Bila perkahwinan dibina tanpa cinta dan lebih parah suami isteri tiada usaha menyuburkannya, mudahlah ia jadi rapuh. Hadirnya orang ketiga, buatkan hubungan kian renggang. Tetapi soal ‘bermain api’ bukan hanya milik lelaki. Bila ujian datang, isteri juga boleh terjebak dengan permainan perasaan.
Awas! Jangan sampai terpedaya begitu. Kesannya bahaya! Ini kisah benar yang terjadi pada seorang wanita yang mahu identitinya dirahsiakan. Selepas 5 tahun bergelar isteri, masih gagal mencintai suami sendiri.
Terus terang, rasa cinta tidak pernah wujud dalam hati saya untuk suami. Yang ada hanya rasa tanggung jawab dan secebis sayang kerana dia seorang lelaki yang sangat baik, menjaga saya dan anak lelaki kami dengan sempurna.
Pendek kata, dia hampir sempurna sebagai seorang suami. Dia pendiam orangnya dan di rumah jarang kami berbual. Hanya hal-hal penting saja kami bersembang sedangkan saya sebenarnya seorang yang suka bercakap.
Suami lebih banyak membaca sama ada al-Quran atau buku-buku agama. Pada waktu malam, dari maghrib hingga isyak, tempatnya di masjid. Kadangkala dia pulang setelah saya dan anak tidur. Hari cuti dia sering kali tiada di rumah kerana sibuk bekerja atau mengikuti aktiviti NGO.
Dia bekerja sebagai seorang akauntan dan saya pula seorang kaki tangan awam. Pendek kata, masa untuk kami berjumpa sehari-hari agak singkat. Nasib baik ada anak yang jadi teman saya. Soal cinta memang tidak boleh dipaksa.
Puas selama lima tahun ini saya cuba untuk mencintainya namun gagal. Saya sendiri tidak faham dengan perasaan saya ini.
Saya mewakili jabatan dan dihantar berkursus di sebuah negeri selama seminggu. Ketika itu saya berkenalan dengan seorang lelaki yang saya namakan K saja. Dia antara pegawai yang ditugaskan untuk menyelenggarakan program tersebut. Sifat kepimpinan dan karisma sebagai seorang pemimpin cukup terserlah.
Entah mengapa, hati saya berdengup kencang setiap kali memandang wajahnya. K seorang duda kematian isteri dengan tiga orang anak. Sering kali juga kami berbual mesra apabila ada waktu terluang tetapi secara beramai-ramai.
Sikapnya yang kelakar membuatkan hati saya lebih tertarik padanya. Namun saya hormati dia dan tidak pernah terlintas untuk cuba mencuri perhatiannya.
Apabila kursus berakhir, kami saling bertukar nombor telefon. Tiada niat lain kerana dia juga tahu saya isteri orang. Lagipun kami para peserta saling bertukar nombor telefon di antara satu sama lain. Mana tau, mungkin perlu bekerjasama satu masa kelak.
Sejak kursus itu, kami saling berhubung. Kadangkala soal kerja, kadangkala dia meminta nasihat tentang tiga orang anak perempuannya itu. Saya kagum dengan dirinya yang tabah menjaga tiga anak perempuannya, dibantu oleh seorang kakaknya sejak kematian isterinya lapan tahun lalu.
Sering kali dia meminta nasihat saya kerana katanya hanya perempuan yang faham tentang perempuan. Lama-kelamaan kami semakin mesra. Pada waktu malam ketika suami ke masjid saya akan ambil masa untuk berbual dengannya di dalam telefon.
Dia berada di negeri lain jadi kami tidak pernah berjumpa. Sekadar bertukar gambar pernah juga. Sering kali dia akan hantar gambar anak-anaknya dan saya juga akan menghantar gambar anak saya.
Daripada perbualan biasa, kami mula berbual soal hati. Saya sering meluahkan perasaan tentang kehidupan saya. Bukan saya tidak bahagia, tapi hidup saya seakan ‘kosong’ kerana tiada cinta antara saya dan suami.
Alangkah seronoknya jika saya dapat berbual-bual mesra dengan suami seperti saya berbual dengan K. Saya sedar saya berdosa namun bila berbual dengan K, saya rasa gembira. Kami boleh berbual tentang apa saja, termasuk soal anak-anak dan kerja.
Dia sering menasihati saya dan menghiburkan hati saya bila saya rasa sedih atau tertekan dengan kerja. Suami? Tak pernah sekali pun dia ambil tahu tentang kerja saya. Saya dalam dilema. Apakah saya perlu mengambil langkah menamatkan ikatan perkahwinan yang tiada rasa cinta ini?
K pernah nyatakan hasratnya, andai jodoh saya tidak panjang bersama suami, dia sedia menerima saya dan anak saya. Namun tidak pernah sekali pun dia mendesak saya untuk berpisah dengan suami. Itu membuatkan saya bertambah sayang padanya.