50 Hari Bergelar Isteri Kepada Penyelam, Allah Uji AhTeng Dengan Berita Kematian Suami

Share

Tepat 50 hari Fatin Nor Afirah atau mesra disapa AhTeng bergelar isteri kepada penyelam profesional dan bekas tentera, Kapten Sazali Sakiran, Allah menguji wanita ini. Pada sambutan ulang tahun kelahiran ayahnya, dia harus akur apabila takdir Allah sudah tertulis buatnya.

Takdir yang sama sekali tidak boleh berubah sampai bila-bila. Takdir yang memisahkan dirinya dan suami di dua alam yang berbeza. Hanya ada air mata dan kerinduan selepas suaminya menemui ajal akibat diving related injury di mana paru-parunya pecah selepas naik ke permukaan air dengan terlalu cepat selepas menyelam pada kedalaman 60 meter.

Suaminya keluar mencari rezeki buat keluarga, dia diupah mengambil sample pasir pada kedalaman itu dengan harga RM1000.

Menziarahi kubur suami, kembali menyelam dengan baju kurung yang dipakai raya setahun sebelumnya. MW menghubungi dirinya dan berkongsi segala kenangan.

Pesan Agar Dikebumi Di Kampung

Mereka sama-sama meminati dunia diver ini dan terlalu banyak kenangan dikumpul biar pun diberi kesempatan sebumbung cuma untuk 50 hari sahaja. Mungkin tempoh itu tidak lama tetapi semasa berkenalan, Kapten Sazali atau mesra disapa Capt sudah “memanjakan” AhTeng.

Dia sanggup mengambil AhTeng di rumah sewa di subuh dinihari, kemudian menghantarnya ke stesen komuter Seremban. Dia melepaskan gadis disayanginya itu dengan pandangan mata kasih dan menjelang petang, tepat jam 6.30 petang, lelaki ini sudah setia menunggu di hadapan pejabat AhTeng yang terletak di Pantai Bharu, Kuala Lumpur.

Bukan saja-saja tetapi Capt inginkan masa bersama kerana dia tahu dirinya semakin kesuntukan masa. Saat indah diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan tiadanya majlis persandingan seperti permintaan AhTeng, rutin itu tidak pernah berubah malah lebih manis lagi, selain bekerja, tugas dirinya sebagai isteri hanyalah memasak sahaja. Lain, semuanya suaminya uruskan.

Bukan tak pernah AhTeng menggosok, mengemas rumah dan sebagainya tetapi suaminya merajuk. “Kalau ko buat semua kerja, aku nak buat apa pula di rumah,” itu balas suaminya yang mana bahasa percakapan mereka lebih kepada gaya orang Sabah bercerita.

Pada pertemuan itu, kongsi AhTeng, dua hari sebelum kejadian dia ada bergurau dengan suami, andai dirinya meninggal, dia bertanya di mana suaminya itu mahu mengebumikannya?

Ternyata soalannya membuat suami di sebelah merajuk. Selepas terdiam beberapa lama, suaminya pantas menjawap, di kampungnya, Kampung Api-Api Kuala Selangor.

“Kemudian suami berpesan jika suami pula yang meninggal dunia, dia mahu dikebumi di kampungnya. Biar jarang pulang ke kampung tetapi di situ ada kubur emak, ayah, adik dan anaknya.

“Selepas mendengar jawapannya, saya pula yang terdiam kerana berasa sebak,” kata AhTeng sambil menambah, kerana suaminya bersetuju menerima pekerjaan mengambil sample pasir di Lumut, demi keselamatan, suaminya telah menghantar dirinya ke rumah keluarga di Sungai Buloh, Selangor.

“Ketika ini, nampak arwah seakan tidak bersedia melepaskan saya pergi. Selepas bersalam dan memeluknya seperti biasa arwah bergerak ke keretanya. Dia masuk dan saya juga sudah mengunci pintu pagar tetapi arwah keluar semula dan memeluk saya sekali lagi, seolah-olah ingin memberitahu itulah pelukan terakhirnya, dunia dan akhirat.

Tidak Sedarkan Diri

Pagi esoknya, sama seperti hari-hari biasa, 20 Mac itu, AhTeng memulakan tugas di pejabat. Sekitar jam 2 petang, dia mendapat panggilan telefon daripada rakan arwah mengenai kemalangan berlaku. Bertalu-talu dia menyoal soalan kepada pemanggil. Sebagai penyelam, sama seperti suaminya dia tahu semua prosedur namun dirinya berasa sedikit lega apabila dimaklumkan yang arwah stabil.

“Saya dimaklumkan arwah suami naik terlalu laju ke permukaan udara. Kalau ikut peraturan menyelam, pada kedalaman 60 meter, penyelam cuma ada beberapa saat sahaja di dasar sebelum perlu naik ke atas. Biasa pada kedalaman 45 meter, kita cuma ada masa di antara lima minit sahaja dan kalau lebih dalam, masanya lebih pendek.

“Buat saya sedikit terkilan, tank spare cuma ada satu sedangkan yang pergi berdua. Laju saya memecut dari Kuala Lumpur menuju ke Lumut, Perak selepas mengambil isteri kepada kawan suami yang sama-sama menyelam dengannya itu.

“Ketika sampai di hospital, arwah suami sudah tidak sedarkan diri kerana ada tanda-tanda dia mengalami masalah decompression sickness, pulmonary barotrauma dan arterial gas embolism. Dan kata doktor, arwah tidak boleh dipindahkan ke alat kebuk oksigen (recompression chamber) yang ada di Hospital Angkatan Tentera Lumut kerana keadaannya tidak stabil. Dalam suami bertarung nyawa itu seorang lagi rakan selamnya sudah dimasukkan ke situ.

“Jam dua pagi, barulah arwah suami dimasukkan ke alat kebuk oksigen ini. Tujuannya bagi membuang nitrogen yang berlebihan dalam badan kerana tubuhnya memerlukan 100 peratus oksigen. Mungkin Allah sudah menulis segalanya buat suami. Dia stabil dan saya berada lega mendengarnya. Semalaman saya tidak dapat tidur, berdiri dan memandang mukanya yang belum juga sedar. Sekitar jam 7 pagi, saat mahu melelapkan mata seketika, doktor menghampiri dan memaklumkan yang suami seperti tiada harapan untuk sembuh.

“Allah, hanya itu mampu saya ucapkan. Air mata saya sudah kering sebelumnya dan saya sudah tidak mampu menangis lagi. Saya hubungi anak-anak suami dan bekas isterinya terdahulu. Arwah pernah berkahwin tiga kali dan mempunyai lima orang anak.

“Saya adalah isterinya yang terakhir seperti mana dia bersumpah, sayalah yang terakhir buatnya. Rupanya, janji Allah itu indah. Memang saya yang terakhir dalam hidupnya. Sebelum itu, kata arwah, kalau dia meninggal dunia, dia mahu anak-anak duduk menghadapnya. Allah kabulkan doanya. Allah atur cantik-cantik kehidupannya. Sempat anak-anak mengelilinginya. Lepaslah hajatnya,” kata AhTeng.

Mimpi Tentang Kematian

Semasa mengenali suaminya, AhTeng akui dia mendapat terlalu banyak mimpi-mimpi tentang kematian.

“Bila mimpi, saya kongsikan dengannya. Saya cakap saya nampak dia meninggal dunia. Dia tinggalkan saya tanpa anak, saya uruskan syarikatnya dan saya akan hidup sendirian. Bila saya beritahu, katanya serah kepada Allah segalanya.

“Bukan sekali tetapi banyak kali. Pernah saya terjaga dari tidur, saya pandang muka suami yang sedang lena tidur dan saya menangis. Dia bangun dan tenteramkan saya. Dia selalu memujuk saya dengan kata-kata positif dan jiwa saya akan jadi tenang.

“Benar, bagaimana keadaan saya hari ini, itulah mimpi yang dipertontonkan kepada saya. Kini saya duduk seorang diri. Saya tak ada anak dengannya. Pernah seminggu selepas abang meninggal dunia, dia datang dalam mimpi saya. Dia dengan pakaian selamnya, katanya dia minta maaf berkali-kali. Dia cakap masanya tidak lama dan mahu saya halalkan segalanya. Saya dapat rasakan air matanya panas lagi ketika itu. Bila sedar, saya menangis, saya meraung sekuat hati. Banyak kenangan manis kami ciptakan. Dia manjakan saya, dia ajar saya tentang banyak perkara dalam hidup.

“Biasa bila menyelam, kita mesti berpasangan. Sejak mengenalinya tahun lepas, suami menjadi pasangan saya. Bila arwah tak ada, menggigil lutut saya menyelam seorang diri. Menangis seorang diri dalam air tetapi sebagaimana laut mengambil nyawa suami, saya tidak boleh menyalahkan alam dan takdir ini. Cuma saya sangat terasa sejak kehilangannya,” katanya memaklumkan bakal berhenti kerja kerana mahu meneruskan perniagaan suami.

Luahan Di Facebook

Ironinya laut bagai rumah pertama pasangan ini. Ada kata-kata suaminya yang kalau boleh dia ingin mati di laut dan doanya itu diterima Allah. Raya tahun lepas dengan baju Melayu kuning dan baju kurung ungu, kedua-duanya menyelam menyambut hari raya di pulau.

Tahun ini, dalam kesedihan, AhTeng kembali ke laut, namun hanya baju mampu dibawanya, bukan tubuh atau jasad suaminya. Laut bagaikan sudah sejiwa dengannya malah dia sendiri berazam, andai laut menjadi saksi kepada nafas terakhirnya, dia redha atas segalanya.

Kenangan bersama suami, biar hanya 50 hari tetapi kekal utuh di sanubarinya. Malah AhTeng pernah menulis di laman Facebooknya, suaminya, Kapten Sazali Sakiman Sakiran adalah lelaki terakhir hadir dalam hatinya, sebagaimana janji suaminya yang menjadikan dia wanita terakhir suri hatinya.

Al-Fatihah untuk arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman soleh.

Published by
almaswa Haji Che Ros