Bukan mudah memegang jawatan dan mendapat kepercayaan sebagai Perdana Menteri. Jawatan tertinggi ini memerlukan kriteria terbaik seperti kebijaksanaan, kepintaran, pengalaman, kejujuran dan sebagainya bagi menjadi pemimpin, mengetuai sesebuah kerajaan.
Jika di Malaysia mempunyai Perdana Menteri Tertua di dunia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Finland terdapat Perdana Menteri Termuda di dunia iaitu Sanna Marin yang baru sahaja dilantik memegang jawatan ini.
Pemilik nama penuh Sanna Mirella Marin ini dilahirkan pada 16 November 1985 dan mempunyai kelulusan dalam bidang Sarjana Sains Pentadbiran dari Universiti Tampere. Pada usia 34 tahun, Marin menjadi Perdana Menteri Termuda Di Dunia dan sekali gus menjadi wanita ketiga yang menjadi Perdana Menteri di Finland.
Wanita hebat ini sebenarnya telah menceburi bidang politik pada usianya 27 tahun dan menjadi Ahli Parlimen Finland sejak 2015.
7 tahun menempuhi pelbagai laluan berliku sejak menyertai dunia politik, pada 6 June 2019 lalu, wanita ini baru sahaja dilantik menjadi Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Finland.
Menariknya hanya 6 bulan selepas memegang jawatan tersebut, Marin telah dicalonkan oleh Parti Demokratik Sosial (SDP) sebagai Perdana Menteri Finland. Ia sekaligus menggantikan penyandang sebelum ini, Antti Rinne.
Jawatan Perdana Menteri kosong apabila Rinne meletak jawatan selepas mendapat usul undi tidak percaya gara-gara gagal menguruskan masalah mogok pekerja pos negara itu. Konfederasi Industri Finland menganggarkan mogok kali ini akan mengakibatkan kerugian kepada syarikat-syarikat terlibat sebanyak 500 juta Euro (RM2.3 bilion).
Sebelum ini, Marin juga timbalan pengerusi SDP memimpin parti itu semasa Rinne melanjutkan cuti sakitnya pada musim sejuk lalu.
Pemilihan Marin, 34, susulan undian dilakukan Majlis Parti Demokratik Sosial (SDP) kelmarin dan keputusannya diumumkan menerusi siaran televisyen nasional. Dalam pemilihan itu, Marin mengatasi Pengerusi Kumpulan Anggota Parlimen SDP, Antti Lindtman menerusi undian 32-29.
MW: Tahniah buat wanita hebat Sanna Mirella Marin atas perlantikan sebagai Perdana Menteri yang juga termuda di dunia. Semoga maju jaya dalam memimpin kerajaan dan negara.
Sumber: Sinar Harian, BBC