Sebak membaca catatan Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya yang juga suami pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun ini. Suami ini melihat penat lelah isteri membuat kerja-kerja dakwah.
Walau diuji kurang sihat, urusan dakwah isterinya tetap diteruskan dengan bersemangat. Malah, setiba di rumah sambung pula urusan rumah tangga. Begitulah, hebatnya seorang isteri yang meletakkan segala-galanya kepada Allah. Baik bab mendapatkan kekuatan mahupun urusan penatnya.
Kongsi Ustazah Asma di laman facebooknya,
“Suami yang saya muliakan Tengku Fazli Tengku Yahya sangat-sangat jarang menulis panjang, teresak-esak juga saya menangis ketika membacanya.
Hakikatnya dialah kekuatan saya, bila ditanya penat tak.. Hampir tidak pernah dia sebut perkataan penat, walaupun saya tahu ketika itu dia sangat penat membawa kereta jauh, menjual dan lain-lain.
Semoga tulisan dibawah ada manfaat untuk semua..”
Dan ini catatan Ustaz Tengku Fazli untuk Ustazah Asma,
“Alhamdulillah, Allah yang Maha Kuat, menguatkan saya untuk terus berdiri hari ini. Kekuatan yang kekadang tidak saya tahu dari mana datangnya. Setelah menjelajah Negeri Kelantan, dan lebih kurang jam 2.30 pagi sampai di Gombak.
Ikutkan hati mahu terus ke Seremban jumpa anak-anak, tapi bimbang tidak sempat untuk saya berada di sini. Ditahan rasa rindu sebagai Ibu Ayah untuk bertemu si kecil dan semua. Semoga Allah menerima pengorbanan ini sebagai ibadah dalam jalan dakwah. Semoga Allah berikan kami keikhlasan dan taqwa sepanjang jalan ini.
Alhamdulillah, kekadang rasa penat itu hilang dan hadirnya kekuatan apabila melihat senyuman ibu-ibu jemaah sekalian, bila kata-kata yang diilhamkan Allah membantu merawat duka ibu-ibu yang sekian lama terpaku. Saya rasa bahagia bilamana ada yang dapat kekuatan untuk meneruskan perjalanan walaupun sukar dan berliku.
Bahagia bila ramai Ibu-ibu boleh berikan kekuatan dan senyuman kepada orang lain pula. Alhamdulillah, semoga senyuman yang diukirkan ibu-ibu sekalian terus menguatkan saya untuk memberikan yang terbaik kepada semua yang memerlukan. Moga saya terus istiqamah selagi Allah mengizinkan dan selagi diperlukan.”
Begitulah UAH memulakan ceramah di Masjid Bandar Baru Sungai Buluh jam 9.00 pagi dengan bersemangat seperti biasa. Sambil berdiri, lantunan itu seolah-olah tiada kepenatan yang dirasakan. Kekadang tertanya juga, dari mana datangnya semangat beliau untuk menyampaikan walau keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan? Tidak dapat tidak, diserahkan sepenuhnya kepada Allah yang Maha Kuat untuk menguatkan dan menghilangkan kepenatan. Yang menguatkan jasad untuk berdiri. Yang menguatkan hati untuk menempuhi hari-hari.
Baca sini : ‘Mengaji, makan, berjalan, tengok TV pun berjemaah’ rahsia harmoni 10 beradik
UAH telahpun melalui 7 episod kelahiran anak kami, dan 2 kali keguguran. Dengan kelahiran anak yang ke-7, Fatimah melalui pembedahan. Tenaga perempuan, bukan seperti tenaga lelaki. Namun, dari satu sudut, sejujurnya tenaga dan kekuatan yang ada pada golongan wanita amat luar biasa, mampu mengalahkan kaum lelaki. mereka masih mampu untuk terus menjalankan tugasan sebagai suri rumah setelah pulang daripada pejabat.
Ketika sakit pening dirasakan, masakan istimewa tetap terhidang. Tetapi, memerhatikan diri sendiri dan mungkin ramai kaum lelaki, ianya berbeza. Apabila diuji dengan sakit pening, kaum lelaki lebih banyak terbaring. Habis semua rancangan tv disaring. Diupdatekan kesakitannya kepada orang sekeliling.
Maka, berlalulah masa tanpa ada yang penting. Sakitnya yang sedikit mengalahkan wanita yang melahirkan secara pembedahan. Lemahnya kaum lelaki, di mata isteri-isteri dalam realiti kehidupan.
Alhamdulillah, ceramah sudah berakhir. Semoga UAH terus kuat untuk ke Banting dan menghabiskan satu lagi program sebelum pulang memeluk si bongsu, Fatimah dan anak-anak yang lain. Anak-anak juga sumber kekuatan UAH untuk mengembara. Melihat mereka sangat erat memeluk umminya, terubat kerinduan dan kelelahan yang ada. Tidak dirasakan berat meninggalkan mereka 2-3 hari seandainya segala pesanan untuk solat di awal waktu, berzikir dan bermathurat diamalkan.
Dibacakan Al Quran bersama tafsir secara berjemaah seperti dilakukan kebiasaan, lebih menyejukkan hati dan mendamaikan fikiran. Selepas ini, ummi boleh berjauhan lagi untuk mengukirkan senyuman kepada semua yang masih memerlukan. Menguatkan lagi senyuman yang sentiasa ternanti-nanti kata-kata yang diilhamkan.
Semoga senyuman yang berseri yang diukirkan akan terus menguatkan UAH untuk sentiasa untuk memberi.
HIDUP HATI DENGAN MEMBERI.
Doakan kami sentiasa saling menguatkan
Catatan dari seorang suami,
Tengku Fazli bin Tengku Yahya.
MW : Mana-mana isteri akan rasa bahagia bila suami hargai akan penat lelahnya.
Sumber/Foto : Asma Harun