5 Tip Kesihatan Buat Bakal Jemaah Haji, No. 6 Praktik Bila Dah Sampai Makkah!

Share

Bakal jemaah haji pasti dah mula buat persiapan kenduri sebelum berangkat ke tanah suci. Sebelum berangkat, apa kata anda atau sampaikan pada ahli keluarga yang bakal ke Makkah, agar lakukan 6 tip kesihatan ini yang dikongsikan oleh Dr Faizul Jalal.

Ia penting bagi memastikan anda kekal sihat sepanjang mengerjakan ibadah di tanah haram.

Tak lama lagi jemaah haji Malaysia akan mula berangkat ke tanah suci. Sememangnya pengalaman pergi menunaikan ibadah haji adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Syukur alhamdulillah kerana saya telah diberi peluang pada tahun 2014 untuk menyertai rombongan petugas kesihatan untuk musim haji pada tahun tersebut.

Berdasarkan apa yang saya lalui di sana sebagai pegawai perubatan, banyak perkara-perkara penting yang saya ingin kongsikan kepada semua bakal jemaah haji yang akan berangkat tak lama lagi.

1. Banyakkan Latihan Berjalan Kaki Sebelum Ke Tanah Suci

Semua mungkin sudah sedia maklum yang apabila berada di tanah suci, kita akan banyak berjalan kaki. Berjalan dari hotel ke masjid, menunaikan tawaf dan saie dan paling penting ialah sewaktu hendak menunaikan ibadah melontar di Mina.

Saya rasa semua bakal jemaah haji sudah maklum yang secara kasarnya jarak antara hotel ke masjid al-haram adalah sekitar 1-2KM. Di Mina pula, jarak dari khemah maktab ke tempat melontar adalah lebih kurang 5-6km.

Perjalanan yang jauh ini sememangnya satu cabaran yang besar bagi mereka yang belum biasa berjalan jauh.

Nasihat saya, banyakkan berjalan kaki sebelum berangkat kesana. Berjalan keliling kawasan perumahan, berjalan di taman rekreasi atau di mana-mana yang sesuai dengan kita. Berlatih berjalan kaki paling kurang 40 minute pada satu sesi.

Percayalah, apabila badan sudah biasa berjalan kaki, akan kurang rasa sakit-sakit otot apabila disana.

2. Pastikan Penyakit Kita Sudah Terkawal Sebelum Berangkat

Majoriti yang terpilih untuk pergi menunaikan haji ialah jemaah berumur 40 tahun ke atas dan kebanyakkannya juga mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi.

Biasanya sebelum bertolak, doktor yang merawat akan memastikan paras tekanan darah dan gula kita dalam keadaan terkawal. Saya nasihatkan jemaah haji semua untuk ikut semua nasihat doktor yang merawat anda. Pastikan kita ambil semua ubat-ubat yang telah ditetapkan patuh kepada segala amalan yang membantu untuk mengawal tekanan darah dan paras gula.

Ada ramai yang saya jumpa sewaktu disana, tekanan darah mereka naik tinggi dan paras gula juga meningkat, mungkin disebabkan faktor stress. Semua sedia maklum, disana suasana sesak, banyak berjalan dan agak memenatkan.

3. Bawa Ubat-ubatan Secukupnya Untuk Penyakit Kronik

Tempoh jemaah haji berada di sana adalah dalam lingkungan 40-55 hari bergantung kepada nombor penerbangan.

Bagi mereka yang mengidap apa-apa penyakit seperti darah tinggi atau kencing manis, dinasihatkan supaya bawa bekalan ubat sekurang-kurangnya cukup untuk 2 bulan.

Walaupun disana terdapat klinik dan hospital Tabung Haji, tetapi stok ubat mungkin terhad, tidak cukup untuk supply kepada semua jemaah yang memerlukan. Membawa ubat secukupnya juga memudahkan jemaah haji, tidak perlu bersusah payah ke klinik meminta ubat.

Bagi mereka yang membawa insulin, kebanyakkan tempat penginapan jemaah ada peti ais di bilik. Sekiranya tiada, boleh tumpang simpan di klinik maktab masing-masing.

4. Ubat Tambahan Dan Keperluan Kesihatan Yang Penting Untuk Dibawa

Suka saya galakkan kepada semua bakal jemaah, untuk bawa ubat-ubatan dan barangan kesihatan ini kesana:

i. ubat demam / batuk / selesema / sakit tekak / gula hacks

Boleh saya kata hampir 90% jemaah haji di sana akan mengalami sakit tekak / batuk / selesema semasa di sana, samaada kejap atau lama. Mungkin disebabkan cuaca kering dan berdebu (serta tabiat suka minum air sejuk). Jika ada ubat-ubat sendiri untuk masalah tersebut, ia amat memudahkan, tidak perlu bersusah payah ke klinik.

ii. plaster luka

Luka kecil boleh terjadi dengan macam-macam cara. Luka terkena pisau, terpijak batu tajam dan sebagainya. Luka-luka kecil mudah dirawat sendiri tanpa perlu ke klinik.

iii. minyak panas / heat rub / yoko2

Bila banyak berjalan, otot badan dan kaki cepat rasa lenguh, sapu minyak panas sebelum dan selepas berjalan. Sebelum tidur juga bagus untuk mengurangkan rasa sakit dan lenguh.

iv. losyen pelembap / krim tumit kaki

Cuaca yang kering dan banyak berjalan menyebabkan kulit dan tumit kaki menjadi kering dan merekah. Bila tapak kaki merekah akan menyukarkan kita ke masjid atau ke mana-mana. Sapu losyen atau krim sekerap mungkin.

Boleh bincang dengan guru agama tentang losyen atau krim yang sesuai digunakan semasa berihram (isu bau-bauan)

5. Pakai Alas Kaki Yang Paling Baik!

Nanti di sana akan banyak berjalan, jadi penting untuk jemaah haji pakai selipar/sandal yang paling baik. Alas kaki itu mestilah selesa dan sesuai untuk berjalan jauh dan lama.

Antara masalah yang sering berlaku akibat tidak memakai alas kaki yang sesuai ialah kaki melecet dan sakit tapak kaki. Teringat saya ada seorang jemaah yang mengidap kencing manis, kakinya melecet di celah antara ibu jari kaki dan jari kaki ke dua akibat pakai selipar jepun yang keras. Walaupun sudah diberikan rawatan yang sewajarnya, akhirnya luka merebak sehingga menyebabkan 2 jari kakinya dipotong.

Jemaah haji kalau boleh belanjalah lebih sikit untuk alas kaki yang berkualiti. Ia satu adalah satu ‘investment yang berbaloi. Sudah kita bayar beribu-ribu untuk ke tanah suci, apalah salah kiranya kita belanja lebih sikit untuk alas kaki yang bagus.

6. Minum Air Zam-zam Banyak-banyak

Aktiviti kita di sana dan juga keadaan cuaca yang kering pasti akan membuat badan kita kering dan cepat dahaga. dehidrasi adalah masalah utama semasa di sana.

Salah satu nikmat yang hanya ada di tanah suci tidak di negara kita ialah air zam-zam. Minumlah air zam-zam sebanyak mungkin untuk mencegah dehidrasi. Beli botol, isi air zam-zam penuh-penuh dan bawahlah kemana-mana kita pergi. Air zam-zam bukan sahaja menghilangkan dahaga, juga menyembuhkan penyakit serta mendapat pahala bila meminumnya.

Teringat ada seorang jemaah yang dijumpai sesat dan keadaan badan sungguh lemah, kering dan fikirannya keliru. Bila ditanya kemana pergi tadi, dia cakap nak cari kambing di kampung. Ini antara tanda-tanda kritikal bila seseorang tu mengalami dehydration. Apabila diberikan air melalui drip, barulah keadaannya beransur pulih dan waras.

Diharapkan apa yang saya kongsikan ini berguna untuk semua bakal jemaah haji. Saya pasti setiap jemaah mahu mendapat haji yang mabrur.

Semoga dengan tubuh badan yang sihat dan kuat akan memudahkan segala urusan ibadah kita, menambahkan kekusyukkan semasa ibadah serta hadirnya keikhlasan dalam hati dan akhirnya dikurniakan haji yang mabrur.

Sumber/Foto: Dr Faizul Jalal via Mingguan Wanita

Published by
Netty Ah Hiyer