Nampak macam senang, hakikatnya ujian wanita yang kahwin dengan duda itu besar cabarannya. Tak mudah untuk mereka. Selain menjaga suami, dia juga perlu berbaik-baik dengan anak tirinya.
Dan anak-anak tiri ini tak boleh disogok dengan kepura-puraan dan sikap ramah yang plastik. Keikhlasan dan luhurnya hati mendorong perasaan sayang dan suka dalam hati mereka. Sebab itulah, wanita yang berkahwin dengan duda perlu faham garis panduan ini.
Benarkan, yang paling sukar diduga adalah keikhlasan. Ia perasaan suci yang hanya mampu dinilai oleh Yang Maha Esa.
Namun, hati-hati yang suci mampu melihat sejauh mana seorang itu ikhlas atau tidak terhadap mereka. Justeru, terimalah anak-anak suami anda dengan penuh rasa cinta.
Sebagaimana anda cinta dengan suami, salurkan rasa itu pada darah dagingnya. Berikan sepenuh jiwa dan layani makan minum mereka mengikut aturan yang sepatutnya.
Anda juga perlu menjadi jujur pada diri sendiri. Agar keikhlasan itu boleh terpancar dari lubuk nurani yang ikhlas.
Bagaimana mahu menjadi rapat dengan anak-anak, cinta hati suami ini? Salah satu caranya adalah merapatkan hubungan yang mula terasa hambar.
Lakukan aktiviti bersama suami dan anak-anak tiri ketika waktu lapang. Bawa mereka bersiar atau melancong ke satu destinasi yang tenang.
Anda boleh juga pupuk jiwa kasih anak-anak tiri melalui solat berjemaah. Pinta suami lakukan bersama biarpun cuma dapat melakukannya ketika solat maghrib sahaja.
Selesai solat, biarkan suami memberi tazkirah diikuti oleh harapan anda sebagai seorang ibu baru kepada anak-anak suami.
Jika duda yang anda kahwini itu kematian isteri, anda selamat kerana tidak perlu berbalah dengan bekas isterinya. Jika bercerai hidup, bertahanlah.
Apa pun kawal diri anda dan jangan sengaja mengungkit kisah silam suami anda. Ketika bersama anak-anak, jangan ‘apikan’ anak-anak agar membenci ibu mereka. Oh! itu paling bahaya sekali.
1. Anak-anak merupakan permata yang paling berharga. Ibarat melentur buluh dari rebungnya, begitulah halnya dengan diri anda. Lenturlah diri agar dapat mengadaptasi suasana baru itu. Status seorang isteri sekali gus ibu ekspres kadangkala memberi bebanan yang luar biasa.
2. Paling sukar apabila anak-anak tiri sudah masuk peringkat remaja. Pendekatan menawan hati mereka tidak sama dengan cara memujuk anak kecil dengan sebungkus gula-gula. Namun, kaedahnya masih sama iaitu sentuhan emosi memainkan peranan utama.
3. Perkara utama yang boleh anda praktikkan adalah jadikan diri anda buah hati pada anak-anak tiri anda. Jika mahu diri dianggap bagaikan sahabat, teman mahupun BFF, cubalah cipta diri anda jadi sebegitu. Anda perlu jadi pendengar yang baik dan bukannya pengarah yang dibenci. Anda juga perlu tahu bagaimana mahu menjadi pembantu mereka bukannya seorang yang mudah dibuli.
4. Menasihati mereka juga ibarat menarik rambut di dalam tepung. Ia tidak meninggalkan pesanan yang berbisa. Sebaliknya jika mereka mahu berubah, mereka lakukan dengan rela. Hubungan baik anda dan permata hati suami ini pasti menyenangkan hati suami.
Suami jadi lebih sayang malah suami sendiri pasti mahu tahu rahsia anda dapat berbaik dengan anak-anaknya. Justeru jadilah ibu tiri yang lembut jiwanya namun tegas dalam setiap tindak tanduk.