68 Tahun Kahwin, Pakai Baju Sedondon Tips Suami Isteri Kekal Bahagia

Share

Suami isteri yang pakai baju sedondon memang nampak romantis, sehati dan sejiwa. Tak kiralah pakai sedondon baik pergi jalan-jalan, kenduri kahwin atau apa-apa majlis. Biasanya para isteri yang suka tetapkan tema warna dan pakai baju sedondon ni berbanding golongan suami. Berita baik, boleh teruskan rutin ini dalam rumahtangga kerana ia adalah salah satu tip suami isteri kekal bahagia.

Tips Kekal Bahagia

Ini dibuktikan oleh sepasang warga emas dari California, Amerika Syarikat (AS) yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-68 bulan depan, berkongsi tips rahsia mereka untuk kekal bahagia.

Francis dan Rosemary Klontz masing-masing berusia 87 tahun berpasangan sejak zaman sekolah menengah.

Menurut pasangan berkenaan, antara rahsia perkahwinan bahagia mereka ialah berpakaian sedondon sejak sebelum mendirikan rumah tangga pada usia 19 tahun.

“Ibu saya membelikan kami baju sedondon ketika zaman sekolah tinggi, saya yang memilih pakaian tersebut dan sejak itu kami berpakaian sama,” kata Rosemary kepada KOVR-TV.

Tak Kisah Isteri Sediakan Pakaian

Suami Rosemary, Francis pula berkata, dia tidak kisah isterinya menyediakan pakaiannya setiap hari.

“Dia menyediakan pakaian saya dan saya tidak perlu bimbang tentang apa-apa,” kata Francis.

Pasangan terbabit yang juga bekas pastor gereja berkata, agama turut memainkan peranan penting dalam perkahwinan mereka.

MW: Tak sangka suami isteri yang pakai baju sedondon juga antara tips untuk kekalkan keharmonian dan kebahagiaan dalam rumahtangga. Jadi buat pasangan suami isteri bolehlah amalkan selalu. Selain nampak romantis, ia sebenarnya menzahirkan kesepakatan, toleransi dan kepercayaan pada pasangan.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab