
Isi Kandungan
ToggleMak ayah yang hebat akan jadi idola terbaik buat anak-anaknya dan akan membawa kegembiraan dalam hubungan kekeluargaan. Kadang kalau anak menangis pun, hanya dia yang mampu balut emosi anak. Apa lagi waktu anak sakit, memang namanya saja akan disebut oleh anak.
Nak tahu sejauh mana anda tergolong di kalangan mak ayah yang hebat atau tidak, semak perkongsian Doktor Taufiq Razif ini…
1. Anak Cari Mak Ayah Dulu Bila Disakiti Atau Sedang Dalam Masalah
? Ni tandanya kita dah jadi pendengar yang baik ( good listener ) pada anak kita sehingga anak kita percayakan yang kita adalah tempat rujuk terbaik mereka
2. Anak Tunjukkan Semua Jenis Emosi Di Depan Kita
? Bila anak kita mampu tunjukkan emosi marah, sedih, gembira dan frust tanpa ketakutan tu maknanya mereka rasa selamat dengan kita ( emotionally safe )
3. Kita Tak Label Anak Dengan Bermacam Gelaran
? Menggelar anak bodoh, tak bijak, nakal dan pemalas adalah tanda kita ni mak ayah yang suka melabel. Bila kita tak suka melabel anak, ni tandanya kita dah mula sedar bahawa kesalahan pada anak adalah cerminan daripada kesilapan kita semasa mendidik dia. Bukannya kita tuding kesemuanya pada anak kita
4. Kita Kenal Bakat Terpendam Anak Kita
?Kita kenal gaya belajar anak kita ni jenis Kinestetik ke, Auditory ke ataupun Visual. Kita juga kenal anak kita ni jenis Naturalist ke kuat pada Interpersonal ataupun Linguistic ke dan lain-lain
5. Kita Mampu Biasakan Anak Ikut Peraturan Tanpa Kita Menjadi Diktator
?Peraturan rumah yang terlampau ketat membunuh jiwa kreatif anak tetapi rumah yang peraturannya terlampau longgar melahirkan anak yang buruk akhlak, pemalas dan rosak adabnya. Tegas dalam kehangatan kasih sayang adalah yang terbaik untuk perkembangan anak kita.

6. Pandai Pulihkan Kembali Kerosakan Emosi
?Ada masanya kita tertengking dan termarah anak dengan cara yang melampau. Mak ayah yang terbaik tahu cara nak pulihkan kembali kerosakan emosi yang mereka dah buat pada anak mereka. Ingat ye..pelukan, sentuhan, pemberian hadiah dan permohonan maaf secara ikhlas adalah ubat terbaik untuk mengubati kecederaan emosi si anak.
Tolong ajarkan dan sebarkan ilmu ni pada pasangan kita juga ye.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Bukan Sengaja Nak Lebihkan Anak Dari Suami, Jadi Sila Hadam

Isi Kandungan
ToggleWanita dan anak, ibarat isi dan kuku. Anak adalah sebahagian daripada diri wanita setelah dirinya bergelar seorang ibu. Kadang kala kemahuan dan keinginannya diketepikan demi anak yang tersayang. Bukan sahaja kemahuan sendiri, kadang-kadang kemahuan suami pun agak terabai kerana menguruskan anak-anak.
Sikap ini lama-kelamaan tanpa isteri sedar membuatkan sang suami mula berjauh hati dan seterusnya rasa terpinggir. Tetapi tolong fahami lah keadaan isteri wahai suami, anak-anak perlukan isteri anda melebihi kalian. Ikuti pandangan Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat tentang isu ini.
“Saya melihat dari sudut fitrah, sememangnya naluri seorang ibu akan lebih dekat dan cenderung menghabiskan waktu untuk anak-anak. Ini terutamanya selepas melahirkan anak pertama, ibu pastinya sangat teruja dan kadangkala boleh menyebabkan terabai peranan seorang isteri terhadap suami, tanpa sedar.
“Ia bukanlah suatu kesalahan tetapi perlulah diurus dengan ilmu dan kemahiran yang sebaiknya,” ujarnya memulakan perbualan.
Malahan, situasi begini perlu difahami secara bersama. Secara umumnya, seorang suami perlulah faham perubahan yang berlaku, kerana sebelum ini masa digunakan untuk mereka berdua, tetapi ia berbeza apabila jumlah masa yang sama perlu dibahagikan untuk tiga orang.
Selain itu, isteri yang bijak juga perlu menumpukan perhatian kepada anak-anak tanpa menyebabkan suami terasa terpinggir. Keterujaan bersama anak-anak perlu dikawal agar tidak keterlaluan, kadangkala tanpa sedar kita melayan suami dengan cara melayan anak-anak menyebabkan suami rasa tidak dihormati dan kadangkala kita tidak mendisiplinkan masa yang sesuai untuk melayan anak dan untuk suami.
Perkara ini berlaku kadang kala dengan pelbagai alasan seperti anak perlukan kita tanpa mengira waktu, anak-anak masih kecil perlu diberi layanan yang lebih atau alasan suami sudah pandai menjaga diri dan dewasa untuk berfikir menguruskan diri sendiri.
Ini adalah antara alasan yang akhirnya menjadikan kita berterusan tanpa ada motivasi untuk berubah dan akhirnya menjejaskan hubungan serta pastinya mengganggu keharmonian keluarga yang dibina. Seharusnya rumah tangga yang dibina menjadi indah dengan lahirnya anak-anak.
Hadkan waktu untuk anak & Suami
Di samping, jelas Dr Mohd Noor, tidak salah dan sewajarnya ibu memberikan perhatian kepada anak-anak. Apatah lagi sewaktu anak-anak masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibu. Namun kita perlu bijak untuk menghadkan waktu-waktu tertentu melayan suami:
- Bermainlah dengan anak bersama-sama suami agar masa tersebut dapat dirasai oleh kedua-dua anak dan suami.
- Kadang-kadang kita rasakan tidak adil jika suami marahkan kita bercakap tentang anak-anak, sedangkan anak adalah milik bersama yang perlu diberi perhatian. Namun, rancang supaya ada waktu kita bercakap tentang anak, ada waktu bercakap tentang hubungan kita dengan suami juga, ada waktu untuk membelai anak-anak dan ada waktu untuk bermanja dengan suami. Layanlah juga suami bercakap tentang hobinya, malah berilah sokongan tentang kerjayanya.
- Menjadi ibu yang selekeh dengan baju lusuh mungkin tidak salah, malah memudahkan kita menyusukan anak-anak tetapi suami kita adalah lelaki yang fitrahnya sukakan wanita yang cantik, bergaya pakaian dan menarik.
- Elakkan daripada ketiadaan masa untuk bersama suami, apatah lagi suami telah pun begitu lama bersabar sepanjang waktu pantang kita. Memang diyakini suami akan memahami dan boleh bertoleransi, tetapi jangan sampai dia terasa kehilangan langsung.
- Ada benarnya juga sesetengah suami yang mengadu, seolah-olah kehidupan isteri seharian hanya untuk anak semata-mata. Untuk tidak terasa kekosongan sebegitu, bahagikan masa kita bersama anak, wujudkan juga masa suami bersama anak dan masa kita bersama suami. Jangan sesekali kita gunakan alasan anak untuk tidak bersama suami.
- Jangan biarkan sesuatu permintaan suami diulang lebih dua kali. Ini kerana permintaan yang diulang bermaksud serius dan penting untuk diberi perhatian, sekiranya diulang lebih tiga kali atau suami mulai berdiam selepas mengulang beberapa kali, mungkin bermakna dia berjauh hati atau terasa tidak diendahkan.
- Sayangilah anak, tetapi hormatilah suamI. Uruskan anak, tetapi jangan lupa jaga penampilan cantik untuk suami. Elakkan tidur bersama anak, kerana suami juga memerlukan kita sebagai temannya. Hormati fitrah suami, mudah-mudahan suami juga mudah bertoleransi untuk kebahagiaan kita.
Kesan Buruk
Kesimpulannya, menurut Dr Mohd Noor, situasi sebegini akan menimbulkan beberapa implikasi seperti kes suami mulai curang selepas isteri melahirkan anak. Malah ada satu kajian yang dibuat di Amerika Syarikat mendedahkan antara punca perceraian yang berlaku adalah disebabkan isteri yang terlalu keibuan dan suami yang terlalu kebapaan.
“Suami memerlukan kita sebagai isteri, dengan sifat ke”isteri’an, bukannya keibuan. Akibat terlalu mengutamakan anak, isteri yang menumpukan perhatian terlalu banyak kepada anak-anak menjadikan tanpa sedar, lebih terbawa-bawa bersifat keibuan, walaupun ketika bersama suami. Begitu juga sebaliknya, isteri juga mengharapkan suami yang bersifat ke’suami’an, bukannya kebapaan.

“Malah mudah sebenarnya untuk difahami, fitrah suami sebagai lelaki sentiasa memerlukan seorang isteri yang menghormati dan mentaatinya. Disebabkan persoalan kali ini menjurus kepada peranan isteri, untuk kita sebagai isteri, saya yakin kita telahpun menjalankan tugas yang betul apabila menumpukan keperluan anak-anak dalam keluarga,”katanya lagi.
Namun, dengan kaedah dan pendekatan yang bijak, insyaallah tidak menyebabkan suami rasa terpinggir. Contohnya, kita elakkan kesan negatif yang mungkin berlaku kepada suami seperti rasa tidak dihormati, rasa sunyi lantaran tiada teman untuk bermanja dan dibelai, malah mungkin terasa kehilangan isteri yang cantik, seksi dan menggoda disebabkan karakter kita sebagai ibu biasanya tidak menampilkan sifat-sifat sebegitu.
Akhirnya, kita bimbang lama-kelamaan tanpa kita mengendahkannya, kehilangan yang dirasai oleh suami tadi diisi oleh orang lain. Bukan sahaja hubungan kita yang terganggu, malah hubungan suami dengan anak kita juga mungkin tidak menjadi baik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pernah Tiga Minggu Atin Koma, Anita Reda Keadaan Anaknya Sekarang…

Isi Kandungan
ToggleMemiliki anak-anak yang sihat juga adalah rezeki yang tak ternilai harganya buat ibu bapa. Namun begitu, andai anak-anak diuji dengan penyakit tertentu, tetap diterima dengan reda kerana itu semua adalah ujian Allah SWT untuk hamba-Nya.
Bagi pasangan Anita Binti Mat Tahir, 42, dan suami, Hasnizam Bin Mohamed, 46, anak ketiga mereka, Fatin Nur Fatehah telah didignosis dengan penyakit Palsi Serebrum selepas dilahirkan. Selain Fatin, pasangan itu turut memiliki dua orang anak lelaki yang kini berusia 20 tahun dan 12 tahun.

Kandungan Yang ‘Istimewa’
Menurut Anita, ketika mengandungkan Fatin Nur Fatehah atau mesra dipanggil Atin, semuanya berjalan lancar. Allah sangat mempermudahkan ketika mengandungkan Fatin. Berbeza dengan abang-abang Atin, saya mengalami tekanan darah tinggi dan kencing manis ketika mengandungkan mereka dan kerap berulang alik ke klinik dan hospital.
” Segala-galanya normal sehinggalah masuk minggu ke-38. Saya didapati demam dan ketika itu kandungan normal saja. Dua hari sebelum kelahiran, pergerakan Atin di dalam kandungan agak perlahan tapi degup jantungnya normal. Namun keesokan hari ketika hendak pergi kerja, saya rasa badan saya lain macam. Hati ini rasa serba tak kena, terus beritahu suami supaya hantar saya ke hospital selepas hantar anak ke sekolah. Namun waktu itu, saya tak rasa sakit hendak bersalin pun.” Ujar Anita membuka bicara.
Dibedah Secara Kecemasan
“Sampai di hospital, didapati tekanan darah saya agak tinggi dan saya demam. Bila nurse periksa degupan jantung bayi, katanya bacaan tak berapa cantik dan panggil doktor.
“Ketika itulah doktor tiba-tiba beritahu yang saya perlu dibedah kecemasan. Ketika Atin lahir, doktor kata dia dah tak ada dan umumkan meninggal dunia. Namun tiba-tiba saja Atin memberikan respons.
” Saat itu, doktor terus sedaya upaya berusaha selamatkan Atin dengan menebuk perut Atin dan sambungkan wayar bantuan penafasan dan sebagainya. Alhamdulillah Atin sangat kuat dan mampu bertahan.” Tambahnya.

Anak Istimewa
Selepas dipindahkan ke wad, suami Anita memberitahu yang anak mereka mungkin akan jadi anak istimewa dan dipantau di wad NICU.
” Waktu itu, saya sudah pasrah dan reda. Bila suami bawa saya tengok Atin di wad dengan wayar yang berselirat di badannya, sayu rasa hati. Tapi saya sudah reda dengan apa juga keadaanya kelak.
” Saya patut bersyukur keadaan anak ini cukup sifat berbanding bayi lain dan dari situlah timbul kekuatan diri menerima Atin seadanya. Kami juga bersyukur, kami dapat dignosis Atin lebih awal. Ketika Atin di dalam NICU, kami sudah diberikan sesi kaunseling dan doktor sudah beritahu yang anak kami OKU terlantar cerebral palsy dan memerlukan sepenuhnya perhatian. Tak boleh makan minum dan pakai sendiri. Semua kena bantuan ibu bapa dan keluarga.
” Tiga minggu Atin koma, hari-hari saya bercakap dengannya dan memberikan semangat sehinggalah dia akhirnya membuka mata. Itulah saat yang paling menggembirakan hati saya.
” Alhamdulillah saya bersyukur famili saya dan suami sangat supportif, mereka pun buat macam-macam usaha termasuk bacaan yassin di surau dan sebagainya. Arwah emak memang sangat risau takut saya akan meroyan kerana terlalu sedih. Doktor ada menyatakan punca Atin menjadi cerebral palsy mungkin sebab saya demam dan semasa proses kelahiran, oksigen tak sampai ke otaknya. Apa juga puncanya, saya sedar itu semua kuasa Allah Yang Esa.” Tuturnya lagi.
Perkembangan
Anita dan suami juga sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk Atin.
” Dari usia Atin 4-5 bulan, saya dah bawa dia pergi fisioterapi. Saya juga daftarkan Atin di Spastic Central Petaling Jaya untuk fisio dan cara kerja. Usia Atin 5 bulan saya dah ke hospital rehab Cheras. Sehingga kini Atin masih berterapi di Hospital Rehab Cheras dan Spastic Central untuk membantu Atin lebih memperolehi perkembangan yang lebih baik.

” Dari umur satu tahun Atin mendapatkan injection botox untuk melembutkan saraf dan intensif fisio. Dia juga baru menjalani pembedahan tulang pinggul untuk memasukkan plate, hamstring release, hip dan percutaneous TA leghthening supaya lebih selesa bila buat fisio dan berdiri di standing frame untuk kekuatan kaki dan tulang belakang bagi menggelakkan berlakunya scoliosis,” jelas Anita.
Sanggup Berhenti Kerja
Demi Atin, Anita nekad berhenti kerja. “Tak sangka, dapat tawaran menyambung pelajaran di bidang perbidanan dan stimulaterapi untuk anak-anak istimewa. Jadi saya gunakan ia untuk mengurut dan stimulaterapi untuk perkembangan Atin selain fisio terapi yang kerap.
” Setiap bulan Atin minum susu pedisure dengan anggaran kos RM800 sebulan. Syukur juga kini Atin tidak lagi mengunakan ryles tube untuk makan dan minum. Berkat kesabaran gigih ayah Atin mengajar Atin menelan walau pun mengambil masa 1oz untuk 3 jam, kini Atin boleh menelan sendiri tanpa mengunakan tiub.
” Dulu Atin langsung tak boleh bergerak ke kanan dan ke kiri lembik, Alhamdulillah pelan-pelan Atin menunjukkan perkembangan yang lebih baik. Walau pun Atin tak boleh mendengar, kami mengajar Atin dengan mengunakan mata dan dia boleh mengikut arahan,” tambah Anita.
Kumpulan sokongan
Menurut Anita, dia juga turut mencari kumpulan sokongan bagi mendapatkan lebih banyak makluman berkaitan penyakit anaknya.
” Group pertama yang saya sertai ialah Malaysia Advocates Cerebral Palsy. Saya juga merupakan pengasas Kumpulan Support Group Kau Yang Teristimewa ( KYT), merupakan kumpulan sokongan ibu bapa anak-anak OKU pelbagai diagnosis dan kami sering bertukar-tukar cerita kisah duga, suka, terapi anak-anak dan kami sering melakukan aktiviti riadah bersama.” Akhiri Anita menutup bicara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kajian Biologi: Wanita Lahirkan Ramai Anak Lelaki Miliki Jangka Hayat Lebih Pendek!

Isi Kandungan
ToggleTidak dinafikan ada sesetengah pasangan hanya memiliki anak perempuan dan tidak mempunyai anak lelaki.Rupanya ia ada hikmahnya yang tersendiri. Ini kerana terdapat kajian daripada aspek biologi mendedahkan bahawa melahirkan ramai anak lelaki boleh memendekkan jangka hayat si ibu.
Perkara ini dikongsikan oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect Consultancy sebagai rujukan;
ANAK LELAKI MEMENDEKKAN USIA IBU. BENARKAH?
Dua buah kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Turku, Finland iaitu Helle dan Lummaafound, mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak-anak lelaki mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding ibu yang melahirkan anak-anak perempuan.
Jangka hayat ibu-ibu didapati berkurang selama 34 minggu jika mengandung dan melahirkan anak lelaki. Kajian juga mendapati semakin ramai anak lelaki, semakin pendek jangka hayat si ibu.
Jika melahirkan anak perempuan, jangka hayat ibu didapati lebih panjang.
Satu lagi kajian yang dijalankan di Denmark berpandukan data dari tahun 1980-2010 dari Danish National Register pula mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak lelaki lebih berisiko untuk terkena serangan jantung, osteoarthritis, arthritis, barah ovari, barah payudara, diabetis type 2 dan obesiti setelah berusia 45 tahun.
3 Punca Utama
Antara penjelasan yang diberikan oleh Birgitte Hollegaard dari University of Copenhagen tentang keputusan ini adalah
1) Ketika mengandungkan anak lelaki, tubuh ibu memerlukan lebih banyak tenaga ataupun kalori berbanding ketika mengandungkan anak perempuan. Ini menyebabkan ibu lebih berisiko untuk menghadapi masalah kesihatan apabila usia meningkat.
2) Kebanyakan bayi lelaki dilahirkan dengan berat yang lebih berbanding anak perempuan. Ini juga memberi bebanan yang lebih kepada fizikal si ibu.
3) Penghasilan susu ibu untuk anak lelaki juga didapati memerlukan lebih banyak tenaga dari ibu. Walau bagaimanapun dapatan dari kajian ini adalah pelbagai.
Mengandung dan melahirkan anak bukanlah satu proses yang mudah. Trauma yang dialami oleh fizikal, emosi dan mental seorang ibu ketika mengandung dan melahirkan tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat diungkapkan.
‘Post partum depression’ juga adalah sebahagian dari trauma ini yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang ringan. Ia berlaku tanpa disedari dan tanpa boleh dikawal oleh si ibu.
Para bapa perlu berada di sisi ibu sepanjang masa untuk memberi sokongan. Para bapalah yang perlu menjadi ‘DOULA’ kepada si ibu kerana anak-anak adalah tanggungjawab bersama dari mula kejadian sehinggalah dilahirkan dan dibesarkan.

Anak lelaki ataupun anak perempuan, kedua-duanya adalah ujian walaupun mungkin cabaran yang diberikan adalah berbeza. Hidup, mati, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Walau bagaimanapun kita perlulah berusaha untuk menjaga tahap kesihatan fizikal, emosi dan mental supaya amanah untuk membesarkan dan mendidik anak ini dapat dipikul sebaiknya. Ini memerlukan usaha bukan hanya diam menyerahkan segalanya kepada takdir tanpa usaha. Dapatkan nasihat pakar tentang kesihatan.
Semoga kita dapat mendidik anak lelaki dan anak perempuan kita menjadi anak soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita satu hari nanti. Semoga kita juga dapat membimbing mereka agar dapat menyumbang kepada keluarga dan masyarakat dengan kelebihan masing-masing, tidak kiralah panjang atau pendek jangka hayat kita di dunia yang fana ini.
Oh ya, kajian-kajian yang dijalankan tersebut juga mendapati walau si ibu melahirkan anak lelaki atau anak perempuan, ia tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas jangka hayat si bapa.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Sesungguhnya urusan jodoh, anak dan ajal kematian merupakan ketentuan daripadaNya.Bersyukurlah dikurniakan anak tak kira lelaki mahupun perempuan, persiapkanlah diri mereka agar menjadi anak yang soleh, solehah agar mampu menjadi ‘bekalan’ dan saham akhirat buat kita bila telah tiada nanti.
Sumber: Parent Connect
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI