5 Sebab Ini Mak Ayah Takkan Rugi Beli Barang Buatan Malaysia

Share

Mak ayah, jangan takut untuk beli barang buatan Malaysia. Ini kerana, banyak produk tempatan sudah mencapai standard kualiti malah lebih baik sehingga tembusi pasaran import.

Inisiatif Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) yang dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 2 November lalu banyak memberi kelebihan kepada pengguna. Tentunya manfaat ini pengguna peroleh dari segi kualiti produk malah penjimatan harga barangan.

Ini senarainya kenapa mak ayah takkan rugi bila membeli barang buatan tempatan. Sila hadamkan.

Pertama : Selamatkan Duit Belanja Dapur Mak Ayah

Sebenarnya mak ayah, produk tempatan ini harganya jauh lebih murah berbanding barangan import. Pengguna yang bijak akan berusaha untuk memastikan jumlah perbelanjaan dapur dalam kadar yang menguntungkan seisi rumah. Jadi, kenapa perlu mengeluarkan wang lebih untuk barangan yang sama kualitinya.

Menerusi KBBM ini, pasar raya besar (hypermarket), pasar raya (supermarket), kedai serbaneka (convenient store) dan kedai-kedai serbaneka di stesen minyak serta di 304 kedai Inisiatif Kedai Ekonomi Rakyat (i-keep) terlibat dalam kempen ini.

Tentunya, mak ayah boleh membuat belian produk tempatan di lokasi jualan yang disenaraikan di atas dengan harga jauh lebih murah malah berkualiti.

Pembelian produk tempatan secara atas talian pun salah satu pilihan yang boleh mak ayah buat. Tentunya promosi dan diskaun jualan inilah yang mak ayah nanti-nantikan. Sekaligus, pilihan inilah yang menjimatkan duit belanja dapur mak ayah.

Kedua : Ada Lebihan Wang Untuk Bawa Keluarga Jalan-jalan

Sesetengah pasaraya, mereka mempunyai produk ’house brand’ mereka sendiri. Yang mana, harganya boleh jadi lebih murah 5 ke 20 peratus dari jenama lain.

Jika dalam sebulan itu, mak ayah berbelanja dengan pengurangan 20 peratus daripada sebelumnya. Dalam tempoh beberapa bulan, mak ayah boleh buat simpanan untuk aktiviti lain misalnya percutian keluarga.

Bawa keluarga bercuti ke lokasi menarik dalam negara pun satu langkah penjimatan dan pilihan yang bijak. Ini kerana, dalam masa yang sama mak ayah berjaya membantu ekonomi pengusaha tempatan.

Ketiga : Bantu Usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana

Sedar atau tak, apabila mak ayah membeli produk tempatan, tindakan ini sebenarnya salah satu usaha menyokong pembangunan ekonomi usahawan kecil dan sederhana di negara kita.

Jadi industri IKS (Industri Kecil Dan Sederhana) boleh berkembang lebih maju dengan sokongan mak ayah. Maka, semakin banyak penghasilan produk kualiti yang mana akhirnya pengguna akan menikmati keuntungannya.

Dari semasa ke semasa kerajaan dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan yang lain sentiasa menggiatkan lebih banyak ekspo jualan KBBM di seluruh negara. Misinya untuk memasarkan produk tempatan untuk menembusi ke pasaran luar negara yang berpotensi seperti Jepun, Dubai dan China.

Keempat : Mak Ayah Bantu Turunkan Harga Produk Dalam Pasaran

Penghasilan produk ’house brand’ dari sesetengah peruncit sebenarnya menguntungkan mak ayah semasa berbelanja. Selain harga lebih murah, kualiti produk sama seperti produk lain yang ada di pasaran.

Malah, ini juga antara faktor penurunan harga barang. Yang mana, penghasilan produk ‘house brand’ ini tak memerlukan kos pengiklanan atau pemulangan semula produk.

Kelima : Mak Ayah Tunjukkan Semangat Cintakan Negara Dalam Diri Anak-anak

Sebenarnya anak-anak nampak apa yang mak ayah pilih mahupun berbelanja untuk mereka. Terapkan dalam minda anak-anak bahawa produk tempatan yang dihasilkan oleh orang tempatan itu sendiri berkualiti baik.

Tanda sokongan inilah yang akan gerakkan hati seisi rumah untuk lebih menghargai produk keluaran negaranya sendiri.

Apabila tak berbangga dengan produk luar, mak ayah sebenarnya mendidik satu keluarga cintakan negara. Bolehlah mulakan langkah membeli produk tempatan yang ada di pasaraya tempatan, atau berbelanja produk tempatan atas talian dengan tawaran harga yang lebih murah.

 

Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dilancarkan di seluruh negara. / Kredit foto : malaysiaaktif.my

Ini Yang Mak Ayah Perlu Tahu Tentang Kempen Beli Barangan Malaysia

Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dah wujud sejak tahun 1984 lagi. Tahun 2009, berlaku krisis kewangan global, jadi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kembali lancarkan kempen ini dengan penjenamaan semula.

Usaha ini untuk galakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia sekaligus membantu usahawan tempatan hadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan pada waktu itu.

Menjelang tahun 2020 ini tentunya cabarannya lebih hebat lagi. KBBM ini antara inisitif yang dapat membantu usahawan tempatan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Peningkatan pembelian produk PKS di kalangan pengguna ini sebenarnya akan membantu merancakkan dan merangsang kembali pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Jadi, mak ayah bertindaklah bijak dan teruskan menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia ya.

#barangbaikbarangkita

Published by
Netty Ah Hiyer