6 Kaedah Didik Anak Supaya Suka Belajar & Cintakan Ilmu Yang Mak Ayah Boleh Praktikkan

Share

Sebenarnya ada kaedah tertentu yang boleh mak ayah praktikkan dalam mendidik anak agar suka belajar dan cintakan ilmu. Mak ayah perlu tahu bahawa pendidikan anak-anak yang pertama adalah bermula dirumah! Oleh itu adalah amat penting bagi mak ayah agar mempunyai ilmu dan faham kaedah yang boleh dipraktikkan untuk anak tersayang.

Berikut merupakan perkongsian ilmu daripada Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Noor Afidah Abu Bakar sebagai rujukan mak ayah.

“Menurut Harvard Center on The Developing Child (HCDC), sebanyak 1000 trillion perhubungan neural (neural connection) terbina dalam otak kanak-kanak ketika berusia 1-3 tahun.Perhubungan neural ini terbina apabila otak kanak-kanak diberikan stimulasi dengan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran”.

Otak kanak-kanak secara semulajadinya sentiasa bersedia untuk melalui proses pembelajaran. Perhubungan neural inilah yang membantu kanak-kanak untuk belajar dan menyerap maklumat melalui pengalaman yang dilalui.

Ketika usia ini kanak-kanak suka belajar kerana seronok hendak belajar. Walau bagaimanapun, menurut HCDC juga, proses pembelajaran menjadi lebih sukar apabila otak kanak-kanak tidak mendapat stimulasi yang optimum apabila mereka meningkat usia.Keseronokan dan minat kanak-kanak untuk belajar juga didapati semakin menurun terutamanya apabila kanak-kanak terpaksa melalui rangkaian ujian dan peperiksaan dari usia yang terlalu awal.

Menurut Professor Richard Ryan seorang pakar psikologi dari University of Rochester, kanak-kanak berminat untuk belajar apabila pembelajaran berlaku secara semulajadi, iaitu melalui bermain kerana bermain adalah kecenderungan semulajadi kanak-kanak.

Ibubapa boleh memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan minat dan motivasi semulajadi kanak-kanak terhadap pembelajaran.

Keinginan anak untuk ‘explore’ dan ‘discover’ boleh dipupuk melalui 6 kaedah berikut:

1) KONGSIKAN PENGETAHUAN DENGAN ANAK

  • Ibubapa adalah suri teladan (role model) terbaik anak-anak. Peringkat pertama pembelajaran seorang anak adalah dengan meniru perbuatan ibubapa walaupun mereka belum faham apa yang ditiru.
  • Kongsikan dengan anak apa saja ilmu yang anda pelajari atau baca sama ada sukan, masakan, isu semasa, fesyen, alam sekitar, ekonomi, politik, ataupun sains.
  • Bersembanglah dengan anak dengan cara yang bersesuaian dengan usia anak. Jangan dipandang rendah keupayaan anak untuk sama-sama mendengar dan berbincang dengan ibubapa pengetahuan yang berkaitan.
  • Ceritakan kenapa anda rasakan topik atau isu berkenaan menarik perhatian anda untuk dikongsi. Dengan cara ini secara tidak langsung anak akan mempelajari bahawa proses menuntut ilmu dan pengetahuan itu bukanlah untuk kanak-kanak sahaja dan tidaklah terhenti apabila tamatnya persekolahan.

2) LIMPAHI ANAK DENGAN BAHAN BACAAN

‘Iqra’ (Bacalah) – Al-Alaq

  • Minat membaca menjadi faktor yang penting untuk melahirkan ‘life-long learners’. Kajian oleh Harvard University mendapati bahawa kanak-kanak yang suka membaca adalah mereka yang mudah mendapat bahan bacaan seperti buku, majalah, surat khabar, kamus dan ensaiklopedia di sekitar mereka.
  • Pastikan bahan bacaan di letakkan di tempat yang mudah diambil dan berdekatan dengan anak, seperti di bilik tidur, supaya minat itu berterusan dan tidak terputus.
  • Bacakan buku untuk anak kecil dan baca bersama-sama apabila mereka semakin membesar. Bincangkan dengan anak tentang kandungan buku dan tanyakan pendapat anak tentang watak dan cerita tersebut.
  • Penyertaan aktif anak dalam proses membaca dan perbincangan akan menambahkan lagi minat anak untuk membaca buku dan seterusnya menimba ilmu dan pengetahuan dari pembacaan.

3) MULAKAN DENGAN MINAT SEMULAJADI ANAK

  • Setiap anak mempunyai minat yang berbeza. Minat anak juga mungkin berbeza dari minat kita. Minat tidak boleh dipaksa sebaliknya perlu dipupuk. Minat anak boleh dikesan dari kecil lagi terutamanya apabila anak sering didedahkan kepada pelbagai pengalaman dan persekitaran.
  • Berikan masa untuk bayi memegang, menyentuh dan merasa objek dan permainan supaya minat dapat dikesan dan terus dipupuk. Ibubapa berperanan untuk memberi sokongan dan galakan supaya minat itu berkembang melalui proses pembelajaran yang berterusan.

4) TETAPKAN BATASAN DALAM MEMBANTU

  • Kajian mendapati bahawa ibubapa yang mempunyai anak yang bermotivasi tinggi untuk belajar adalah ibubapa yang tidak memberi tekanan yang melampau, tidak melakukan semua untuk anak dan tidak membuat keputusan untuk anak.
  • Ibubapa ini memberi kebebasan untuk anak-anak berfikir dan memberi pendapat mereka berkaitan sesuatu perkara. Ibubapa ini memberi panduan dan sokongan untuk anak-anak dalam membuat keputusan.
  • Beri peluang kepada anak kecil untuk membina binaan blok mengikut idea dan keupayaan anak, menyelesaikan ‘puzzle’ dan juga menyelesaikan latihan matematik dengan sendirinya tanpa bantuan yang melampau daripada ibubapa.Ini akan melatih anak untuk menjadi lebih kompeten dan resilien. Anak yang merasakan diri kompeten, akan lebih berminat untuk belajar dan terus mencabar diri sendiri untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya.

5) GALAKKAN ANAK BERTANYA SOALAN

“Wisdom begins with wonder”

  • Anak kecil sentiasa ‘curious’ dengan persekitaran mereka. Biar anak bertanya apa saja soalan kerana pembelajaran berlaku dengan lebih efektif melalui kaedah soal jawab.
  • Layanlah setiap soalan. Jika kita tidak tahu jawapannya, beritahu anak yang anda tidak tahu dan ajak anak untuk sama-sama mencari jawapannya sama ada melalui ensaiklopedia, buku ataupun internet. Wujudkan budaya mencari maklumat kerana ia akan mengujakan anak-anak.
  • Ibubapa juga perlu sering bertanya soalan kepada anak untuk mencetuskan keinginan untuk mencari jawapan dan seterusnya memupuk minat untuk belajar dan menimba ilmu.Tanyakan soalan yang berbentuk konseptual seperti “Kenapa agaknya burung kembali ke sarang apabila masuk waktu senja?”. Soalan yang sebegini akan mencetuskan persoalan di dalam diri anak yang membawa kepada pencarian ilmu.

6) FOKUS PADA USAHA DAN BUKANNYA HASIL SAHAJA

  • Carol Dweck, seorang pakar psikologi dari Stanford University mendapati bahawa kanak-kanak lebih bermotivasi untuk belajar apabila pujian diberikan kepada usaha yang ditunjukkan berbanding hasil yang dicapai.
  • Semua anak mencapai sesuatu hasil pada kadar yang berbeza. Jika ibubapa memberi penekanan kepada hasil tanpa mempedulikan usaha, anak yang lambat mencapai sesuatu hasil akan merasakan diri tidak dihargai dan terpinggir.Ini akan mematikan minat anak untuk belajar dan berusaha. Pujilah setiap usaha anak untuk memberikan keyakinan kepada anak tersebut bahawa dia juga boleh berjaya satu hari nanti.

Sama-samalah kita wujudkan budaya cintakan ilmu dalam keluarga kita dan seterusnya melahirkan ‘lifelong learners’ dalam masyarakat.

Jadilah ibubapa yang hebat!

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan sama-samalah kita berusaha menjadi mak ayah yang terbaik buat anak-anak.

Sumber:Parent Connect
Kredit Foto: nandakusumahati

 

 

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab