu kami menjemput tuan rumah untuk rasa suasana dalam rumah ini.

Lalu tuan rumah setuju untuk kekalkan semua di situ. “Saya bayar 3 kali lah ya. Jangan angkat barang-barang ni. Saya dah bincang dengan keluarga nak berpindah ke sini”
Alhamdulillah. Syukur.
Moga Kisah Ini Jadi Motivasi
Sudah 9 kali kami berpindah. Seronok dapat selesakan rumah menjadi kediaman.
Saya sertakan gambar sebelum dan selepas buat motivasi mereka yang sedang menyewa rumah orang lain. Usah bataskan kehidupan. Semua orang berhak hidup dengan sebaik nya walau di rumah sewa.
Sumber/Foto : Khairunnisa Hamzah , khairunnisahamzahara.blogspot.my
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Namanya KERJA, Memanglah Susah Bukannya Berehat…” Anak Muda Sekarang ‘Terlebih Manja’ – Irfan Khairi

Isi Kandungan
ToggleAnak muda sekarang dengan anak muda dulu-dulu jauh bezanya. Bukan saja dari segi tingahlaku tapi juga adab dan terlebih manja. Bagai langit dan bumi. Tapi tak semua anak muda sekarang macam tu bergantung pada sikap juga.
Kalau anak muda dulu tahu susah dan perit jerih dalam meneruskan kehidupan, sanggup bersusah payah dan kerja kuat. Tapi sekarang, kita boleh tengok mereka ini sangat manja.
Tambahan pula dengan teknologi semakin canggih, semuanya di hujung jari. Sementelah mak ayah yang terlalu mengikut apa kehendak dan kemahuan anak-anak sampai tak boleh bangkang.
Ini belum lagi dalam bidang pekerjaan dan memilih kerja. Boleh nampak anak muda sekarang tak secekal anak dulu-dulu. Tak boleh nak kerja berat-berat atau ditegur, lepas tu tak sampai sebulan, berhenti kerja sebab rasa bebanan banyak.
Kalau nampak yang bertahan pun hanyalah orang-orang lama, anak muda dulu yang tahu macam mana susahnya untuk mencari rezeki.
Perkongsian daripada Irfan Khairi ini ada betulnya. Anak muda sekarang terlebih manja terutamanya dalam pekerjaan.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: “Jadi Pemandu Treler Wanita Bukan Untuk Menunjuk, Jangan Perlekehkan Pekerjaan Halal Ini” – Siti Hajar
Ambillah Minima 3 HARI CUTI Untuk Tangani Stres Kerja, Bergembiralah & Tenangkan Diri!
Terlebih Manja, Anak Muda Mengeluh Kerja Susah
Anak muda kita… agak MANJA! Betul ke?
Beberapa hari lepas saya ternampak keluhan di media sosial, bunyinya lebih kurang…
“Kerja kat hotel, memang susah! Siapa yang pernah merasa je akan faham”. Tapi…
Kemudian, selang beberapa hari kemudian, terbaca keluhan yang lebih kurang sama…
Kerja kat KFC/Kilang/McD/Sales assistant kat mall dan sebagainya… semuanya dikatakan “susah”.
Kebanyakan keluhan ni datang dari anak-anak muda.
Pesanan saya:
Pertamanya: Dik, kerja memang la susah. Nama pun kerja, bukannya berehat.
Kedua: Anda yang berusia 30 ke atas, lebih-lebih lagi yang seangkatan dengan saya 40 tahun ke atas, perasan tak?
Anak-anak muda hari ni, macam… camne nak kata eh… “manja” sikit. Betul ke? Setuju?
Saya sebagai ayah kepada anak-anak muda baya-baya camni pun nampak perbezaan generasi baru ni, dan kita dulu-dulu.
Pengorbanan Seorang Ayah
Masa waktu pagi, semasa saya morning walk di kawasan rumah saya, terserempak dengan pekebun/cleaner kawasan tu.
Saya pun dulu pernah kerja sebagai tukang cuci selama 2 tahun sambil belajar.
Saya memang pun kenalnya tapi dah lama tak berbual. Seorang warga Sri Lanka yang dah bekerja sebagai cleaner di Dubai selama 8 tahun.
Saya tanyakan tentang keluarganya, 3 orang anak kecil dan isterinya berada di Sri Lanka. Cuma mampu balik ke Sri Lanka, setiap tahun sahaja.
Gajinya hanya RM1500 sahaja.
Tapi katanya, dia hanya guna RM200-300 sahaja sebulan dan selebihnya di hantar kepada keluarganya di Sri Lanka.

Katanya, dia memang tiada life. Hidupnya susah kerja dan hantar wang ke Sri Lanka sahaja.
Namun beliau bersyukur pada Allah kerana diberi peluang di Dubai. Dia tak akan dapat peluang begini di negaranya. Apatah lagi boleh hantar RM1000 lebih setiap bulan kepada keluarga.
Inilah pengorbanan seorang ayah untuk keluarganya.
Kerja memang susah, jauh dari keluarga pulak tu. Gaji pun bukan besar sangat.
Tapi tu lah…
Apa pendapat anda tentang anak-anak muda hari ini? Adakah ramai yang terlebih “manja”?
Dan mengapa ini terjadi?
Mingguan Wanita : Memang betul, jauh beza anak-anak muda dulu dengan sekarang. Tak tahan dengan cabaran tapi tak semua ye!
Sumber: Irfan Khairi
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Tak Sempat Bersalin Di Hospital, Detik Cemas Suami Jadi Bidan Terjun!

Isi Kandungan
ToggleSaat bersalin merupakan detik mendebarkan, baik bagi suami mahupun isteri yang mengalaminya. Semestinya melahirkan anak di hospital menjadi pilihan, dengan bantuan doktor, jururawat serta segala peralatan lengkap yang ada memudahkan proses kelahiran.Namun siapa sangka, seorang suami berhadapan detik cemas apabila terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ menyambut kelahiran anaknya sendiri di rumah.
Perkongsian pengalaman ini diceritakan oleh Fahmi Jamil, yang terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ketika isterinya bersalin baru-baru ini.
Fatihah Anak Papa!
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Tulisan kali ni agak panjang. Saya ambil masa yang lama untuk hadam apa yang berlaku dan menulis posting ini. Pengalaman terhebat dalam hidup saya yang takkan lupa sampai bila-bila. Hingga saat ni masih segar di ingatan setiap detik yang berlaku.
Bulan ni September 2019 ditakdirkan saya dan isteri menimang cahaya mata kedua. Sepatutnya isteri saya due date untuk bersalin pada 24/9 ini. Lebih kurang 2 minggu sebelum due date, semasa pergi check up rutin di Klinik Kesihatan Ibu Anak, doktor scan baby sudah turun dan standby get ready untuk bersalin. Bertambah sibuklah isteri selesaikan tugas di tempat kerja. Isteri saya yang saya kenal, tidak suka menyusahkan sesiapa walaupun suami sendiri. Jika boleh, dia tak mahu beban kerjanya ini nanti dipikul oleh orang lain nanti.
Saya pula semakin dekat due date, berdebar dia lain macam. Masa kelahiran pertama dulu takda rasa begini. Kadang kadang nervous dia tu lebih dahsyat dari perasaan ketika nak akad nikah dulu. Ibu yang nak beranak bapa yang terlebih. Selalu rasa tak senang duduk.
Isteri Mula Rasa Sakit Bersalin
Hari Ahad 14/9, pagi jam 2, isteri mula rasa sakit. Dia ingatkan sakit yang biasa sahaja. Sakit lagi jam 4, dia bangun dan tak boleh tidur. Masa ini dia belum lagi kejutkan saya tengah tidur. Dia sempat siapkan makanan untuk Qilah, anak perempuan kami yang sulung. Memang isteri saya akan siapkan makanan setiap pagi untuknya dibawa ke pengasuh.
Dia kejutkan saya jam 5.15 pagi beritahu siap siap ke hospital sebab rasa macam nak bersalin. Saya lantas bangun dan tanya, sempat mandi dan subuh tak? Isteri saya jawab, “Ya boleh, sempat. Lepas solat kita pergi”. Kami solat jemaah bersama. Saya ingat lagi doa saya lepas solat pagi tu bersama isteri, “Ya Allah, ampunkanlah Isteriku, mudahkanlah urusan kami, mudahkanlah urusan isteriku untuk bersalin nanti ya Allah”. Saya baca kuat sekurang kurangnya isteri dapat kekuatan dari doa suami. Saya peluk dia.
Selesai semuanya, saya angkat Qilah yang sedang nyenyak tidur masuk dalam kereta. Call pengasuh cakap hari ni nak hantar awal sikit. Tinggal Qilah dekat pengasuh kemudian terus luncur ke hospital. Terus ke PAC bila sampai beritahu isteri dah sakit nak bersalin.
Bukaan Baru 2cm, Pilih Berehat Di Rumah
Saya tunggu di ruang menunggu. Lihat 3-4 keluarga juga sedang menunggu Ibu bersalin di dalam dewan. Pandangan biasa di ruang menunggu bersalin. Ini kali kedua saya. Syukur. Lepas sejam jumpa doktor, isteri saya keluar dan beritahu boleh balik dulu, sebab pintu masih belum buka. 2cm dan masih tebal. Jantung bayi juga diperiksa dan normal. Doktor ada bertanya samada Isteri mahu masuk wad dahulu. Isteri cakap masih boleh bertahan. Rumah pun dekat jadi kami dibenarkan pulang dulu. Lebih selesa berehat di rumah.
Saya tanya Isteri, “Ok ka ni?”. Dia jawab “Ok. Jomlah kita cari apa nak makan kemudian balik rumah dulu.” Ya memang kena makan sebab nak cari tenaga nanti. Kami singgah di kedai berdekatan untuk sarapan. Kami makan nasi lemak. Isteri masih boleh makan cuma kadang kadang dia mengadu sakit yang datang dan pergi.
Sempat lagi Isteri tanya, ada kerja hari ini? Saya cakap minggu ni kalau ikut jadual, memang agak sibuk juga. Tapi kita kena selesaikan mana yang wajib dahulu. Sampai rumah, isteri berehat. Dia baring dan sesekali mengadu sakit tapi masih bertahan. Nurse di kaunter PAC tadi pesan kalau ada tanda terus datang ke hospital. Isteri ada beritahu saya sekiranya ada urusan di luar nanti dia akan call jika betul betul dah ada tanda. Tapi saya stay. Risau jika ada apa apa nanti.
Isteri Rasa Nak ‘Buang Air Besar’
Jam 11 pagi. Isteri cakap kena pergi hospital. Tak ada tanda pecah ketuban atau pendaharan tetapi kali ini rasa sakit sangat. Saya bergegas keluar dan siapkan kereta. Isteri keluar berjalan perlahan menahan sakit. Belum sempat saya tutup pintu rumah, Isteri cakap macam nak buang air besar dulu.
Masa tu saya dah mula cuak. Saya tanya Isteri, boleh tak kalau pergi ke hospital dulu apa apa pun? Dia jawab, tak boleh. Kena pergi tandas dulu. Kami masuk semula. Isteri masuk tandas dan lepas beberapa ketika dia jerit, “Papa! Dah nak keluar dah ni!”, sambil menangis.
Allah! Ujian apa yang kau nak berikan hari ini.
Saya dah mula panik, saya cakap kita tak boleh beranak kat sini sayang! Tolong ya Allah! Hanya kami berdua saja yang ada di rumah ni. Isteri cakap dah tak boleh naik kereta dah. Kena call ambulans. Saya call 999 untuk ambulans dan beri details. Suasana semakin tegang. Isteri mengadu sakit buatkan saya lebih gelisah dan tak tahu nak buat apa.
Bantuan Staf Hospital Sangat Tenang & Professional
Saya call 999 lagi sekali. Mereka cakap dah diaturkan dan kemudian mereka sambungkan kepada saya kepada seorang staf hospital untuk guide apa yang perlu saya buat dalam keadaan itu. Lelaki. Dia sangat professional dan sentiasa tenang menyuruh saya tidak panik dan bertenang. Tarik nafas dalam dalam dan dengar apa yang dia nak cakap.
“Encik tak perlu risau tentang ambulans tu. Mereka sedang berusaha. Apa yang penting sekarang Encik tengok keadaan Isteri. Dekat mana dia sekarang?”
Di tandas jawab saya.
“Encik periksa samada ada pendarahan atau tidak?” Tiada jawab saya. Isteri saya dalam keadaan berdiri ketika itu menahan sakit.
“Ok sekarang ni Encik papah isteri ke katil dan baringkan dia. Tegakkan kedua dua lututnya”.
Saya ikut apa diajarkan sambil bertanya dalam keadaan panik, “bila ambulans nak sampai ni Encik? Isteri dah sakit sangat ni!”. Staf tersebut menjawab, “Tenang Encik, bab ambulans dah selesai. Sekarang kita kena pastikan Isteri dan anak selamat. Percayalah dan ikut cakap saya”. Sepanjang masa tak putus putus memastikan saya dalam keadaan tenang. Hanya saya dan Isteri sahaja ketika itu. Jika tak bertindak dengan betul, ia melibatkan 2 nyawa.
Jiran Sebelah Datang Bantu Beri Semangat
Beliau sangat memainkan peranan ketika ini. Suara inilah yang menjadi turning point kepada saya untuk kuat berhadapan dengan situasi ini. Jiran sebelah datang selepas terdengar suara Isteri di tandas tadi. Dia terkejut lihat isteri dan siap berbaring untuk bersalin.
“Cik Zah, tolong saya. Kamila dah nak beranak ni!
Cik Zah hanya mampu beri semangat di bahagian kepala isteri sepanjang tempoh itu. Dia cakap dia memang tak boleh. Takut. Saya kekal berhubung di telefon dengan staff hospital tadi. Mode loud speaker. Beliau bertanya samada sudah nampak kepala atau tidak? Ya dan sudah nampak rambut. Jawab saya. Saya sentuh untuk pastikan. Ya betul kepala. Beliau berpesan jangan sesekali menahan untuk bersalin. Setiap kali ada contraction, terus teran semampu boleh. Suami perlu sentiasa support isteri. Biar dia teran dan lepas. Nampak kepala baby keluar sedikit demi sedikit. Saya guide isteri dalam keadaan masih panik. Setiap detik sangat mencemaskan. Seperti tiada ruang untuk kami bertenang.
Isteri saya seorang yang kuat. Tidak banyak mengeluh, tidak banyak cakap, terus buat apa yang diajar dan beri kerjasama dengan baik. Allahu. Siapa yang tahan tengok Isteri sakit. Tambahan pula kita yang bertanggungjawab sekarang. Saya mendengar dengan teliti apa yang disampaikan di telefon.
Anak Selamat Dilahirkan Dalam Pangkuan
Alhamdulillah, selepas kami berdua bermandi peluh, berhempas pulas, setia mendengar dan buat apa yang diberitahu, akhirnya anak saya berjaya dilahirkan dalam pangkuan saya. Tubuh kecil yang berlumuran darah pekat merah. Tangisan pertama bayi kuat memecah suasana cemas tadi sebaik saja dia keluar dari rahim ibunya. Tak henti henti menangis. Allahuakbar! Hebatnya percaturan Tuhan. Dia tunjuk kebesaranNya masa itu. Saya pegang anak saya yang baru lahir itu terasa seperti separa sedar. Rasa suam badan dia bergerak atas tangan saya. Seperti tak pasti realiti atau mimpi. Sesekali kedua tangan kaki comelnya bergerak gerak menyentuh tangan saya dan kaki isteri. “Comel anak kita sayang”, saya beritahu isteri. Saya periksa jantinanya. Hati mengucapkan syukur dan memuji kebesaran Allah.
Saya sambung bercakap dengan staf hospital di talian, beritahu anak dah keluar dan menangis kuat. Sekarang risau pula baby tak berhenti menangis. Beliau cakap itu petanda yang baik. Kemudian minta saya ambilkan tuala bersih dan balut anak itu. Lap matanya, hidung, dan mulut. Periksa samada dia bernafas dengan baik. Pastikan baby tak sejuk.
Nasib baik ada Cik Zah, jiran saya banyak membantu ambilkan apa yang perlu. Dalam keadaan saya masih tak mampu bergerak banyak kerana pegang baby. Staf hospital di talian minta saya carikan tali dan bersedia untuk ikat tali pusat. Cik Zah balik ke rumahnya carikan tali dan sebaik sahaja dia kembali ke rumah saya, ambulans sampai. Alhamdulillah!
Ucapan Tahniah Paling Bermakna
Staf di telefon berkali kali mengucapkan tahniah kepada saya dan meminta izin untuk matikan panggilan. Inilah kali pertama perkataan Tahniah itu sangat memberi makna dan terkesan dalam hidup saya. Saya hanya mampu ucap terima kasih. Hanya Allah saja yang mampu membalasnya atas usaha beliau pimpin saya dari awal hingga selesai.
Lega! Itu yang rasa ketika itu. Terasa beban besar di kepala hilang. Semua dah selamat dan pasukan perubatan pun dah tiba. Doktor dan pasukan ambil alih selepas itu. Sangat cekap dan professional melakukan kerja mereka. Isteri dan baby dibawa naik ambulans untuk segera ke hospital. Saya beritahu Isteri nanti saya akan pergi dengan kereta. Isteri mengangguk. Kelihatan sangat letih tetapi lega diwajahnya. Saya sedih lihat Isteri saya. Kelahiran kali ini sangat berat untuk dia namun Tuhan mudahkan.
Tahniah Isteriku. Berehatlah. Semangat awak kuat. Awak teguh pendirian terpaksa bersalin di rumah. Awak tahu tak sempat ke hospital. Awak beri kerjasama cemerlang sepanjang proses. Saya hanya ikut apa yang diajar dan bantu, selebihnya awak yang alami dan menjayakan. Dengan izin Tuhan berjaya dilaksanakan. Saya tak tahu jika saya bawa juga dia ke hospital dalam keadaan macam tu. Silap silap berhenti tepi jalan beranak dalam kereta.
Isteri saya boleh discharge sehari selepas bersalin. Alhamdulillah sihat cuma luka banyak kerana bersalin sendiri. Baby diberikan antibiotik dan ditahan di NICU selama 4 hari. Discharge pada lewat petang hari keempat 18/9. Baby tiada masalah serius cuma kena followup kuning di klinik.
Perlu saya kongsi peristiwa ni supaya bakal ibu dan bapa lama atau baru diluar sana alert. Suami yang berakal dan waras akan sentiasa melindungi isterinya dan inginkan mereka besalin di hospital dengan pengamal perubatan yang terlatih. Namun, apa sahaja boleh berlaku. Ya apa saja boleh berlaku. Isteri saya bekerja di hospital. Setiap hari saya hantar dan jemputnya di hospital. Pagi hari nak bersalin juga pergi hospital. Rumah kami dengan hospital kurang 10km tapi Tuhan takdir bersalin di rumah.
Beberapa perkara penting yang saya belajar adalah,
1. Simpan Buku Merah
Ambil tahu berapa minggu kandungan Isteri. Apa penyakit Isteri. Buku merah sentiasa ditangan. Ia umpama passport untuk orang bersalin apatah lagi dalam keadaan memaksa bersalin di luar hospital. Bila doktor sampai di rumah saya, doktor minta buku merah dulu untuk rujukan sekiranya terdapat apa apa masalah pada Ibu dan bayi sebelum ni.
2. Jangan Tinggalkan Isteri Keseorangan
Jangan sesekali tinggalkan ibu yang hampir dengan due date nak bersalin keseorangan dirumah.
3. Bateri Telefon Penuh
Pastikan telefon berfungsi. Bateri sentiasa cukup. Telefon berfungsi dengan baik untuk buat panggilan. Hampir setengah jam sepanjang tempoh bersalin dan dengar panduan pihak hospital melalui telefon. Bayangkan jika saya tak boleh buat panggilan. Pastikan telefon sentiasa ada.
4. Jangan Panik
Jangan panik sekiranya isteri beritahu sakit hendak bersalin. Tanya keadaan isteri samada boleh bergerak atau tidak. Jika boleh bawa kereta, jangan terburu buru, pandu dengan cermat. Ingat kereta kita bukan ambulans nak pecut lelaju.
5. Simpan Nombor Klinik Kesihatan
Simpan nombor telefon Klinik Kesihatan Ibu Anak yang kita pergi check up. Save dalam telefon. Mereka ini paling dekat dengan kita. Bantuan lebih cepat sementara pihak hospital sampai. Ini kesilapan saya. Ketika kejadian, saya hanya fikir nombor kecemasan 999 sahaja. Buku merah pula ketika itu dalam kereta.
6. Telefon Klinik Kesihatan Terdekat
Telefon Klinik Kesihatan terdekat beri maklumat penuh dengan tenang supaya penyampaian maklumat itu jelas. Masa ni kita akan kelam kabut. Cuba sehabis baik untuk bertenang. Jika maklumat tak jelas, akan menyukarkan lagi proses.

7. Ceritakan Segalanya
Beritahu pada mereka jika isteri betul betul dah nak bersalin. Dalam kes saya bila telefon kecemasan 999, mereka sambung pada pihak hospital dan bantu sementara ambulans sampai. Ceritakan apa saja yang nampak pada Isteri. Darah, air atau apa apa saja yang kita nampak. Tenang dan lakukan apa yang disuruh.
8. Sentiasa Bersama Pihak Hospital
Sentiasa bersama pihak hospital sepanjang tempoh itu sementara bantuan sampai.
9. Beri Maklumat Secukupnya
Bukan mudah proses untuk ambulans datang memberi bantuan. Segalanya bergantung kepada maklumat yang kita beri. Jika bayi tak cukup bulan, mereka perlu hantar Pakar. Jika kita dirumah kelam kabut, mereka di hospital sedang bertungkus lumus memastikan supaya bantuan tiba dengan betul. Ambulans bukan semata mata dikerah untuk membawa pesakit, tapi datang untuk memberi rawatan yang betul.
Situasi kami semestinya berbeza dengan orang lain. Perlu dapatkan nasihat dari hospital. Saya menulis ini sekadar berkongsi pengalaman saya yang semestinya tak semua orang dapat rasa. Jauh sekali untuk menggalakkan kelahiran di rumah. Jika diberi pilihan semestinya saya menolak kelahiran sendiri di rumah. Kelahiran di rumah tanpa pengamal perubatan yang bertauliah adalah sangat berisiko dan bahaya.
Sentiasa keep in touch dengan pihak hospital. Jangan pandai sendiri. Dalam kes saya, Isteri memang tak sempat. Pihak hospital sudah pun dalam proses datang ke rumah dan saya dibimbing sepenuhnya oleh pihak hospital melalui telefon sementara ambulans sampai.
Nasihat saya kepada mereka yang mungkin mula atau sudah berjinak dengan kumpulan pro-choice, homebirth, kelahiran alami, atau apa saja pilihan ‘alternatif’ yang sewaktu dengannya, yang diselia atau dipimpin oleh orang yang tidak bertauliah dari badan yang sah, elakkan dari terjebak. Buanglah niat untuk menyambut kelahiran sendiri di rumah.
Trauma Jika Berlaku Perkara Tak Diingini
Saya hingga saat saya menulis posting ini seperti trauma memikirkan apa yang akan terjadi jika tumpah darah, kepala atau bahu bayi tersangkut, bayi songsang dan sebagainya ketika kelahiran. Kita bukan ahlinya. Jika perkara yang tak diingini berlaku dan disebabkan pilihan kita sendiri ke arah itu, maka kita adalah insan yang paling tidak berguna. Memperjudikan nyawa Isteri dan bayi yang tidak berdosa.
Saya bersyukur segalanya dipermudahkan Allah. Tiada komplikasi berlaku semasa dan selepas bersalin. Allah hantar bantuan tepat pada masanya. Semua pihak menjalankan tugas yang terbaik. Tahniah dan terima kasih kepada semua petugas hospital yang sangat membantu.
Syukur juga kami tinggalkan Qilah di rumah pengasuh sejak awal lagi. Tak dapat kami bayangkan jika Qilah ada di rumah ketika kelahiran. Melihat keadaan ibunya berlumuran darah struggle melahirkan adiknya.
Beberapa hari sebelum bersalin, saya ada bertanya Isteri nama apa nak beri kepada baby baru memandangkan anak yang pertama saya sudah namakan. Isteri terfikir dengan nama Fatihah. Selepas kelahiran ini, saya tak teragak agak untuk teruskan nama tersebut sempena nama surah Al Fatihah. Pembuka al kitab. Surah mustajab. Lafaz syukur pada permulaan ayat.
Allah makbulkan doa kami dipermudahkan urusan. Semoga Fatihah menjadi anak yang solehah.
Allahurabbi. Engkau sahajalah yang kami sembah dan engkau sahajalah yang kami mohon pertolongan.
Moga rahmat Allah bersama kita semua.
Sekadar berkongsi. Share jika bermanfaat.
Fahmi Jamil – Bidan Terjun.
father of Fatihah Akmal
15/9/19. 1145. BBA – Home
Hari ketujuh. 21/9/19.
#fahmijamil
#fatihahakmal
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, menjadi panduan. Lebih-lebih buat suami isteri yang sedang menanti kelahiran cahaya mata. Perkara-perkara sebegini, mungkin boleh berlaku. Apa yang penting bersedia dan bertindak dengan tenang mengikut arahan yang diberikan agar ibu dan bayi selamat.
Sumber: Fahmi Jamil
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI