Jangan berangan nak lihat wajah kacak Zul Ariffin dalam Tombiruo. Sebab semua itu hilang dibayangi topeng seram. Cuma tubuh sasa ketak-ketak yang akan anda saksikan berjalan.. berlari.. melompat.. penuh bebas meredah hutan belantara Keningau sepanjang durasi filem Tombiruo.
Jangan tak tahu hampir sepenuhnya lagak ngeri dilakukan sendiri. Walaupun sudah setahun berlalu, banyak babak masih segar dalam ingatan artis yang mengambil masa 7 tahun untuk meraih populariti.
“Ada artis setahun dua dalam industri sudah mendapat segala-galanya termasuk watak utama, populariti dan banyak publisiti mengenai mereka kerana ada rupa. Saya pula mengambil masa tujuh tahun untuk dikenali seperti hari ini.”
“Mungkin rupa saya tak elok kot atau tak hipster (katanya sambil ketawa). Tetapi itulah kata orang rezeki masing-masing. Ada orang memang mukanya kacak, jadi pilihan penerbit dan sering diberikan watak utama. Sama ada mereka boleh berlakon atau tidak, saya tak mahu komen kerana setiap orang mempunyai pandangan masing-masing mengenai isu ini
.”Kata Zul lagi, artis hari ini yang ada rupa beruntung kerana sudah banyak stesen televisyen, penerbit, malah banyak peluang menanti mereka.
“Tak seperti saya bermula dahulu. Saya hanya tahu berlakon dan tidak ada bakat menyanyi atau membuat hal lain (kesemuanya ke laut, ujarnya ketawa lagi) dan saya hanya perlu mempamerkan bakat yang saya ada untuk diterima oleh peminat. Lebih ramai aktor lebih baik kerana industri lebih meriah.”
Sudah tentu kepercayaan melakonkan watak penting dalam karya hebat Tombiruo membuatnya nervous. Adaptasi dari sebuah novel thriller no. 1 Malaysia karya Ramlee Awang Murshid.
“Novel ini memang laris jualan dan ramai peminatnya. Mereka mengikuti dari awal dan tahu segalanya. Bagi peminat novel ini, tentu mereka tidak sabar menanti filem ini di pawagam dan bagi peminat baru pula pasti hendak tahu apa kehebatannya.
“Kami pun baru sahaja selesai menghabiskan penggambaran yang bermula sejak setahun lalu. Jujurnya saya sangat berbangga dapat membawakan watak Ejim, penunggu rimba yang menjadi legenda di hutan Keningau. Karya abang Ramlee Awang Murshid ini adalah sebuah naskhah yang begitu ditunggu-tunggu oleh semua
.”Dia juga tak menafikan berdebar ketika diminta melakonkan babak cinta yang memerlukannya meluahkan emosi tanpa perlu banyak berdialog. Biarpun sukar, ia dapat dilakukan dengan baik.
Akuinya, dia sendiri tak sabar menanti maklum balas dari peminat. Masa yang sama dia sangat risau jika jangkaan peminat berbeza dengan apa yang mereka baca dalam novel.
“Kami sudah melakukan sebaik mungkin. Bagi saya, industri tempatan perlu ada filem-filem begini.”
Terbukti filem yang diangkat karyanya dari garapan novel ada yang tak menunjukkan hasil memberangsangkan. Bagi Zul itu bukan satu hal yang merisaukannya.
“Bunyi seperti selfish tetapi sebagai pelakon saya sudah memberikan 100 peratus komitmen dan terbaik demi merealisasikan filem ini menjadi hebat. Begitu juga dengan semua pelakon lain serta pihak yang terlibat. Kita buat apa yang termampu,” ujarnya ketika ditemui di Kumpulan Media Karangkraf.
Menurutnya, bukan semua pelakon berpeluang mendapat karya hebat sebegini dan dia bertuah kerana terpilih di saat semuanya sudah tersedia.
“Penonton boleh memberikan penilaian mereka, apa yang mereka suka tengok dan tidak biarpun banyak filem diangkat dari novel gagal tetapi ia bukan judgement untuk Tombiruo. Saya sendiri tidak sabar menantikan reaksi daripada peminat setia novel ini bila diangkat ke layar perak.”
Dari hari pertama penggambaran, semuanya begitu mencabar bagi Zul. Bermula dari kostum, latar belakang dan segala-galanya kerana filem ini lain daripada kebiasaan.
Bakal ditayangkan di pawagam pada 12 Oktober 2017. Jangan lepaskan peluang saksikannya beramai-ramai. Bawalah ahli keluarga menontonnya sebab itulah mesej yang cuba disampaikan dalam filem hebat ini iaitu semangat ‘KEKELUARGAAN’.