4 Tahun Menipu, ‘Suami’ Sejantina Sempat Kahwin 2 Kali

Share

Sudahlah tertipu selama empat tahun, malah salah seorangnya turut menderita diseksa dan dipukul oleh ‘suami’ mereka yang rupa-rupanya perempuan.Dalam kejadian di daerah Nainital, Uttarakhand, India, polis menahan wanita 25 tahun yang menyamar sebagai lelaki itu kelmarin atas tuduhan melakukan penyamaran, penipuan dan pemalsuan.

Polis daerah Nainital, Superintendan Kanan Janmejay Khanduri berkata, wanita dikenali sebagai Sweety Sen itu menyamar sebagai lelaki sejak 2013.

“Wanita itu menyamar sebagai lelaki menggunakan nama Krishna dan memikat wanita melalui Facebook sebelum mengahwini mereka.

“Dia menggunakan nama Krishna Sen di akaun laman sosial itu dan memuat naik beberapa gambar berperwatakan sebagai lelaki,” katanya.

Menurut laporan media India, polis berkata, Krishna ‘berkahwin’ dengan seorang wanita bernama Kamini pada 2014.

Pada, 2016, Krishna berkahwin pula dengan wanita lain berusia 20 tahun di daerah sama dan berpindah tinggal dengan isteri barunya.

Menurut Indian Express, Krishna tidak membenarkan kedua-dua isterinya itu melihat tubuhnya dan menggunakan kemaluan palsu ketika hubungan seks.

Isteri keduanya, Nisha, dikatakan tahu suaminya adalah wanita namun berdiam diri kerana dijanjikan habuan wang.

Pada hujung tahun lalu, Kamini membuat laporan polis mendakwa dipukul kerana mas kahwin dan wang keluarganya diambil lalu polis memburu Krishna sebelum berjaya menahannya, kelmarin.

“Pemeriksaan perubatan juga mendapati dia sebenarnya seorang wanita,” kata Janmejay.

Polis turut memburu keluarga wanita terbabit yang dikatakan hadir di kedua-dua majlis perkahwinannya.

Sumber: Hmetro & Indian Express

Published by
Suhaidah Abd Wahab