Kehilangan anak di tangan orang sekelip mata, itu satu ujian yang berat buat mak-mak yang bekerja seperti Puan Farah Madiha Othman, namun andai itu yang tertulis dalam perjalanan hidupnya, dia redha.
Dan syukur Alhamdulillah, anak syurga itu sudah selamat dikebumikan di perkuburan Tok Lam, Terengganu semalam.
Walau kejadian ini sangat pahit untuk ditelan, kita yang menjadi pendengar dan pembaca kisah ini jangan pula sampai tertulis kata-kata yang boleh mengguriskan hati keluarga si mangsa yang sudah kehilangan insan tersayang.
Seperti yang ditulis Puan Nurul Ilyani dalam laman sosialnya, kita tak tahu sejauh mana dia sedang bersabar dan seeloknya tolonglah prihatin dengan emosi keluarga mangsa. Sebelum berlaku kesilapan, jemput baca…
Sabarlah❌ Tuhan lebih sayangkan dia.
Banyak dekatkan diri dengan tuhan. Ini ujian❌
Sebaliknya.
DOAKAN dengan kata-kata yang baik seperti, “takziah”, “Didoakan Allah beri kekuatan”, “Allahul mustaan”.
Kenapa biar anak sakit tak bawa hospital?❌
Kenapa tak jaga sendiri anak tu, lebih baik jaga sendiri, sekarang dah jadi macamni apa pun tak guna❌
Kenapa hantar anak kat pengasuh, kenapa tak hantar kat taska berdaftar?
Sebaliknya diam, dan bercakap apabila diminta, bertanya apabila diminta.
Saya dulu sanggup berhenti kerja jaga anak❌
Saya dulu sanggup bergolok bergadai nak ubatkan anak❌
Sebaliknya, diam dan beri pandangan apabila ditanya.
Walaupun anda pernah kehilangan anak, jangan diserabutkan lagi ibu bapa itu dengan kisah kita.
Sebaliknya, doakan saja dengan ayat yang paling ringkas dan menenangkan jiwa.
Sebenarnya apabila seseorang ditimpa musibah, berhenti bercakap, beri bahu beri pelukan, beri telinga. Diam sahaja. Kebanyakan masa bukan mereka tidak kuat, mereka hanya perlu masa untuk mengutip kembali kekuatan saat diuji dengan kehilangan anak yang paling mereka sayangi.
Jadi, orang sekeliling, banyak diam mulut. Lebihkan aksi kasih sayang, dan empati.