Siapa kata dah sepuluh sebelas tahun berkahwin, hubungan romantik suami isteri makin pudar? Hambar dan pudar itu kerana dari awal perkahwinan kita tak menjaga dan menyuburkan amalan romantik yang dapat mengikat pasangan.
Rasulullah S.A.W sendiri tetap romantik dengan isteri-isterinya. Romantik itu juga sunnah. “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Rasulullah shallallau ‘alaihi wasallam berasabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (HR. At Tirmidzi).
Nah, masih ada lagi yang mahu mempertikaikan. Betapa setiap pasangan suami isteri itu perlu mempertahankan, menyuburkan perasaan kasih sayang dalam membina keluarga yang harmoni. Bukan susah pun nak pupuk rasa kasih pada suami mahupun isteri.
Sayangnya, ramai yang dah seakan melupakan. Sebab terlalu banyak prasangka, ketidakpuasan hati malah dendam dalam diam dengan pasangan. Jom buat hubungan suami isteri kekal mesra seperti baru-baru mendirikan rumah tangga.
Bak kata Fazura ketika ditebak rasa hatinya selepas bergelar isteri Fattah Amin, ‘Pergi toilet pun rindu’. Anda pun waktu awal perkahwinan tentu merasakan emosi yang sama terhadap suami. Dan momen rindu itu, tetap akan ada andai tahu bagaimana menyuburkannya.
Seharusnya bila dah berumah tangga, kena buang jauh rasa ‘malu anak tengok’, ‘pelik-pelik perangai manja awak ni’. Biarlah pun anak lihat sikap romantik ibu dan ayahnya, nanti bila dia dewasa dia tahu bagaimana untuk meromantikkan pasangannya.
Anda yang masih belum faham macam mana nak beromantik-romantik dengan suami atau isteri, cuba lakukan panduan yang MW kongsikan ini.
Sebab apa kena buat semua itu. Pelukan 10 saat bukan saja buatkan anda panjang umur, tapi mendorong semangat positif dan yakin diri pasangan untuk melangkah mencari rezeki. Kucuplah pipi atau tangan pasangan, biar sentuhan itu kekal mesra dan jadi rutin.
Bayangkan anda lakukan hal ini selama berkahwin, tidakkah ia akan jadi satu amalan yang anda dan pasangan rindukan jika ditinggalkan? Bayangkan suami perlu bertugas di luar daerah. Pasti bertambah rutin harian anda. Sekarang lebih mudah, jika rindu video call boleh dilakukan.
Cepat-cepatlah berbaik sekiranya berlaku perselisihan faham. Usah biar berlarutan walau untuk satu jam apatah lagi lebih 3 hari. Ibu bapa yang rasional tidak akan bertengkar depan anak. Mereka tahu bagaimana mahu mengawal emosi.
Dalam bilik tidur boleh sambung rasa tak puas hati dengan pasangan. Luahkan dan selesaikan segera. Sebab itu, bila anak masuk 7 tahun kena pisahkan tempat tidurnya dengan mak ayah. Jadi mak ayah ada masa untuk beromantik berdua.
Jangan sekali-sekali berpisah tempat tidur dengan pasangan walau anak telah berderet atau usia kian meningkat. Tip ini harus dipraktikkan bagi mengeratkan hubungan kasih sayang sekali gus menyemarakkan lagi rasa cinta antara pasangan.
Jangan mengambil remeh saranan ini, sebab impaknya besar. Tidur bersama pasangan antara hal yang buatkan pasangan semakin sayang dan sentiasa saling merindui jika terpaksa berpisah tempat tidur.
Bayangkan anda biarkan isteri tidur dengan anak-anak atau sendirian tanpa pelukan setiap malam. Apa akan jadi dengan emosi isteri? Anda akan lihat sendiri kesannya dengan cara pasangan melayan anda. Sebenarnya dalam diam, isteri makan hati.
Amalkan solat berjemaah ketika kalian berada di rumah. Ucapan doa yang dilafazkan serta hulurkan tangan tatkala bersalaman diyakini mampu menyemarakkan keharmonian rumah tangga.
Begitu juga pada waktu makan. Biasakan minum pada bekas bibir gelas yang digunakan pasangan sepertimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Jangan segan atau geli untuk menggunakan gelas atau pinggan yang pasangan gunakan.
Seorang isteri amat berbesar hati jika suaminya tahu bagaimana mahu memanjakan dirinya. Bukan semata-mata dengan wang ringgit, tapi kata-kata yang buat jiwanya berbunga-bunga. Tapi kalau memanjakan dengan wang ringgit pun isteri takkan tolak. Double berbunga-bunga lagi.
Bukan semua lelaki mudah nak ucapkan ‘I Love You’. Macam ada besi berat dalam mulut kalau minta mereka ungkapkan. Tapi percayalah, bila suami sudah cinta ‘body language’nya pun kita tahu betapa besar rasa cinta itu.
Jadi, nak bagi isteri lebih lembut hati, suami panggillah isteri dengan panggilan ‘Sayang’ ‘Manja’. Jangan pula panggil ‘ibu’ ‘oii’ atau ‘awak’. Panggilan yang manis-manis semacam itu pun boleh buatkan hubungan terus romantis. Walau tengah marah pun, lama-lama boleh lega semula.
Sekali-sekali lakukan kejutan buat pasangan sama ada membeli hadiah atau kad bagi mengingati peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku dalam alam rumah tangga anda. Kejutan itu, boleh jadi bawa dia pergi berjalan dan berikan dia hadiah yang selalu dia idam-idamkan.
Sebagai pasangan tentu dia ada meluahkan apa keinginannya. Kumpullah duit untuk membahagiakan mereka. Bila dah cukup, berikan kejutan yang pasangan idamkan. Rasa-rasa, isteri atau suami hatinya kembang setaman tak? Mahu rasa bahagia itu terserlah di wajah.