5 Pesanan Penting Ustaz Ebit Lew Yang Para Suami Patut Lakukan Jika Mahu Keluarga Bahagia

Share

Membina keluarga bahagia asasnya adalah peranan suami sebagai ketua keluarga dalam memimpin anak-anak dan isteri.Elok hasil didikan suami, bahagialah keluarga yang dibina. Perkongsian pesanan oleh Ustaz Ebit Lew yang merupakan seorang pendakwah dan penceramah motivasi ini, wajar dijadikan panduan buat para suami.

Berikut antara yang dikongsikan;

Sampai rumah anak saya yang bongsu setahun lebih ni cium-cium saya. Saya peluk dan terbangkannya. Bermain dan berlawan-lawan sampai dia tertidur di sebelah saya di kerusi ini. Sebak pula rasa..

Ya Allah..seperti pandangan saya pada anak ini. Itulah pandangan ibubapa saya pada saya satu waktu dulu. Dengan doa dan harapan. Ya Allah…..Indahnya rasa cinta dan sayang yang Allah kurniakan. Sambil cium anak ini. Saya pandang isteri saya. Terasa amat cinta dan sayang pada isteri dan anak-anak. Ya Allah jagakanlah bidadari dan anak-anakku.

Anak-anak dahagakan masa dengan ibubapa mereka. Bagi mereka masa bersama ialah ukuran cinta buat mereka. Love = Time..

1.Buat Suami Hargailah Isteri

Kerana bila mereka dihargai dan disayangi. Dibelai dan dipeluk suami. Aura yang sama mereka beri pada anak-anak. Dengarlah mereka. Tolonglah dengar mereka kerana Allah..Bukakanlah hati dengan memberi telinga dan hati mendengar.

Pandang mata mereka. Keletihan dan harapan mereka. Lihat yang tersirat. Doakan isteri. Picit dan urut-urut isteri. Nasihat dengan baik. Puji dan beri mereka penghargaan. Beri mereka hadiah..beri semangat. Bantu mereka. Sebenarnya mereka bantu kita. Kini mereka lebih dari tugas mereka. Kewajipan mereka.

2.Jangan Tipu & Hancurkan Perasaan Isteri

Terima kasih pada isteri. Membangunkan sebuah keluarga ialah perjuangan. Setia dan jangan tipu isteri. Jangan hancurkan perasaan mereka. Mereka sanggup urus semuanya tetapi jangan tipu atau aniaya mereka. Sekali isteri terluka lamanya hatinya ingin pulih. Kasihanilah anak-anak menjadi mangsa kerakusan nafsu dan sikap acuh tak acuh kita.

Ada orang hilang keluarga kerana bom dan nuklear. Ada orang hilang keluarga kerana sibuk cari duit. Ada orang hilang keluarga hanya kerana saja-saja dan hawa nafsu.

3.Selalulah Peluk Anak & Isteri

Ramai wanita yang uruskan anak-anak seorang diri. Ada pasangan suami isteri jumpa saya katanya anak-anaknya selalu tak dengar kata dan buat perkara yang tak patut. Mereka tak hormat kami ibubapa. Jawab saya berilah masa selalu peluk mereka. Lagi kuat kita peluk mereka lebih mereka menjadi manusia yang penyayang.

Mereka jumpa saya semula dan kata lepas selalu peluk anak mereka berubah. Lembut dan mudah dengar kata. Sekali suruh terus jalan. Lembut dan rasa kasih sayang. Anak-anak dahagakan pelukan dan kasih sayang. Sama juga mak kepada anak kita. Mereka lebih-lebih lagi dahagakan kasih sayang dan pelukan.

4.Jangan Bergaduh Depan Anak-Anak

Kita sebagai anak boleh terima kurang sempurna rumah. Tidur ramai-ramai tanpa bilik. Kenderaan atau pakaian mak ayah tak sempurna. Kurang duit. Tak dapat gadget atau permainan. Tapi tiada anak yang boleh tahan lihat mak ayah mereka bergaduh dan mak ayah yang hidup tanpa cinta dan saling memusuhi mengkhianati. Walau kita dah dewasa kita tak sanggup lihat mak ayah kita bergaduh. Inikan pula anak masih kecil.

5.Didik Anak Dengan Iman

Berikanlah hak anak-anak. Iaitu didikan iman. Dan anugerahkan mereka contoh kasih sayang dan keikhlasan dalam hidup. Biarlah mereka bina yakin dan percaya dengan Islam. Berikanlah hak mereka. Jangan bergaduh depan anak-anak. Buatlah semuanya kerana Allah. Hidupkan Ta’lim dalam rumah. Hidupkan sunnah dalam rumah.

Semoga perkongsian ini bermanfaat, jadikan pesanan Ustaz Ebit Lew ini sebagai panduan dalam kita membina keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Semoga kebahagiaan berkekalan didalam rumahtangga kita.

Sumber: Ebit Lew

Published by
Suhaidah Abd Wahab