4 Kali Czer Pun Sangat Berisiko Apatah 8, Pakar Perunding O&G Ulas Kematian Ibu Muda Bersalin 11 Kali

Share

4 kali czer pun sangat berisiko apatah 8, pakar perunding O&G ulas kematian ibu muda bersalin 11 kali.  Hari ini kita disajikan berita sedih mengenai pengorbanan seorang ibu muda, Nur Zaihan Abdul Halim yang meninggal dunia selepas kelahiran ke -11. Anaknya dilaporkan selamat dan masih berada di NICU HUKM sementara ibu muda ini mati syahid akhirat.

Berdasarkan kata rakan rapatnya dikenali sebagai, Nurhusna Kamarulzaman arwah mengandung anak ke -11 dan yang hidup 10 orang. Arwah berkahwin muda pada usia 18 tahun dan memang sukakan anak ramai. Kata arwah anak yang lahir atas dunia ini semua rezeki baginya.

4 Kali Czer Pun Sangat Berisiko Apatah 8

Diberitakan kematiannya akibat komplikasi plasenta stage 4  dan pembedahan kali ke 8. Rehatlah Nor di sana, ramai yang tunggu anak-anakmu. Aku pun nak ziarah anak-anakmu ini. Tulisnya lagi tok imam yang bacakan talkin pun menangis teresak-esak bila tengok wajah anak-anakmua. Ramai tangisi pemergianmu. Semoga tenang di sana. Amin, tulisnya.

Anak-anak arwah seramai 10 orang masih kecil dan yang kecil masih di NICU HUKM

Perkongsiannya cukup mendatangkan sebak kerana besarnya jasa pengorbanan seorang ibu dalam memastikan anak-anak selamat dilahirkan.

Dalam pada itu, Mingguan Wanita mendapatkan pandangan dari Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr Maiza Tusimin dari Pusat Perubatan  Prince Court mengenai risiko kehamilan pembedahan dalam jumlah banyak begini.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr Maiza Tusimin dari Pusat Perubatan  Prince Court

Menurut Dr Maiza atau mesra disapa Dr Mai, secara jujurnya, bila mendengar seorang ibu bersalin czer buat kali ke empat pun dirinya sudah takut, apatah lagi jumlah ibu muda ini lapan kali.

“Jujurnya, kali ke empat pun saya akan suruh ibu fikir panjang, apatah lagi ini lapan kali kerana banyak risiko boleh terjadi.

“Walau di swasta kelengkapan kami lengkap, begitu juga di hospital kerajaan fasilitinya jauh mencukupi tetapi sebagai doktor, apa yang dirisaukan ialah uri melekat dengan parut pembedahan lama. Bayangkan setiap kali kita potong perut, uri boleh melekat sebab berkali-kali dibuat. Jadi kalau kelahiran pra matang terjadi, (arwah melahirkan pada minggu ke 32), risiko uri melekat pada bekas czer lebih tinggi.

“Kalau uri melekat pada rahim  akan berlaku tumpah darah yang banyak. Dalam kes lain  biasanya rahim ibu akan dibuang bagi mengelak  risiko kematian. Tapi dalam kes ibu muda ini, barangkali pendarahan sudah berlaku di rumah dan bila sampai ke hospital sudah berlaku pendarahan banyak. Segala usaha telah dilakukan dan nyawa ibu tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi.

Arwah meninggal akibat komplikasi plasenta stage 4

Sebaiknya cukuplah 3 kali, kalau diskaun pun hanya 4. Bukan lebih dari itu kerana risiko tumpah darah sangat tinggi

Tambah Dr Mai, sebagai pakar perunding dalam bidang ini, kalau ditakdirkan ibu melahirkan anak melalui pembedahan tahap yang sesuai dengan tubuh dalaman wanita ialah tiga kali sahaja.

“Tapi katakanlah ibu berkahwin lain dan ada suami baru dan nak ada anak. Doktor pun taklah kejam kata tak boleh beranak langsung.  Boleh untuk bedah kali keempat tapi  ibu perlu diperiksa dengan rapi demi memastikan tahap kesihatannya baik. Faktor umur juga diambil kira, sejarah kesihatan pesakit juga. Sebaik-baiknya, biarlah doktor yang sama merawatnya dari anak pertama lagi kerana segala rekod sudah tersedia. Sebabnya doktor lebih tahu bagaimana keadaan dalam pesakit.

“Nasihat saya, bagi yang sukakan anak ramai ini, sebaiknya amalkanlah kaedah perancang keluar sebaiknya. Sebabnya kita sayang isteri dan keluarga kita. Tubuh kena jaga, meman benar anak itu rezeki tetapi Allah juga memberi kita untuk berfikir kebaikan dan keburukan. Jadikanlah kes arwah sebagai iktibar kerana risiko tumpah darah ini bukan sedikit tetapi banyak kematian terjadi kerana hal ini,” katanya memberikan nasihat.

“Kita mahukan ibu yang selamat dan sihat agar dirinya boleh ada untuk bersama-sama membesarkan anak,” katanya lagi.

BACA ARTIKEL DI SINI :-Melahirkan Di Dunia, Berpantang Di Syurga Ibu Muda Lahirkan Anak Ke 11 Meninggal Dunia

Dalam pada itu, Dr Mai turut menjelaskan masalah tumpah darah uri di bawah atau uri melekat ini bukan hanya terjadi pada kelahiran banyak tetapi boleh berlaku pada yang dibedah kali pertama juga.

“Antara masalahnya rahim boleh pecah. Kedudukan uri terlampau bawah dan ketiga uri melekat pada parut bedah.  Kalau ini terjadi, ia boleh membawa maut kerana berlaku tumpah darah yang banyak,” katanya menjelaskan masalah tumpah darah ini juga boleh berlaku pada kelahiran secara normal juga.

“Lagi banyak kali kita bersalin, rengangan rahim akan semakin perlahan. Rahim merengang beberapa kali, foktor umur juga kena ambil kira. Pendek kata setiap kehamilan yang banyak tidak dapat lari dari risiko tumpah darah ini. Kalau itu terjadi, langkah tercepat ialah buang rahim ibu,” ujarnya memaklumkan jarak selamat antara satu anak ke satu anak ialah antara 18-24 bulan untuk kehamilan seterusnya.

Apa para doktor paling risaukan terjadinya risiko plasenta accreta di mana uri melekat dengan lebih kuat ke dalam dinding rahim dan tidak boleh dipisahkan secara spontan.

“Ini adalah jenis yang paling membahayakan untuk ibu yang telah bersalin kerana boleh menyebabkan tumpah darah yang banyak. Bayangkan, dalam tempoh perminit, 700-800 ml darah akan keluar. Kalau lagi lama, ada terjadi hingga 10 liter ibu kehilangan darah dan ini meningkatkan risiko kematian,” katanya mengakhiri wawancara.

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

DENGAR APA KATA PAKAR PERUNDING O&G DR MAIZA DARI PRINCE COURTE

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros