Kurangkan rasa kalut mencari item lengkap sambut bayi bakal lahir, sebabnya ini panduan yang lengkap dan berguna untuk mak-mak hamil. Suami isteri memang patut simpan cheklist ini. Taklah nanti bila anak dah lahir kelam kabut nak membelinya.
Blogger Papaglamz,Muhammad Faizal Bin Mohd Musa @ Musa ini berkongsi keperluan ataupun barangan yang perlu mak ayah sediakan untuk bayi yang bakal lahir menjengah dunia realiti ini.
Ini Checklistnya
6 Item Pakaian Bayi
Kredit : aliexpress.com
First and most mesti semua akan terpikir pasal baju ataupun pakaian kan? Yer, ni penting sebab bayi perlukan baju untuk menutupi badannya. Kalau ade baju ni, tak la anak kite togel tidak berbaju. Pakaian juga seeloknya diperbuat daripada kain cotton kerana ia lebih selesa untuk bayi. Antara baju atau pakaian yang boleh disediakan ialah:
> Baju berlengan pendek atau panjang. > Seluar pendek atau panjang. > Barut. > Sarung kaki dan tangan. > Kain bedung atau napkin. > Topi.
5 Item Keperluan Lampin
Kredit : Pinterest
Selain pakaian, kita harus juga menyediakan lampin untuk bayi kita. Yela tak kan lepas-lepas je keluar dari perut ibu nak suruh masuk tandas buang air segala bagai kan? Hehehe. Jadi, boleh lah kita sediakan:
Ads
> Lampin pakai buang. > Pelapik lampin. > Tisu kering atau basah. > Penyembur air. > Beg menyimpan lampin.
4 Item Mandian Bayi
Kredit : Pinterest
Selain itu, jangan lupa untuk menyediakan set mandian bayi anda. Bayi juga perlu mandi macam Ibu dan Ayahnya. Tapi tak boleh la barangan mandian bayi berkongsi sama dengan ibu dan ayah. Kang lain pula jadinya. Yela kulit bayi ni kan ala-ala sensitif gitu. Jadi anda boleh la sediakan:
> Cecair mandian khas untuk bayi. Macam-macam produk ade di pasaran. > Syampu bayi. > Besen untuk mandi. > Tuala mandi.
8 Item Penjagaan Kebersihan & Kesihatan
Kredit : aliexpress.com
Seperti orang dewasa, bayi juga perlu set penjagaan yang khusus. Lagi-lagi la bayi ni sangat sensitif dengan persekitaran kan. Penjagaan ni meliputi penjagaan dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki. Kita boleh la sediakan:
Selain set penjagaan kita juga seharusnya menyediakan barang-barang keperluan untuk bayi tidur lena. Penyediaan keperluan ini mengikut kemampuan anda. Tak perlu nak over-over sangat sampai terover budget la. Untuk tidur bayi yang lena, boleh kita menyediakan:
> Tilam yang sesuai untuk bayi. > Bantal kepala. > Bantal peluk. > Cadar atau sarung tilam. > Selimut. > Untuk tilam aku gunakan toto je. Lipat-lipat jadi tebal.
4 Item Penyusuan Ibu
Kredit: Medela
Bayi semestinya hendak menyusu kan? Amat bertuah bagi ibu-ibu yang mampu menyusukan anaknya secara eksklusif. Bagi ibu-ibu yang menyusukan anak, anda bolehlah mempersiapkan keperluan seperti:
Ads
> Pam payudara. > Bekas penyimpanan susu. > Beg pendingin. > Nursing cover.
7 Item Penyusuan Dengan Botol
Kredit: goldtex.ca
Bagi bayi yang minum susu formula:
> Botol susu bebas BPA. > Puting botol susu. > Berus botol. > Bekas untuk menyimpan botol susu. > Bekas untuk menyimpan air panas. > Bekas untuk menyimpan air sejuk. > Alat untuk sterill.
Jadi, itu lah tadi beberapa guide untuk kita menyediakan kelengkapan untuk menyambut kehadiran insan baru di dalam rumah tangga kita. Buat para Ibu, jaga kesihatan anda.
Mak ayah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam mendidik dan memberi kasih sayang sepenuhnya pada anak-anak mahupun cucu-cucu. Namun lumrah setiap anak pastinya mempunyai karakter dan pencapaian yang berbeza.
Inilah sebenarnya ujian terbesar buat mak ayah agar dapat berlaku adil tidak membeza-bezakan kasih sayang dan layanan buat mereka. Tiada istilah anak kesayangan mahupun anak tak guna pada anak-anak. Semuanya perlulah dilayan sama rata.Kerana waktu akan datang kita tidak tahu, anak manakah yang paling menyumbang bakti dan jasa pada kita di hari tua.
Jemput baca perkongsian Muhammad Hassan ini sebagai panduan kita.
Hargai depan mata.
Ada seorang pakcik berusia 61 tahun kena serangan stroke. Makcik agak uzur juga,selalu sakit lutut. Boleh dikatakan setiap 2-3 bulan kami akan bertemu. Hubungan kami agak rapat dan saya seronok dengar nasihat demi nasihat dan kisah kejayaan anak anak pakcik ini.
Cuma ada seorang anak yang ke 3 dari 7 adik beradik hanya kerja kampung dan jaga kebun sawit sahaja. Bagi mereka anak ini tidak setaraf dengan yang lain.
Yang lain semua kerja di bandar-bandar besar sebagai guru, pegawai di
putrajaya, pensyarah, askar, polis dan perkapalan.
Beri Kasih Sayang Sama Rata
Pakcik ini beri nasihat yang takkan saya lupa sampai bila bila.
Jika kamu ada anak ramai,beri kasih sayang mereka sama rata,jangan pilih kasih!
Pakcik dan makcik buat silap besar. Kami pandang rendah kepada anak ke 3 yang kerja kampung tu. Kadang kadang dia akan jadi bahan ketawa adik beradik yang lain. Disebabkan dia sumbing,masalah pembelajaran sejak kecil,maka dia selalu diabaikan.
Bila semua anak anak pakcik balik kampung,dialah yang selalu kami lupa nak jemput. Kadang kadang anak anak dia kami tak layan macam cucu cucu lain. Kami lebihkan cucu cucu yang jauh.
Jika masak sedap sedap,kami akan masak apabila yang lain balik sahaja. Ayam itik,kambing dialah yang jaga,tapi jika disembelih buat makan,kami lupa dia dan cucu.
Sedangkan,selang beberapa buah rumah dari rumah kami masih ada cucu cucu yang tagihkan kasih sayang nenek dan atuk.
Sehinggalah suatu hari pakcik kena serangan stroke. Semua anak anak yang lain tak dapat nak jaga,semua pakat tarik diri dengan pelbagai alasan. Akhirnya yang ke 3 inilah setiap hari datang ke ward,angkat pakcik ke tandas,basuh berak kencing pakcik.
Anak Sentiasa Ada
Sekarang kami baru sedar,betapa dia sentiasa ada bersama kami walaupun selalu ‘dipulaukan’, selalu diketawakan. Sikit pun tak mengeluh mahu pun kecewa. Tapi pakcik tahu,dia makan hati dengan layanan kami selama ini. Pakcik menangis minta maaf diatas layanan terhadap dia selama ini.
Sahabat. sedarlah hari ini. Kadang kadang yang depan mata ini selalu kita abaikan,selalu kita tidak hargai.
Peluk dan ciumlah anak anak kita. Curahkan kasih sayang terhadap mereka tidak kira apa kelebihan dan kekurangan mereka. Yang pasti mereka ada ada hati untuk disayangi dan dicintai.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat mak ayah renungkan kembali bagaimana layanan kita pada anak-anak. Jangan terlintas sedikit pun untuk ‘pilih kasih’, membeza-bezakan perhatian dan kasih sayang kita baik pada anak-anak, menantu mahupun cucu.
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Berikut merupakan ulasan dan pandangan oleh Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan isu ini.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Nyawa Lebih Penting
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Rujukan Hadis
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi Kaedah iqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Menyelamatkan Dari Mudharat WAJIB
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Isteri selalunya nak menang kalau ada perkara yang dia rasa tidak puas hari. Kadang-kadang isteri fikir apa yang dia cakap semuanya betul. Untungnya, bila suami malas nak melayan akan di’iya’kan saja. Sebab tak mahu bergaduh atau bermasam muka.
Walau bagaimanapun, ada jugak pasangan berkahwin dengan isteri yang suka mengongkong. Ingatkan lelaki saja. Inilah yang dikatakan isteri dominan. Dominan dalam semua perkara.
Perkongsian Rubiatul Addawiyah dalam membincangkan tentang perkara ini.
Tafsiran queen control ini membawa kepada seorang isteri yang mempunyai sifat dominan melebihi tampuk pimpinan keluarga iaitu suami.
Segala keputusan dia nak buat.
Dia mahu berkuasa ke atas semua perkara dan situasi sehingga terlupa dia ada suami untuk dia taati dan tundukkan egonya.
Perkahwinan adalah satu medan penyatuan kasih dua orang insan berbeza jantina, budaya pembesaran dan corak pemikiran.
Mereka bukan hanya menjadi penyeri hidup kepada satu sama lain, bahkan perkahwinan itu merupakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan satu hari nanti.
Punca Penceraian
Mengikut statistik pendaftaran perceraian Mahkamah Syariah melalui laman web www.data.gov.my, ia menunjukkan trend peningkatan kes perceraian dari tahun 2013 hingga ke 2017.
Tiga sebab utama dicatat sebagai punca kepada kes perceraian ini. 1.Faktor kewangan
2.Gangguan pihak ketiga
3.Penderaan fizikal dan mental
Isteri Dominan
Mungkinkah memiliki pasangan dominan merupakan salah satu faktor penderaan mental? Ia boleh berlaku jika tidak dikawal dan diurus selia dengan baik oleh ketua keluarga.
Memperoleh isteri yang dominan dari segala segi, suami perlu bijak main peranan sebagai ketua keluarga.
Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (kaum lelaki) atas sebahagian kaum yang lain (kaum wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”
Cuaca sesebuah rumah tangga, ianya didominasi oleh isteri. Fitrah isteri dianugerahkan kelebihan emosi. Namun cuaca si isteri pula adalah bergantung kepada apa yang ditentukan oleh suami.
Maka di sini, wujud satu peranan yang perlu sama-sama ambil faham dan peduli bahawa perkahwinan itu bukan lagi sebatas kau-kau dan aku-aku. Ia memerlukan kerjasama kedua pihak. Suami itu pemimpin di dalam keluarga, isteri sebagai tulang belakang kepada suami.
Bagaimana mengenali isteri queen control ini? Ada beberapa cara kita nak kenal bagaimana isteri bersifat dominan ini.
1.Bersikap bahawa dia sahaja yang betul.
2.Ambil alih tugas utama suami.
3.Suka kawal keadaan.
4.Suka mengarah tak tentu hala.
5.Tidak mahu dengar pendapat orang.
Tempoh Bertunang
Sebelum berkahwin, adanya tempoh bertenang bernama bertunang. Pada saat ini, kita digalakkan mengenali bakal pasangan kita. Namun awas, patuhi batas syariat kerana kalian masih belum halal. Sebaiknya, kenal melalui keluarganya, seperti makan bersama kedua buah keluarga.
Libatkan ahli keluarga dalam perkara ini. Mata orang lama dengan mata orang sedang bercinta tidak sama. Telinga orang lama tidak sama dengan telinga kita yang sedang berkasihan ini.
Jika sudah berumah tangga, masih belum terlambat untuk para suami memperbaiki dan mengawal keadaan isteri bersifat dominan seperti ini. Berikut beberapa cara yang boleh diusahakan suami bagi menyelamatkan perkahwinan yang disayangi.
1.Ice breaking – selami perasaan dan pandangan masa hadapan masing-masing dengan tenang, sambil bersembang. Peruntukkan masa khas untuk kalian bersama mengenang kembali manifesto cinta kalian.
2.Ambil hati pasangan – hati wanita, sifatnya lembut. Jika ditangani dengan lembut, pasti hasilnya akan kita nikmati satu hari nanti. Batu yang keras pun akan lekuk andai dititis air berhari-hari.
3.Memberi – teruskan memberi dengan penuh kesabaran. InsyaAllah, hatinya bakal lembut, seterusnya bakal menundukkan egonya agar patuh kepada suami, selaku pemimpin yang lembut dan sabar.
4.Orang tengah – boleh menggunakan orang tengah yang dipercayai dan dihormati untuk menegur isteri bersifat dominan ini.
5.Wujudkan perbincangan secara dua hala secara kerap. Fahami perbezaan dan raikan cara berfikir dalam mengurus situasi.
6.Sentuh pasangan dengan kasih sayang dan keikhlasan. InsyaAllah keikhlasan itu akan dirasai pasangan.
7.Solat jemaah dan makan bersama – kerana kesibukan, kita abaikan dua perkara rohani ini. Penghormatan dan keperibadian anda sebagai suami akan perlahan-lahan diakui oleh wanita bersifat dominan ini.
8.Libatkan dua perkara ini dalam setiap tindak tanduk kita: a.Terima kasih b.Minta maaf
Petikan kata-kata Bonda Nor di dalam naskhahnya berjudul Isteri Dominan, ‘tanpa perlu menjadi raja, engkau juga mampu memegang tampuk kuasa’. Begitulah.
Di dalam memenangi sesuatu, kita perlu korbankan sesuatu.
Jika ada pilihan dengan mengambil hati kekasih hati, mengapa perlu kita tegakkan kuasa dominan kita?
Seni memenangi hati ini bukan sehari dua saya belajar. Ia memakan masa sepanjang usia perkahwinan kita.
Lain situasi, lain caranya.
Tak perlu menang selalu.
Cukup kita tahu apa yang perlu dibuat untuk kedamaian dan kerukunan perkahwinan kita. Seiring dengan panduan mengikut syariah.
Belajarlah dari setiap sisi ujian yang terhidang dalam perkahwinan ini.
Buka mata, besarkan jiwa.
Perkahwinan merupakan satu daripada episod kehidupan kita.
Nikmati, rai, dan hargai setiap episod tersebut.
MW: Terimalah pasangan seadanya, sebab dialah yang melengkapi apa yang kurang dan apa kelebihan pada diri masing-masing.