Hilang sudah kasih ibu, anak sulung kepada lima beradik ini bakal menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya.
Usianya baharu mencecah 25 tahun. Kini mengalas tanggungjawab menjaga adik-adik.
Walaupun pahit untuk ditelan, Nuzul Hafizan Afiq Abd Wahab, 25 reda menerima kenyataan bahawa ibu tersayang, Nurulhuda Ramli, 41, meninggal dunia selepas Perodua Viva dinaiki bersama tiga individu lain dipercayai terbabas dan melanggar penghadang jalan berhampiran pusat komersil di Putrajaya baru-baru ini.
Nuzul Hafizan yang mengiringi jenazah ibunya di dalam ambulans di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya memberikan pandangan kosong sementelah beliau dan empat adik yang kesemuanya lelaki berusia lapan hingga 21 tahun kini yatim piatu selepas bapa mereka juga sudah meninggal dunia sejak kira-kira lima tahun lalu.
Mengenang kembali pertemuan terakhir pada minggu lalu, Nuzul Hafizan yang menetap di asrama syarikat bekerja di Rawang mengakui insan tersayang itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Pemuda itu berkata, dia reda dengan pemergian ibunya namun mengakui kenangan mereka bersama tidak akan luput daripada ingatannya dan menyifatkan walaupun wanita itu seorang yang agak garang dan tegas namun penyayang selain rajin memasak.
“Mama suka bawa kami pergi ke pantai, selalu pergi pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan dan makan-makan sejak kami kecil. Itu akan selalu saya kenang selain masakan mama seperti rendang serta ayam masak merah,” katanya.
Terdahulu, memetik laporan Harian Metro, polis mengesahkan empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24; Nurulhuda Ramli, 41 dan Amizan Sapiie, 27, manakala seorang lagi mangsa, Nizasuhana Ujang, 28, dilaporkan parah.
Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan Perodua Viva yang dipandu dari arah Kajang hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar penghadang jalan berhampiran susur masuk pusat komersil berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE