Kecantikan

7 Tip Berkesan Wanita Boleh Kekal Mewangi, Badan Tak Berbau Walaupun Tak Pakai Perfume!

Share

Bagi sesetengah wanita, memakai minyak wangi bagaikan satu kemestian baik ketika berada dirumah atau melangkah keluar dari rumah. Tidak dapat dinafikan minyak wangi mampu menambah keyakinan diri dan membuatkan orang sekeliling rasa selesa. Paling penting ia mampu menghilangkan bau badan.

Malah, berwangian-wangian, menjaga kebersihan diri merupakan salah satu sunnah nabi.Lebih-lebih lagi jika berwangi-wangian dirumah, bertujuan untuk keselesaan dan menyenangkan suami, pasti diberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Sebenarnya tanpa semburan minyak wangi pun, para wanita dan isteri tetap boleh kekal wangi dan badan tidak berbau sepanjang hari.Ini caranya:

7 Tip Kekal Wangi Tanpa Minyak Wangi :

1. Guna Deodoran Atau Losyen Badan

Kandungan ANTIPERSPIRANT dalam deodoran dapat kurangkan peluh berlebihan kerana bau badan berpunca dari peluh berlebihan yang bercampur dengan bakteria.Ia menyebabkan badan berbau busuk dan tidak selesa.Banyak pilihan deodoran yang mempunyai kandungan semulajadi yang berada dipasaran ataupun boleh juga petua bagi mengelakkan ketiak berbau.Selepas mandi pula jangan lupa sapukan losyen badan.Selain baunya wangi,ia boleh beri kelembapan pada kulit.

2. Minum Air Masak Secukupnya

Minum air mineral atau air masak sekurangnya 6-7 gelas sehari untuk dapatkan aliran darah yang lancar kerana ia dapat jaga kebersihan tubuh dan kekal bau badan biasa.Ia membuatkan badan cukup hidrasi, mulut tidak kering dan berbau.

3. Pilihan Jenis Makanan

Kurangkan makan makanan berlemak, berminyak, berempah dan bau yang kuat seperti bawang putih, petai kerana makanan ini hasilkan aroma kuat yang keluar melalui pori-pori kulit dan bercampur dengan peluh jadi bau yang kurang enak.

4. Guna Pewangi Pakaian

Sewaktu mencuci pakaian, gunakan pewangi atau pelembut pakaian sudah cukup untuk badan berbau wangi.Ada macam-macam jenis pewangi pakaian yang ada dipasaran,pilihlah yang menepati citarasa dan mampu memberikan rasa lebih tenang dan selesa bernafas.

5. Elak Punca Bau Busuk

Jauhi punca bau yang boleh melekat pada pakaian sebagai contoh asap rokok, asap bakar sampah, bau selepas masak. Sekali dah melekat susah nak hilang baunya. Terutama bahagian dalam rumah atau kereta. Jika selepas memasak, segeralah mandi dan bersihkan diri. Paling tidak pun, tukar baju yang lain.

6. Mandi Dua Kali Sehari

Ini sangat penting.Mandilah sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam sebelum tidur atau lebih kerap lebih bagus. Ini kerana kotoran dan peluh melekat pada badan dan boleh menyebabkan bau badan.Sebelum mandi boleh juga rendam kaki dengan air suam yang ditaburi garam untuk menghilangkan bau badan dan bau kaki.

7. Jenis Pakaian

Pemilihan jenis pakaian juga memainkan peranan penting sama ada mampu menyerap peluh atau tidak. Tambahan pula dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ia boleh menyebabkan badan mudah berpeluh kerana kepanasan dan lembap sekaligus akibatkan badan berbau.Pilihlah pakaian yang jenis serap peluh seperti kain kapas (cotton).

Jadi jika ikut tip yang dikongsikan ini, selepas ini bolehlah berjimat, tak perlu dah nak sembur minyak wangi lagi. Badan pun kekal berbau wangi sepanjang hari.

Semoga bermanfaat!

Published by
Suhaidah Abd Wahab