6 Tip Bawa Orang Tua Lanjut Usia Bercuti, Percayalah Mak Ayah Bukan Beban

Share

Bila abah dengan mak makin lanjut usia, nak jalan pun susah, bertongkat, berpapah, anak-anak mulalah rasa berjalan bawa orang tua lanjut usia tu satu beban. Walhal kita dulupun masa kecil-kecil waktu tak pandai jalan lagi, mak abahlah yang kendong.

Masuk dalam kain pengendong mak abah bawalah ke sana ke mari. Rasa susah tu mak abah telan dalam hati. Tak luah pun dekat anak-anak. Dapat tengok anak ceria, hati dah rasa hepi sangat.

Allah sedihnya, bila ada anak-anak yang mula merasakan orang tua itu satu bebanan. Mereka pun nak rasa juga berjalan dengan anak cucu.

Mingguan Wanita berkongsi panduan Puan Aminah Hafizah yang membawa arwah ayahnya yang diserang strok (ketika hayatnya) berjalan-jalan.

Yang Gagah Gendong Ayah, Yang Tak Mampu Tukang Sokong

Kita ini jarang sekali berpeluang ajak orang tua bercuti sama-sama keluarga. Bukan Tak mahu, tapi banyak bimbangnya.

“Abah tu jalanpun bertongkat,”

hati ragu kuatkah abah nanti?

“Emak mana boleh tinggal ayam itik dia lama-lama”. Alasan yang selalu kita dengar.

Siapa tahu dalam hati abah dah lama teringin tengok laut?

Dalam diam-diam emak kitapun sebenarnya terliur dengar cerita kawan-kawannya ikut anak bercuti di tanah tinggi.

Jangan banyak fikir, 6 panduan ini saya praktik masa bawa arwah abah pergi bercuti.

Abah Jom Ikut Kami Bercuti! 6 Tip Berguna Bawa Orang Tua Lanjut Usia Berjalan Jauh

1. Pilih Destinasi Yang Sesuai

Sesuaikan minat keluarga dengan orang tua kita. Bincanglah bersama. Utama sekali pertimbangkan faktor jarak destinasi dan aktiviti di tempat bercuti. Jika abah kita Pak Haji, fikir dua kali ya kalau hendak mengajaknya ke taman tema penuh yang anak muda. Urut dada dia nanti.

2. Penginapan Mesra Warga Emas

Pilihlah tempat penginapan atau resort yang mesra warga tua. Selalunya jika tempat yang mesra OKU juga mesra warga tua. Ada ramp untuk laluan kerusi roda.

Semaklah terlebih dahulu jika tempat penginapan jauh dari kawasan parkir. Menggigil abah kita menapak nanti. Jika resort luas dan jauh untuk ke sana sini, lebih mudah jika ada kereta bungee.

3. Rancang aktiviti Bersama

Inilah masanya mengeratkan hubungan sesama keluarga. Ambillah kesempatan ini mendidik anak-anak menyantuni datuk dan nenek mereka.

Boleh saja anjurkan permainan keluarga, berBBQ paling tidakpun santai-santai  sambil cerita kenakalan kita terbuka. Inilah saatnya anda memanjakan orang tua sendiri. Lihatlah dia ketawa sampai tidak nampak mata!

4. Ketahui minatnya, Buatkan Dia Rasa Penting

Surveylah destinasi percutian kita. Jadikan percutian ini untuk menghargai mereka, bukan sekadar membawa jalan sebab tiada siapa yang jaga.

Ambillah peluang lawat tempat bersejarah misalnya stesen keretapi lama, kawasan perang, tunggu sajalah mereka buka cerita. Bukan saja anak-anak belajar perkara baru, kita juga dapat merangsang minda orang tua kita supaya sentiasa aktif.

5. Ubat-ubatnya Jangan Dilupa

Cuti-cuti juga, rutin ubat-ubatan tidak ikut bercuti sekali, ya. Tanyalah mereka ubat yang dimakan setiap hari (menyuntik insulin, misalnya) ubat yang diambil bila perlu (seperti inhaller) dan buatlah senarai semak jika bimbang tercicir.

Warga emas stamina tidak seperti kita. Jika letih berjalan, berhentilah. Jika perjalanan jauh dan bimbang mereka lapar, sediakanlah snek alas perut.

6. Survey Tempat Makan Mesra Famili

Orang tua ini kadangkala cerewetnya lain macam. Sentiasa ingatkan diri orang tua kita tidak kuat makan macam dulu. Sekali hadap membukit sepinggan nasi. Sekarang seleranya kecil, tetapi harus makan kerap. Perut orang tua lebih sensitif kerana ususnya tidak seaktif dulu.

Halalkah tempat ni, Lan? Abah tengok tukang masaknya semua bukan orang kita,” abah bersuara bimbang.

Mak kau mana makan western ni, Zam. Malam-malampun kami mesti cari nasi“.

Sudah!

Sebelum terjadi drama masam muka dan anak kita protes tidak dapat makan piza, kita survey siap-siap dan tandakan tempatnya. Pilih jalan selamat yang buat semua orang kenyang.

Di sini terkenal dengan ikan bakar. Makanan lautnya segar-segar. Malam nanti kita makan di tepi laut

Didik Hati Bersikap Toleransi Dengan Orang Tua

Semua orang sudah tersenyum-senyum, dapat bayangannya.

Percutian seharusnya memberikan memori indah kepada semua yang mengikutinya. Setiap ahli keluarga perlu dididik dan dilatih bersikap toleransi dan menyayangi orang tua dalam keluarganya. Bibit-bibit kasih sayang dan hormat menghormati harus disemai awal dan ditunjukkan contohnya.

Kita tentu tidak boleh lupa kenangan manis abah membawa kita adik beradik berkelah di pantai. Kita buka tingkap kereta dan nyanyi lagu beramai-ramai. Emak kalau sebut saja pergi bercuti, sebakul penuh bekalan makanan disiapkan.

Sekarang, tip dan panduannya sudah ada. Bersediakah kita semua mencipta semula memori indah begini?

Sumber/Foto: Blog Aminah Hafizah

Published by
Netty Ah Hiyer