Tempoh lebih setengah abad atau anggaran tepat 51 tahun menetap di Terengganu, membuatkan wanita Perancis ini cukup sebati dengan kebudayaan, kesenian dan kehidupan masyarakat setempat di sana.
Menariknya, walaupun sudah menjangkau usia emas, seorang wanita kelahiran Paris, Perancis masih gigih untuk menyiapkan kertas kajian berhubung kebudayaan dan perubahan masa di peringkat doktor falsafah (PhD).
Christine Longuet atau nama Islamnya, Rohani Abdullah, 79, berkata, dia sudah menetap di Kampung Pulau Duyung, di sini, selama 51 tahun, sekali gus amat sebati dengan kehidupan dan budaya masyarakat setempat di situ.
Menurutnya, kali pertama menjejakkan kaki ke kampung itu, hatinya sudah tertarik dengan kehidupan masyarakat tempatan selain kagum dengan kesenian terutama tradisi membuat bot dan perahu layar.
“Sudah lapan tahun saya berusaha untuk menyiapkan kertas kerja di peringkat PhD dan insya-Allah hanya berbaki lima peratus yang belum siap.
“Kekangan waktu membuatkan kertas kajian ini masih belum siap dan saya berharap dengan usaha gigih saya mampu menyiapkannya dalam waktu terdekat,” katanya yang melanjutkan pengajian dalam jurusan Etnobotani di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Sebelum ini, Rohani melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Manakala, ketika berada di negara kelahirannya, dia memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sorbonne, Paris sebelum berhijrah ke negara ini.
Rohani berkata, Kampung Pulau Duyung, satu ketika dahulu amat terkenal dalam pembuatan bot dan kapal layar sehingga ramai individu dari benua Eropah datang untuk menempah kapal layar buatan tukang-tukang tempatan yang berkemahiran tinggi.
Menurutnya, disebabkan seni dan budaya kerana sudah lama menetap di kampung berkenaan, dia amat sukar untuk meninggalkan negeri ini.
Katanya, ketika mula-mula tiba di Malaysia, dia belajar bertutur Bahasa Melayu dengan tukang-tukang yang membuatkan bot dan perahu layar di tebing Sungai Terengganu.
“Saya mengambil masa hampir lima tahun untuk pandai berbahasa Melayu dan saya berkahwin dengan suami (Allahyarham) Wan Osman Wan Abdullah yang juga anak imam di kampung ini ketika berusia 34 tahun pada 1977.
“Hasil perkongsian hidup dengan arwah, saya dikurniakan empat cahaya mata berusia 37 hingga 45 tahun.
“Budaya masyarakat Melayu amat menarik dengan kehalusan seni bina, kehidupan bermasyarakat yang utuh membuatkan saya tertarik untuk terus menetap di negeri ini,” katanya.
Katanya, suatu ketika dahulu dia memiliki kapal layar bernama Ganti Rampai dan pernah membuat pelayaran dengan membawa anak-anak belayar di Laut China Selatan.
“Kapal layar milik suami masih ada, tetapi kini berada di bengkel bagi kerja baik pulih dengan reka bentuk ‘pinis gobel’ itu menjadi kenangan buat kami sekeluarga.
“Itu kisah dulu, namun kini dalam usia emas saya ingin menyiapkan kertas kajian di peringkat PhD dan banyak perubahan sudah saya lihat sejak era 70-an hingga kini yang berlaku di kampung ini.
“Dahulu suasananya lain kini ianya sudah lain. Ada juga tradisi yang kian ditelan zaman dan apa yang dapat dilihat iaitu industri pembuatan kapal layar dan bot juga semakin suram,” katanya.
Menurutnya, walaupun pembangunan semakin pesat, dia masih berharap tradisi di kawasan sekitar kampung itu tetap terjaga.
Katanya, dia juga menulis buku antaranya Puisi Duyung Pulau Rakyat, koleksi puisi tempatan dan Amanah: Journey An Architect iaitu buku mengenai hasil arkitek tempatan, Nik Mohamed Mahmood.
Mesti Baca: Sarat Hamil 8 Bulan, Ustazah Dr Oki Setiana Dewi Berjaya Raih PHD
Artikel Menarik:
NASI DAGANG Terengganu Elok Cantik,Guna Beras Basmathi Campur Beras Pulut SikitLagi Di Sini:Ibu Pelajar Terbaik SPM Terengganu Kongsi Amalan Didik Anak Cemerlang Dunia & Akhirat!
Mingguan Wanita: Kagum dengan kegigihan wanita Perancis ini, walaupun telah meniti usia emas tetap berusaha untuk menyiapkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD).Apatah lagi berkaitan kebudayaan, kesenian dan kehidupan masyarakat setempat. Semoga menjadi inspirasi buat kita dalam menuntut ilmu dan menghargai nilai budaya dan kesenian yang ada dalam negara.
Sumber: Hmetro
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita