Kiriman WhatsApp ini benar-benar meruntun hati. Ianya kisah seorang wanita yang telah berpisah dengan suami dan dihimpit ujian yang sebegitu hebat; disahkan alami kanser Limfoma, hilang pekerjaan, rumah malah dibebani hutang.
Benarlah berat sekali ujian yang ditanggung. Adik ini merupakan follower Puan Dzuriasikim Dzulkefli, pengasas K’Hermosa Anti-Aging Skincare. Puan Dzuria juga pernah melalui kisah pilu yang menggemparkan satu negara.
Tanpa rasa kalah, beliau bangkit. Semangat ibu tunggal anak 5 ini tak pernah tergugat. Pernah melalui episod duka dalam rumahtangganya. Ini pesanan yang dititipkan untuk adik yang menghubunginya.
Ada follower Facebook menulis kepada saya, katanya dirinya sudah putus harap kerana ujian datang bertimpa. Dia kini menjadi janda (saya tidak bertanya kenapa bercerai). Wanita ini tidak mempunyai anak. Malah dia juga sudah tiga bulan tidak bekerja.
Sudah jatuh ditimpa tangga… Dia menghidap sejenis penyakit yang menyukarkannya untuk mendapatkan pekerjaan. Ibu dan ayahnya sudah tiada. Adik beradik ada yang membantu, tetapi setakat manalah sangat …kerana masing-masing pun sudah punya keluarga.
Dia terpaksa menanggung hutang dan segala komitmen kewangannya tidak tertanggung! Besarnya ujian.
Saya amat bersimpati. Saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Katanya beliau sudah terlalu putus asa, hingga kadang-kadang terfikir untuk melakukan perkara negatif kerana terlalu tertekan.
Beliau akhirnya membuat keputusan untuk menulis kepada saya… (Saya harap adik ini membaca).
Perkongsian ini saya paparkan dengan izin agar dapat dijadikan panduan bersama.
Pertama harus ingat, Allah hanya menduga hamba yang kuat serta mengikut kemampuan mereka sahaja. Untuk itu, adik adalah seorang yang kuat dan dipilih olehNya…
Kedua selalulah berlapang dada dan berdoa kepada Allah dengan ikhlas. Jika boleh …bangunlah untuk Bertahajud. Korban sedikit waktu tidur.
Mintalah apa sahaja dari Allah. Tetapi usah meminta-minta dari manusia. Yakin lah dengan keajaiban Tahajjud!
Jika susah dapat kerja, usah mengalah. Adik boleh buat kuih atau nasi bungkus atau nasi lemak atau apa sahaja, letak di kedai. Andai tiada kepandaian memasak, ambil upah jaga anak jiran, lipat pakaian di kedai dobi atau di rumah orang.
Jangan manjakan diri. Janji kita tidak mencuri. Tidak ada apa yang perlu dimalukan. Kalau satu kerja hasilnya tidak seberapa, lakukan 2 pekerjaan! Ingat, pendatang yang datang pun boleh hidup berjaya.
Selalu bandingkan diri kita dengan orang yang lebih malang nasibnya. Sekurang-kurangnya Adik masih cukup sifat. Ada tangan dan kaki. Bersyukur….
Usah sedih dengan nasib. Sentiasalah berbaik sangka dengan perancangan Allah. Usahlah kenangkan perkahwinan yang musnah.
Fikirkan bagaimana cara untuk membahagiakan diri. Tidak ada orang lain yang boleh membahagiakan kita, melainkan kita sendiri. Selalu pandang ke hadapan. Never look back!
Jangan lakukan apa sahaja perkara negatif yang terlintas. Kelak diri merana. Ingatlah, hidup ini umpama roda. Adik tidak akan berada di bawah selamanya.
Semua orang akan melalui proses yang sama. Bezanya, tidak semua yang akan bercerita kesedihan mereka.
Adik baru 3 bulan tidak bekerja. Saya pernah tidak mendapat gaji berbulan-bulan lamanya dengan 5 anak yang masih belajar.
Senyumlah. Ketahuilah bahawa ada orang yang hidupnya lebih merana. Kita doakan semoga adik ini tabah.
Sumber/Foto : Facebook Dzuriasikim Dzulkefli