52 Staf Wanita UTHM Tawan Kinabalu, Catat Rekod Baharu Dalam Malaysia Book of Records

Share

Seramai 52 staf wanita Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu ‘Most Women Participants to Climb Mount Kinabalu’ setelah berjaya menawan Gunung Kinabalu baru-baru ini.

Sambutan 30 Tahun UTHM

Pendakian selama hampir 24 jam itu diakhiri dengan pengibaran bendera universiti sempena sambutan 30 tahun UTHM serta pengibaran bendera Johor dan Malaysia bersempena sambutan Hari Malaysia.

Menurut Pengarah Program Wanita Kinabalu, Ts. Dr. Nur Kamilah Yusuf walaupun ada waktunya mereka terpaksa meredah hujan, namun berkat semangat juang para pendaki, mereka akhirnya berjaya menawan Gunung Kinabalu.

Membudayakan Hidup Sihat Wanita Bekerjaya

Tambah beliau, program pendakian yang diadakan sempena sambutan 30 tahun UTHM itu bertujuan membudayakan hidup sihat dalam kalangan wanita berkerjaya yang berumur antara 20 hingga 50-an.

Selain itu, program itu juga bertujuan berkongsi manfaat bersama warga universiti dan komuniti setempat melalui penganjuran beberapa siri Corporat Social Responsibility (CSR), sekali gus sebagai usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 di bawah agenda pemerkasaan wanita (SDG 5: Gender Equality).

Program Ilmu & Aktiviti CSR

Jelas Dr. Kamilah lagi, di bawah Program Pendakian Wanita Kinabalu, pihaknya turut menjalankan beberapa program sampingan lain seperti slot perkongsian ilmu berkaitan kemiskinan haid dan aktiviti CSR melibatkan tiga kawasan iaitu Kampung Orang Asli Kangkar Senangar, Parit Sulong, Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing dan Kampung Semuruh, Kundasang.

“Sebelum pihak kami memulakan pendakian pada 15 September, Yayasan UTHM bersama alumni UTHM dari Politeknik Kota Kinabalu telah mengadakan aktiviti CSR melibatkan kerja-kerja gotong royong bersama penduduk, forum berkaitan kemiskinan haid dan penyerahan tuala wanita guna semula sumbangan daripada Athena Holding kepada penduduk setempat yang memerlukan,” katanya.

Dr. Kamilah mewakili UTHM turut melahirkan penghargaan beliau kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan Program Pendakian Wanita Kinabalu itu sehingga berjaya mencatatkan rekod baharu dalam MBOR.

“Pihak kami sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada pihak Sabah Park, Taman Kinabalu, Persatuan Malim Gunung Kinabalu, porter, pasukan perubatan Pusat Kesihatan Universiti bersama dua doktor pakar sakit puan dari Hospital Pantai Batu Pahat dan Hospital Gua Musang serta kru RTM yang banyak membantu merealisasikan misi ini,” katanya.

Mesti Baca:”Menitik Air Mata Tengok Mak, Kuat Dia Sampai Ke Puncak Kinabalu,”
Baca Lagi Di Sini:Noorliana Buktikan Wanita Pun Mampu Menawan Gunung Jika Kena Caranya, Paling Penting Jaga ‘Fitness”
Artikel Menarik:Malam Tengok Bintang, Bangun Pagi Boleh Hirup Secawan Kopi Panas Bersaksikan Gunung Kinabalu..

Mingguan Wanita: Tahniah diucapkan buat 52 staf wanita Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu ‘Most Women Participants to Climb Mount Kinabalu’ setelah berjaya menawan Gunung Kinabalu ini. Semoga menjadi inspirasi buat wanita lain juga supaya mengamalkan budaya hidup sihat juga.

Sumber: Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab