Tepat 50 hari Fatin Nor Afirah atau mesra disapa AhTeng bergelar isteri kepada penyelam profesional dan bekas tentera, Kapten Sazali Sakiran, Allah menguji wanita ini. Pada sambutan ulang tahun kelahiran ayahnya, dia harus akur apabila takdir Allah sudah tertulis buatnya.
Takdir yang sama sekali tidak boleh berubah sampai bila-bila. Takdir yang memisahkan dirinya dan suami di dua alam yang berbeza. Hanya ada air mata dan kerinduan selepas suaminya menemui ajal akibat diving related injury di mana paru-parunya pecah selepas naik ke permukaan air dengan terlalu cepat selepas menyelam pada kedalaman 60 meter.
Suaminya keluar mencari rezeki buat keluarga, dia diupah mengambil sample pasir pada kedalaman itu dengan harga RM1000.
Menziarahi kubur suami, kembali menyelam dengan baju kurung yang dipakai raya setahun sebelumnya. MW menghubungi dirinya dan berkongsi segala kenangan.
Pesan Agar Dikebumi Di Kampung
Mereka sama-sama meminati dunia diver ini dan terlalu banyak kenangan dikumpul biar pun diberi kesempatan sebumbung cuma untuk 50 hari sahaja. Mungkin tempoh itu tidak lama tetapi semasa berkenalan, Kapten Sazali atau mesra disapa Capt sudah “memanjakan” AhTeng.
Dia sanggup mengambil AhTeng di rumah sewa di subuh dinihari, kemudian menghantarnya ke stesen komuter Seremban. Dia melepaskan gadis disayanginya itu dengan pandangan mata kasih dan menjelang petang, tepat jam 6.30 petang, lelaki ini sudah setia menunggu di hadapan pejabat AhTeng yang terletak di Pantai Bharu, Kuala Lumpur.
Bukan saja-saja tetapi Capt inginkan masa bersama kerana dia tahu dirinya semakin kesuntukan masa. Saat indah diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan tiadanya majlis persandingan seperti permintaan AhTeng, rutin itu tidak pernah berubah malah lebih manis lagi, selain bekerja, tugas dirinya sebagai isteri hanyalah memasak sahaja. Lain, semuanya suaminya uruskan.
Bukan tak pernah AhTeng menggosok, mengemas rumah dan sebagainya tetapi suaminya merajuk. “Kalau ko buat semua kerja, aku nak buat apa pula di rumah,” itu balas suaminya yang mana bahasa percakapan mereka lebih kepada gaya orang Sabah bercerita.
Pada pertemuan itu, kongsi AhTeng, dua hari sebelum kejadian dia ada bergurau dengan suami, andai dirinya meninggal, dia bertanya di mana suaminya itu mahu mengebumikannya?
Ads
Ternyata soalannya membuat suami di sebelah merajuk. Selepas terdiam beberapa lama, suaminya pantas menjawap, di kampungnya, Kampung Api-Api Kuala Selangor.
“Kemudian suami berpesan jika suami pula yang meninggal dunia, dia mahu dikebumi di kampungnya. Biar jarang pulang ke kampung tetapi di situ ada kubur emak, ayah, adik dan anaknya.
“Selepas mendengar jawapannya, saya pula yang terdiam kerana berasa sebak,” kata AhTeng sambil menambah, kerana suaminya bersetuju menerima pekerjaan mengambil sample pasir di Lumut, demi keselamatan, suaminya telah menghantar dirinya ke rumah keluarga di Sungai Buloh, Selangor.
“Ketika ini, nampak arwah seakan tidak bersedia melepaskan saya pergi. Selepas bersalam dan memeluknya seperti biasa arwah bergerak ke keretanya. Dia masuk dan saya juga sudah mengunci pintu pagar tetapi arwah keluar semula dan memeluk saya sekali lagi, seolah-olah ingin memberitahu itulah pelukan terakhirnya, dunia dan akhirat.
Tidak Sedarkan Diri
Pagi esoknya, sama seperti hari-hari biasa, 20 Mac itu, AhTeng memulakan tugas di pejabat. Sekitar jam 2 petang, dia mendapat panggilan telefon daripada rakan arwah mengenai kemalangan berlaku. Bertalu-talu dia menyoal soalan kepada pemanggil. Sebagai penyelam, sama seperti suaminya dia tahu semua prosedur namun dirinya berasa sedikit lega apabila dimaklumkan yang arwah stabil.
“Saya dimaklumkan arwah suami naik terlalu laju ke permukaan udara. Kalau ikut peraturan menyelam, pada kedalaman 60 meter, penyelam cuma ada beberapa saat sahaja di dasar sebelum perlu naik ke atas. Biasa pada kedalaman 45 meter, kita cuma ada masa di antara lima minit sahaja dan kalau lebih dalam, masanya lebih pendek.
Ads
“Buat saya sedikit terkilan, tank spare cuma ada satu sedangkan yang pergi berdua. Laju saya memecut dari Kuala Lumpur menuju ke Lumut, Perak selepas mengambil isteri kepada kawan suami yang sama-sama menyelam dengannya itu.
“Ketika sampai di hospital, arwah suami sudah tidak sedarkan diri kerana ada tanda-tanda dia mengalami masalah decompression sickness, pulmonary barotrauma dan arterial gas embolism. Dan kata doktor, arwah tidak boleh dipindahkan ke alat kebuk oksigen (recompression chamber) yang ada di Hospital Angkatan Tentera Lumut kerana keadaannya tidak stabil. Dalam suami bertarung nyawa itu seorang lagi rakan selamnya sudah dimasukkan ke situ.
“Jam dua pagi, barulah arwah suami dimasukkan ke alat kebuk oksigen ini. Tujuannya bagi membuang nitrogen yang berlebihan dalam badan kerana tubuhnya memerlukan 100 peratus oksigen. Mungkin Allah sudah menulis segalanya buat suami. Dia stabil dan saya berada lega mendengarnya. Semalaman saya tidak dapat tidur, berdiri dan memandang mukanya yang belum juga sedar. Sekitar jam 7 pagi, saat mahu melelapkan mata seketika, doktor menghampiri dan memaklumkan yang suami seperti tiada harapan untuk sembuh.
“Allah, hanya itu mampu saya ucapkan. Air mata saya sudah kering sebelumnya dan saya sudah tidak mampu menangis lagi. Saya hubungi anak-anak suami dan bekas isterinya terdahulu. Arwah pernah berkahwin tiga kali dan mempunyai lima orang anak.
“Saya adalah isterinya yang terakhir seperti mana dia bersumpah, sayalah yang terakhir buatnya. Rupanya, janji Allah itu indah. Memang saya yang terakhir dalam hidupnya. Sebelum itu, kata arwah, kalau dia meninggal dunia, dia mahu anak-anak duduk menghadapnya. Allah kabulkan doanya. Allah atur cantik-cantik kehidupannya. Sempat anak-anak mengelilinginya. Lepaslah hajatnya,” kata AhTeng.
Ads
Mimpi Tentang Kematian
Semasa mengenali suaminya, AhTeng akui dia mendapat terlalu banyak mimpi-mimpi tentang kematian.
“Bila mimpi, saya kongsikan dengannya. Saya cakap saya nampak dia meninggal dunia. Dia tinggalkan saya tanpa anak, saya uruskan syarikatnya dan saya akan hidup sendirian. Bila saya beritahu, katanya serah kepada Allah segalanya.
“Bukan sekali tetapi banyak kali. Pernah saya terjaga dari tidur, saya pandang muka suami yang sedang lena tidur dan saya menangis. Dia bangun dan tenteramkan saya. Dia selalu memujuk saya dengan kata-kata positif dan jiwa saya akan jadi tenang.
“Benar, bagaimana keadaan saya hari ini, itulah mimpi yang dipertontonkan kepada saya. Kini saya duduk seorang diri. Saya tak ada anak dengannya. Pernah seminggu selepas abang meninggal dunia, dia datang dalam mimpi saya. Dia dengan pakaian selamnya, katanya dia minta maaf berkali-kali. Dia cakap masanya tidak lama dan mahu saya halalkan segalanya. Saya dapat rasakan air matanya panas lagi ketika itu. Bila sedar, saya menangis, saya meraung sekuat hati. Banyak kenangan manis kami ciptakan. Dia manjakan saya, dia ajar saya tentang banyak perkara dalam hidup.
“Biasa bila menyelam, kita mesti berpasangan. Sejak mengenalinya tahun lepas, suami menjadi pasangan saya. Bila arwah tak ada, menggigil lutut saya menyelam seorang diri. Menangis seorang diri dalam air tetapi sebagaimana laut mengambil nyawa suami, saya tidak boleh menyalahkan alam dan takdir ini. Cuma saya sangat terasa sejak kehilangannya,” katanya memaklumkan bakal berhenti kerja kerana mahu meneruskan perniagaan suami.
Luahan Di Facebook
Ironinya laut bagai rumah pertama pasangan ini. Ada kata-kata suaminya yang kalau boleh dia ingin mati di laut dan doanya itu diterima Allah. Raya tahun lepas dengan baju Melayu kuning dan baju kurung ungu, kedua-duanya menyelam menyambut hari raya di pulau.
Tahun ini, dalam kesedihan, AhTeng kembali ke laut, namun hanya baju mampu dibawanya, bukan tubuh atau jasad suaminya. Laut bagaikan sudah sejiwa dengannya malah dia sendiri berazam, andai laut menjadi saksi kepada nafas terakhirnya, dia redha atas segalanya.
Kenangan bersama suami, biar hanya 50 hari tetapi kekal utuh di sanubarinya. Malah AhTeng pernah menulis di laman Facebooknya, suaminya, Kapten Sazali Sakiman Sakiran adalah lelaki terakhir hadir dalam hatinya, sebagaimana janji suaminya yang menjadikan dia wanita terakhir suri hatinya.
Al-Fatihah untuk arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menjadi seorang guru tugasnya bukan hanya sekadar mengajar. Bersikap prihatin dan ambil berat terhadap anak-anak murid juga salah satu tugasan yang harus digalas oleh mereka yang bergelar cikgu.Hatta, jika ada anak murid yang tak pandai memakai tudung mahupun berbaju comot ketika disekolah juga mampu terselit kisah yang menceritakan punca sebenar.
Perkongsian kisah menarik ini dikongsikan oleh cikgu yang prihatin, Mohd Fadli Salleh. Semoga mak ayah memperoleh manfaat daripada kisah ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Tahun lepas, ada seorang murid tahun satu yang sangat pendiam. Perempuan. Aku perasan tudung dia selalu tutup dahi. Macam tak pandai pakai tudung. Baju pun selalu comot.
Tahun ini, dia masih tidak pandai pakai tudung. Masih begitu, bajunya juga masih comot-comot. Banyak kali aku bertanya tentang keluarga, tapi dia mendiamkan diri sahaja.
Tahun ini dia tidak keseorangan. Dia berteman. Ada adik lelaki di tahun satu. Adik dia ini sangat aktif. Hyperaktif aku rasa. Memang langsung tak boleh duduk diam dalam kelas, dewan atau perhimpunan.
Pakaian adik dia pun sama juga. Tidak terurus dan selalu comot.
Dua hari lepas, adik dia dengan sengaja pecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang aku beli dengan duit kiriman sahabat-sahabat aku yang baik hati.
Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu panggil ibu bapanya untuk bincang kelakuan anaknya yang hyperaktif ini. Mencari jalan terbaik bagi murid ini agak tidak ternafi haknya untuk belajar dengan sempurna.
Kerja Buruh
Hari ini, selepas habis kelas pertama ada pengawas datang menjemputku ke pejabat. Katanya pentadbir panggil. Aku dah agak, pasti si ayah murid itu telah datang.
Dengan tenang aku terus ke pejabat. Diluar pintu pejabat, ada sepasang kasut lusuh. Nampak comot dengan selut dan kotoran.
‘Ini kasut orang kerja buruh,’ getus hati aku.
Sebaik masuk, kelihatan lelaki lewat 40an duduk bersama barisan pentadbir. Mukanya kelihatan penat, malah peluh pun tidak sempat kering dari baju.
Kulitnya gelap. Nampak jelas kerjanya pasti dibawah terik mentari. Tangannya kasar dan kotor tanda kerja berat.
Aku bersalaman dan menegur dia dengan mesra. Duduk betul-betul disebelah dia dan sesekali aku bergurau mencuit paha dan memegang bahunya. Tidak sesekali aku merasa geli atau membuat muka tidak selesa walau bau badannya tidak sewangi orang kerja pejabat.
Aku tidak mahu dia resah dan rasa bersalah. Aku nak dia tahu, kami bukan hendak menyalahkannya. Sikap budak, memang begitu. Namun kami ada minta dia bawa anaknya ke Hospital Selayang unit Mekar untuk pemeriksaan.
Anak Kategori Istimewa ADHD
Pada pengamatan mata kasar aku dan guru-guru lain, anak dia ini kategori istimewa. ADHD mungkin. Sangat aktif hingga sukar dikawal.
Aku susun ayat sebaik mungkin, memberitahu dia dengan lembut. Dia terima dengan tenang, dan dia pun tahu anak dia memang tidak terkawal. Dia berjanji akan bawa anak lelakinya itu ke hospital secepat mungkin.
Bila disahkan, anak dia boleh masuk kelas pemulihan. Kelas yang layak dan sepatutnya anak itu duduk dan belajar. Lagi pun, murid pendidikan khas ini ada elaun.
Tunggu Dapat Gaji
Sebelum dia beredar, kami bagitahu kerosakan yang dibuat anaknya perlu diganti. Dengan serba salah dia cakap,
“Cikgu. Boleh. Tapi tunggu saya dapat gaji ya.”
Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu. Gugur seketika. Nilai bangku itu yang tidaklah besar di zaman ini. Tapi masih ada yang perlu tunggu gaji.
Terus aku pegang bahu dan mengajaknya pergi. Aku bukakan pintu pejabat, aku tunggu dia sarung kasut buruk itu.
Aku iringi setiap langkah dia ke motor buruknya sambil bertanya tentang kehidupannya.
“Abang kerja kat mana?”
“Saya kerja kat Kuang. Kerja ukur jalan. Ni dari Kuang dapat telefon dari sekolah terus saya datang.”
Allah. Kuang ke Gombak bukan dekat. Dengan motor tengah panas terik pula tu. Terus tinggal kerja bila tahu anak buat angkara.
“Rumah abang kat mana? Isteri kerja apa? Anak berapa orang?” soalku bertalu-talu.
“Rumah saya di Batu 5. Anak saya empat. Yang paling kecil, kembar dua orang duduk dengan isteri saya. Yang sulung tahun dua dan tahun satu ini tinggal dengan saya. Dah tiga tahun kami berpisah,” balasnya tenang.
Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Aku minta dia hubungi aku terus kalau ada apa-apa. Nombor telefon aku tinggalkan, dan dia berlalu pergi.
Berlalu pergi dibawah teriknya sinar mentari untuk mencari sesuap rezeki.
Dijaga Oleh Ayah
Patutlah. Patutlah anak perempuannya tidak pandai pakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama.
Ayah yang kerja buruh mana pandai hendak pakaikan anak perempuan tudung. Asal tersarung, asal tertutup rambut baginya dah cukup elok.
Pakaian patutlah selalu nampak comot. Tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah.
Kelu. Aku kelu sebenarnya.
Terharu. Aku sangat terharu melihat pengorbanan seorang bapa. Jika aku ditempat dia, aku pun tidak tahu apa aku mampu menjaga anak aku sebaik dia.
Makan minum, sakit demam, duit belanja, basuh pakaian dan segala urusan rumah tangga seorang diri. Menguruskan anak bukan mudah. Tambah-tambah bagi kaum lelaki.
Sebaik dia jawab hendak ganti kerusi itu bila dapat gaji, terus aku niatkan dalam hati,
‘Bangku yang perlu diganti itu aku yang akan ganti. Bahkan apa keperluan anak-anaknya yang mampu aku bantu, aku cuba bantu.’
Esok aku akan settlekan hal bangku diam-diam. Esok juga aku nak jumpa ustazah guru kelas anak sulungnya, minta ustazah tolong ajar murid ini pakai tudung dengan betul.
Semoga anak-anak ini rajin belajar seterusnya menjadi insan yang berguna dan berjasa.
Kerana bangku pecah semuanya terdedah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.
#MFS
– Kasih seorang bapa.
Semoga kisah ini bermanfaat! Benar, jaga anak tidak mudah. Selepas berlaku penceraian tidak mudah menguruskan anak-anak seorang diri, lebih-lebih lagi jika peranan tersebut digalas seorang lelaki yang bergelar bapa.
Berat sekali ujian keluarga Norhayati Saad, 41 dan suaminya, Mat Yusop. Dalam kegawatan ekonomi, dan anak kelima, Auni alami cerebral palsy serta perlu membesarkan 5 anak yang lain, ibu bapa ini sanggup berbuat apa saja.
Kelahiran Auni Zakirah dinanti dengan penuh harapan oleh ibu dan ayahnya. Diharapkan kelahiran anak kelima mereka ini dapat lagi memeriahkan keluarga yang menanti.
Norhayati dan Mat Yusop tak pernah menyangka Auni akan menjadi insan paling istimewa dalam kehidupan mereka. Kini dalam usia 8 tahun, Auni, anak istimewa di kalangan anak-anak mereka seramai 6 orang. Auni berbeza dan perlukan sepenuh perhatian.
Hujan turun dengan lebatnya sewaktu penulis melawat keluarga ini di kedai kecil tempat mereka mencari rezeki di Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Bunyi dentuman guruh di langit yang cukup kuat menakutkan sesiapa saja terutama anak kecil. Tapi berbeza sekali dengan Auni. Dia akan tersenyum dan ketawa merai bunyian guruh. Sedikitpun tak ada perasaan takut dalam diri.
“Berbeza sungguh dengan adik bongsunya Amani yang takut dengar guruh. Auni memang suka dengar bunyi-bunyi. Semakin kuat semakin dia suka.”
Auni Tak Boleh Duduk Sendiri
Melihatkan wajah suci Auni, sudah pasti ramai yang akan berasa sayu. Wajah tanpa sepalit dosa ini memang tidak mengerti apa yang berlaku di sekelilingnya.
Tatkala rakan sebayanya sudah mula bersekolah dan bermain sesama sendiri, Auni hanya mampu berbaring di atas tilam.
Ibunya redha dengan ketentuan Ilahi. Dia sedar takat kemampuan anaknya ini. Selagi nyawa dikandung badan, dia akan berusaha memberi yang terbaik buat Auni. Azam yang sama turut dipegang oleh Mat Yusop.
“Kami perlu kuatkan semangat demi anak-anak. Kehadiran Auni ini membuatkan kami lagi sabar dan kuat semangat. Anak istimewa ini banyak menguji kesabaran. Bila ada orang bagi pandangan negatif kami buat tidak tahu sahaja.
“Mulanya kami tidak tahu jenis penyakit Auni, Nak beri rawatan macam mana pun tak tahu. Sedikit demi sedikit kami belajar sampai boleh lalui bermacam cabaran.”
Dari Awal Kehamilan Dah Lalui Bermacam Masalah
Menurut doktor Auni mengalami masalah Hemimegoloencephaly dan Hypomelanoris of Hito. Atau dalam bahasa mudahnya, Auni mengalami masalah kesihatan yang dikenali sebagai cerebral palsy.
Cerebral palsy adalah gangguan gerakan, otot atau postur yang disebabkan oleh cedera atau perkembangan abnormal di otak, paling sering terjadi sebelum kelahiran.
Mengimbas semula permulaan perjalanan kehidupan Auni, menurut Norhayati, memang banyak masalah yang dialaminya sewaktu mengandungkan Auni.
“Dari awal kehamilan saya ada mengalami pendarahan, dan leaking. Masa dilahirkan pun, dia lemas. Tetapi pada masa itu doktor kata semua ok. Namun selepas dilahirkan dia terus dimasukkan ke dalam inkubator.
“Hari kedua, doktor beritahu anak saya ada sawan. Bermula dari situ, kami buat follow up sehinggalah umur Auni tiga bulan. Kemudian barulah doktor merujuk kes di hospital kerana ketika itu hospital swasta ini tidak dapat melakukan sebarang rawatan lanjut.
“Setelah diberi ubat, sawan yang dialami oleh Auni tetap tidak berkurangan. Sewaktu di hospital doktor mencadangkan pembedahan. Sawannya teruk sangat dan doktor telah mencuba sembilan jenis ubat namun tidak ada tindak balas yang berkesan.
“Sawan Auni amat kerap. Kadang-kadang dua minit sekali. Sehari dalam 40 hingga 50 kali sawan itu dikesan daripada EEG yang ditunjuk oleh doktor. Masa itu umur Auni tiga bulan.
“Bila dia sawan, ada komplikasi lain. Doktor cadangkan pembedahan tetapi kami tak sanggup kerana dia masih kecil ketika itu.
“Kami berulang-alik ke hospital sampai usia Auni tiga tahun. Masa itu kami sudah menyerah sahaja pada doktor kerana sudah cuba macam-macam. Akhirnya kami berserah pada doktor dan membenarkan pembedahan dilakukan ketika dia berumur tiga tahun.”
Refinance Rumah Demi Nyawa Anak
Waktu itu Auni perlu menjalani pembedahan pada otak kanan untuk hentikan sawannya. Norhayati dan suaminya perlu menyediakan RM40,000 untuk membiayai kos pembedahan.
Pembedahan pula perlu dilakukan di hospital swasta kerana pada masa itu tidak ada pakar saraf kanak-kanak di hospital kerajaan.
Demi anak, mereka terpaksa refinance rumah bagi mendapatkan wang untuk membayar kos pembedahan tersebut.
Selepas pembedahan perubahan dan perkembangan yang positif dilalui Auni. Sawannya telah berhenti. Norhayati bersyukur pembedahan itu berjaya.
“Sebelum itu, Auni tidak boleh meniarap mahupun berguling. Setahun selepas pembedahan barulah dia boleh meniarap dan berguling. Kami juga membawa Auni menjalani terapi saraf bagi melancarkan perjalanan oksigen dan darah.
“Banyak perubahan yang berlaku padanya. Sebelum rawatan terapi dijalankan Auni makan melalui tiub yang dipasang di perutnya. Selepas itu, dia cabut tiub itu kerana tidak selesa. Bermula dari saat itu Auni mula makan seperti biasa,” cerita Norhayati.
Walau Gawat Tetap Kena Jual Roti & Burger
Bukan Auni sahaja yang perlu diberi perhatian. Mereka ada lima orang anak lain yang perlu dibesarkan.
Sejak dua tahun lalu, pasangan suami-isteri ini telah membuka sebuah kedai fotostat dan kedai roti di Desa Mentari 3. Ini lokasi baru setelah berpindah dari lokasi lama yang terletak di Shah Alam.
Pelaksanaan GST, menjejaskan bisnesnya. Biarpun pelanggan makin berkurangan, mereka tak berputus asa.
Setiap hari selain mengharapkan masyarakat setempat menggunakan khidmat fotostat, mereka akan menjual roti dan burger berwarna.
Setiap petang Mat Yusop akan menjual burger di hadapan kedai. Roti burger dibuat sendiri oleh Norhayati.
Norhayati juga boleh membuat pelbagai jenis roti lain. Setiap kali menerima tempahan, Norhayati akan mula membakar roti pada malam hari sehinggalah siap keesokan harinya.
Bagi mereka yang ingin merasa burger dan roti jualan Norhayati bolehlah melawat ke kedai beralamat 11-G-68, Blok 11, Jalan PJS 2D/1, Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Foto: Nor Yanti Saharuddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu anak 2 bernama Ummu Umairah Azahari (Ismee Umairah), 30 tahun baru saja melalui episod paling tragis dalam hidupnya. Menghadapi kehilangan dua orang insan yang paling dekat dalam jiwa; suami dan anak sulung.
“Sekitar 30 Ogos 2017, suami dan anak saya keluar rumah kira-kira jam 8.30 ke 8.40 malam. Suami membonceng anak saya dengan motosikal. Mahu membeli makanan bagi meraikan hari lahir anak sulung kami.”
Siang itu, Umairah dan suami membawa anak-anaknya ke klinik desa untuk pemeriksaan anak 4 tahun dan 7 bulan. “Sebaik pemeriksaan sempat kami membawa anak-anak mencari hadiah sempena ulang tahun kelahiran anak sulung ke-4 tahun.”
Rupanya itulah malam terakhir buat Umairah bertemu suami,Mohammad Khalil Abdul Gani, 32 Kerana malam itu, suaminya terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Myvi yang dikhabarkan pemandunya memandu dalam keadaan mabuk.
“Pemandu itu melanggar motosikal yang dinaiki suami saya bersama anak sulung kira-kira jam 9.15 malam.”
Suami saya meninggal dalam keadaan jatuh sujud menyembah bumi. Kejadian berlaku pada Malam Arafah.
Suami Tercampak Dalam Keadaan Sujud
Malam itu malam Hari Arafah. Ketika perlanggaran, saksi kejadian memaklumkan guru J-Qaf (Jawi, Quran, Arab, Fardhu Ain di bawah KPM) ini tercampak dalam keadaan sujud menyembah bumi.
Akibat hentakan yang kuat di bahagian kepala itulah, suaminya meninggal di tempat kejadian. Tangan kanan dan kirinya patah, kaki kanan dan kirinya patah. Begitu juga tulang belakangnya patah.
Sementara itu, anak sulungnya,Muhammad ‘Aseem, 4 yang dalam keadaan kritikal dikejarkan ke Hospital. “Kepala anak saya terbelah dua, mulut terbelah dua, kaki luka diseret jalan, dahi luka dan dijahit, gigi patah 4.
“Anak saya dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan kecemasan di bahagian kepala. Kemudian, anak saya dibawa pula ke Hospital Besar Penang bagi pembedahan lanjutan.
Sepanjang anaknya di hospital Umairahlah yang menemankan anaknya di hospital. Rakan-rakannya juga ada disampingnya memberi sokongan.
Sementara jenazah suami diuruskan oleh pihak hospital, ahli keluarga dan sahabat-sahabat terdekatnya.
Sebaik selesai menguruskan anak, Umairah berkejar pulang ke kampung suami dengan ditemani keluarganya untuk menguruskan pengebumian jenazah suaminya.
Kemalangan kali ke-2 melibatkan arwah anak sulung. / Kredit foto : Penang Kini
Saya bersama arwah suami & arwah anak sulung.
Anak kedua saling tak tumpah macam muka arwah abang sulungnya.
Kemalangan Kali Ke-2, Anak Sulung Saya Pergi Buat Selamanya
Selesai urusan pengebumian suami, dia ke hospital semula menjaga anak sulungnya yang ditempatkan di wad ICU Kanak-kanak.
“Akhirnya pada 5 September, anak saya dibenarkan pulang. Dengan syarat anak saya perlu dibawa ke klinik atau hospital berdekatan untuk cuci luka dan jumpa pakar. Bagi memantau sebarang perkembangan kesihatannya.
“Pesan doktor, anak saya tak boleh stress, terhantuk, terjatuh atau terhentak walaupun sedikit kerana luka kepala anak saya sangat teruk.”
Sampailah tarikh 7 September, dia perlu ke klinik untuk mencuci luka anaknya, Sebagaimana yang doktor nasihatkan, dia pun ke klinik mencuci luka anaknya.
Dia bawa anak sulungnya dan anak kedua. Kerana bayinya itu masih menyusu badan. Waktu itu, dia minta bantuan adiknya untuk menghantar ke klinik.
Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang. Ketika dalam perjalanan pulang setelah mencuci luka anak, kenderaan yang mereka naiki telah terbabas.
“Kemalangan itu membuatkan saya tak sedarkan diri. Alami pendarahan otak, pendarahan perut, tangan retak, kepala retak depan dan belakang, hati berdarah, kaki lebam, bonjolan tulang belakang patah 1.
Kejadian itu juga menyebabkan anak sulungnya meninggal di tempat kejadian dan tangan adiknya patah. Sementara bayinya cuma cedera ringan.
“Sampai hari ini, saya masih perlu dapatkan rawatan pakar kesan dari kemalangan kedua tempoh hari.” Cerita Pegawai Tadbir & Diplomatik ini yang masih diberikan cuti sakit oleh doktor pakar.
Ummu Umairah bekerja sebagai PTD (Pegawai Tadbir & Diplomatik).
Arwah suami saya seorang guru J-Qaf (Jawi, Quran, Arab, Fardhu Ain) under KPM
Suami Sangat Menjaga Amalan Harian
Cara suami meninggal dalam keadaan sujud telah membuatkan kisah itu viral tak lama dulu. Kata Umairah, dia juga seperti orang lain “Sedih dengan kehilangan 2 orang insan yang amat disayanginya”.
“Suamilah tempat saya meluahkan dan menceritakan segalanya tentang hidup saya. Suami saya setia mendengar dan membimbing saya dan anak-anak. Tak pernah pun arwah suami saya lokek senyuman.”
Ketika hayatnya, suaminya itu seorang yang sangat menjaga amalan hariannya.
“Suami saya bangun awal sebelum Subuh. Banyak perkara suami saya tolong. Ambil anak-anak di Taska setiap hari. Kemas rumah, cuci tingkap, mop lantai. Tolong saya masak jika saya penat.
“Saya juga bekerja dan biasanya tiba di rumah jam 6.30 petang ke 7 malam. Setiap hari, kami akan sama-sama keluar rumah jam 6.30 pagi untuk bekerja.
“Anak sulung saya pula pandai bercerita. Suka menolong. Bijak menjaga dan sayang adiknya.
Arwah anak sulungnya berbaju pink
Syafi bermain dengan permainan arwah abangnya
Syafi penawar hati Umairah
Si Comel Syafi Inilah Penawar
“Ujian ini memang saya rasakan berat kerana saya juga manusia biasa. Namun, saya didik diri saya untuk redha. Saya yakin percaturan Allah sangat cantik.
“Allah amanahkan saya seorang anak untuk saya didik dan bimbing jadi manusia berguna kelak. Anak kedua saya inilah penawar saya sekarang. Seindah namanya Muhammad Syafi yang bermaksud penawar.
Syafi yang berusia 11 bulan itu katanya saling tak tumpah seperti suami dan anak sulungnya.
Sampai ke hari ini, Umairah masih mengumpul kekuatan diri. Dia juga dalam proses rawatan fisioterapi dan pemulihan cara kerja di hospital.
“Saya terima kehilangan 2 insan yang amat saya sayangi. Saya juga telah merancang pelbagai perkara untuk arwah supaya pahala mereka akan terus mengalir walaupun mereka telah tiada di dunia.” Ujar Humairah yang berkongsi kisah hidupnya dalam blog maisukakongsi.blogspot.my
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...