Sebaik Isteri Mengandung Lagi Morning Sickness, Suami Jangan Cop Mengada, Tapi Lakukan 5 Hal Ini

Share

Emosi, perubahan hormon isteri mengandung memang takkan sama setiap orang. Berbeza-beza penerimaan mereka. Ada yang memang takkan alami morning sickness, ada yang sedikit alahan, malah ada yang teruk sampai terpaksa diwadkan.

Memang tak semua suami yang akan memandang rendah pada isteri yang alami morning sickness. Lagi-lagi sekarang dah banyak kesedaran di online di dedahkan tentang apa yang suami perlu buat bila isteri alahan.

Semua itu memang membantu. Tapi, ada juga segelintir suami-suami mudah belum nak memahami sepenuhnya. Yang perubahan hormon isteri itu bukanlah dibuat-buat. Itu tindak balas semulajadi tubuh badan seorang isteri yang bekal bergelar ibu.

Bila mana, janin itu sendiri sedang bertindak balas untuk menerima suasana baru dalam rahim ibunya. Wahai bakal ayah, sesungguhnya bukan mudah nak bagi roh itu masuk ke alam rahim ibu. Sebab itulah, Allah beri pahala yang banyak pada ibu yang sedang hamil. Asalkan, ibu tahu bagaimana mahu mengutip pahala itu satu persatu.

Jadi bakal ayah, sebaik saja isteri disahkan mengandung, baik alahan ataupun tidak lakukanlah 5 hal ini. Maka, pahala akan terus berpanjangan. Rahmat Allah juga mengiringi keluarga kalian yang bakal berkembang.

Pertama : Doakanlah Kebaikan Untuk Isteri Mengandung Dan Bayi Dalam Kandungan.

Setiap kali lepas solat, doakan kesejahteraan isteri dan bayi anda. Sebaik selesai berdoa usapkanlah perutnya. Agar menyejukkan lagi perasaan isteri yang tak tentu arah akibat alahan. Bacakan juga doa untuk keselamatan isteri.

Mak mengandung pula boleh baca 6 doa ini sampailah melahirkan dan sepanjang membesarkan anak.

Kedua : Banyakkan Membaca Al Quran

Bukan saja isteri, suami juga kena banyakkan membaca Al-Quran. Bacalah juga terjemahannya, agar lebih memahami maksud kalam Allah itu. Banyak membaca Al-Quran juga buatkan hati suami lebih tenang.

Jika berdepan kerenah ibu hamil pun, suami akan jadi lebih sabar dan tak marah-marah. Nanti rumah kita pun jadi lebih sejuk dan damai.

Ketiga : Berpuasalah Sunat Isnin Khamis

Kata Ustazah Norhafizah Musa, kalau mahu menjauhkan bisikan syaitan dalam diri maka perbanyakkanlah berpuasa sunat. Itulah satu-satunya cara untuk melemahkan makhluk jahat itu. Tak salahkan suami lakukan hal sedemikian, demi melahirkan zuriat yang baik.

Keempat : Berzikir Dan Berselawatlah

Sambil duduk-duduk baca surat khabar atau tengok TV tu, berzikirlah dalam hati. Makin basah lidah seseorang dengan zikir, makin lembutlah hati seseorang itu. Bila hati dah lembut, suami akan berlapang dada terima perubahan isterinya.

Isteri hamil ini sensitif dan lain macam perangainya. Kadang itu tak boleh tercuit sedikit. Merajuknya berpanjangan. Jadi, bila suami berlapang dada, dia akan sabar terima seadanya perubahan sikap isteri.

Kelima : Bersedekah Agar Rezeki Lebih Melimpah Ruah

Jangan takut tak cukup ya. Sebab kira-kira sedekah ini lain macam. Satu kau beri, 10 tuhan balas balik. Tak kisahlah dalam bentuk wang ringgit ke, barang ke, perkhidmatan sosial ke. Apa saja yang mendatangkan manfaat kepada orang lain itu sebenarnya boleh dianggap sedekah.

Makin banyak sedekah, makin bergandalah kebaikan yang sedang anda lakukan. Pahala pun berpanjangan.

Jadi suami, ini sekadar catatan ringkas yang mudah untuk suami praktikkan semasa isterinya hamil. Dan lima saranan ini sebenarnya untuk menjaga hati dan emosi agar kekal positif dan berganda-ganda sabar hadapi keadaan isteri yang mengandung.

 

Published by
Netty Ah Hiyer