4 Tahun Setengah Deritai Leukemia, Apik Akhirnya Pergi Jua

Share

Empat tahun setengah lalu, kisah anak buah saya Mohamad Hafizuddin ini pernah saya siarkan dalam ruangan Kisah Masyarakat di majalah Mingguan Wanita. Anak kecil ini yang cukup mesra di kalangan sepupu dengan nama Apik, menderita penyakit kanser darah, Leukemia.

Lepas tamat belajar dalam darjah lima, mata Apik dikesan kekuningan. Dia alami demam yang tak kebah-kebah. Sejak itu, kakak ipar saya, Kak Huda sering saja berulang alik ke Klinik Kerajaan di Lenggong. Sampailah akhirnya Apik meneruskan rawatannya di Hospital Ipoh.

Sampailah ujian demi ujian, radioterapi, kemoterapi yang entah berapa banyak kali anak kecil ini perlu lalui. Sakitnya usah cerita, badan Apik yang bersaiz paling besar di kalangan adik-beradiknya telah bertukar menjadi yang paling kecil sekali. Tulang saja yang tinggal.

Apik amat cintakan pelajaran. Walau dirawat di hospital, berkali juga dia kata mahu ke sekolah. Sayang kudratnya tak mampu. Sampaikan peperiksaan UPSR dulu pun Apik ambil di dalam wad.

Bila dia diuji dengan penyakit darah ini, hati kecil kami selalu terasa berat dan sarat memandang derita fizikalnya.

7 Beradik Yang Saling Menyayangi

Pernah ketika di bulan Ramadan, Apik tak dapat makan mahupun minum air kosong. Bibirnya pecah berdarah. Air disedut dari straw, jalannya berpapah, makan minumnya bersuap. Semua itu kesan kemo yang menyakitkan.

Tapi tiba 1 Syawal, Apik datang juga rumah ibu mentua saya, rumah neneknya. Dalam longlai dia ceria, sebab dia mahu bertemu sepupu-sepupunya yang ramai tu. Saya masih tak dapat lupa wajahnya yang ditutup ‘mask’, mata cengkungnya, kulit hitam terbakarnya (kesan kemo) dan dia cuma mampu duduk diam-diam di kerusi.

Bila saya tanya, “Apik dah ok?” Apik mengangguk. Dalam hati saya berkata, kuatnya anak kecil ini. Selalu saya interview ibu bapa lain yang anaknya alami penyakit leukemia sebegini. Tapi bila anak saudara sendiri yang alami, sedihnya lain macam!

Syukurlah, kakak ipar saya ini kuat dan tabah sekali orangnya. Dia sering saja minta anaknya melawan sakit leukemianya.

Jangan lemah, jangan putus harap. Biarpun keluarga Apik sendiri bukanlah dari kalangan orang senang. Adik-beradiknya ramai, dekat 7 orang. Ketika awal sakitnya, kakak ipar saya terpaksa meninggalkan anak kecilnya yang seusia 6 tahun di bawah jagaan ahli keluarga yang lain.

Kadangkala dia bergilir menjaga Apik dengan anak-anak lelakinya. Kalau tak abang sulungnya berkampung di hospital, abangnya Mohamad lah yang bermalam menjaga Apik.

Apik (berbaju biru no.13) sewaktu sihatnya.

Walau Sakit Apit Dapat No. 1 Dalam Kelas

Sampailah Apik memasuki tingkatan 2, penyakit Leukemia yang dideritai tak menghalangnya untuk ke sekolah. Dia ke sekolah seperti biasa dengan berkerusi roda.

Teman-teman saling berebut untuk menolak kerusi Apik. Guru-guru menyayanginya, mengasihi tubuh kecil dan keringnya. Dia belajar semampu dirinya, sampai kakak dan abangnya memaklumkan awal tahun dan pertengahan tahun ini, Apik dapat nombor 1 dalam kelas.

Kalau adik-adik tak faham pelajaran Bahasa Inggeris, Apiklah yang akan tolong.

Dua minggu lalu, sakit Apik makin merosot. Dia dikejarkan ke hospital. Dalam serba kepayahan, Apik bertarung dengan derita Leukemianya itu. Kata, kakaknya dua minggu sebelum dia pergi, doktor dah beritahu yang Apik tinggal 20 peratus hayatnya mampu bertahan.

Bila tahu begitu, mereka saling mengasihinya. Apa yang Apik mahu mereka tunaikan. “Kak Chik manjakan Apik Mak Su. Dia nak apa semua kami beri.”

Moga Kau Tenang Di Sana

Dua hari sebelum kehilangannya, ibunya menghubungi kami. Maklumkan Apik 50-50. Allah.. Allah.. dia anak buah yang dekat di hati kami. Saya pula masih berperang dengan deadline yang menggunung tinggi.

Tanggal, 24hb jam 3 lebih suami memaklumkan Apik sudah tiada. Dia sudah kembali ke kampung akhirat… kampung abadi. Menemui Ya Rabb yang selama ini melindungi dan merahmati Apik yang tak banyak kerenah ini.

Pergimu di malam Jumaat dengan iringan hujan renyai yang dingin. Allahu seakan alam juga mengalu-alukan kepulanganmu nak.

Pergilah Apik, semoga kau tenang dalam taman syurga yang Allah janjikan untukmu. Nanti Apik bawalah ibu dan adik-beradik Apik duduk bersebelahan di perkampungan abadi.

Al Fatihah untuk anak saudara saya, Muhammad Hafizuddin (Apik) yang maksu dan paksu sayangi.

 

Published by
Netty Ah Hiyer