Dulu, Jeffri Jefisz tinggal di apartment dan belum kenal geng kebun. Hujung tahun lalu, dia join grup Kebun Bandar: Jom Tanam sendiri. Rumah barunya di Gombak pun sudah ada laman. Semangat dari geng kebun membakar semangatnya.
Dalam tempoh tak sampai setahun terhasillah ‘Pallet Garden’ dari koleksi kayu pallet, botol mineral dan bahan-bahan menjimatkan. Cantik sungguh taman edible yang dibina di laman kediamannya ini.
Ada 50 jenis tanaman dalam kebun tepi rumah Semi D setingkat ini. Antaranya herba Inggeris; rosemary, thyme, dill, sage, oregano, parsley dan herba Melayu; kunyit, pandan, limau purut, serai, kesum malah sayuran; pak choy, cili padi, sawi bunga, tomato.
Bina Pallet Garden Cara Brader Gombak
1. Sediakan net (jaring) supaya kayu lebih tahan lama dan tak mudah mereput.
2. Sebelum pilih kayu pallet, pastikan kayu itu tak dijangkiti anak-anai.
3. Pastikan susunan pokok-pokok bersesuaian dan menerima pencahayaan matahari yang mencukupi.
4. Sediakan pasu kayu pallet jenis yang mudah alih. Nanti mudah untuk anda ubah-ubah mengikut tumbesaran tanaman dari masa ke semasa.
Pokok Akan Subur Kalau…
- Sentiasa pastikan air dan cahaya matahari mencukupi.
- Gunakan baja yang sesuai secara berkala.
- Jaga tanaman jangan sampai dijangkiti penyakit dan diserang serangga perosak.
Ada Juga Tanaman Tak Jadi
“Ya, memang ada tanaman yang tak menjadi. Terutama sayuran yang jenis sensitif. Ada yang perlukan cuaca yang sejuk seperti salad. Herba-herba Inggeris juga agar rumit dan perlukan penjagaan yang rapi. Tapi saya tak pernah putus asa. Jika gagal sekali, saya cuba pula menanam guna kaedah lain.
“Sebelah pagi sebelum pergi kerja, saya akan siram pokok. Petangnya, saya siram semula lepas pulang daripada kerja.Kalau tak menang tangan minta bantuan isteri. Anak pun sama membantu. Kena ajar berkebun dari kecil. Secara tak langsung, suntik minat anak menanam.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ingatkan Kencing Tikus, Rupanya Sindrom Guillain-Barre. Remaja Ini Hanya Sedar Setelah Lima Hari Koma
Nik Nuralya Afrina binti Fakharuzin seorang gadis yang ceria dan aktif. Namun begitu segala-galanya berubah pada bulan April 2018 lalu.
Pada awalnya anak sulung Suzanawati Ali hanya mendapat demam. Selepas beberapa hari anak gadis yang berusia 14 tahun ini mengadu sakit dada dan sesak nafas.
“ Saya bawa Alya ke klinik swasta. Doktor kata paru-paru Alya ok dan demam pun tidak ada. Pada 28 April 2018, keadaan Alya makin serius. Kakinya lemah dan tidak mampu untuk berdiri. Saya bawa dia semula ke klinik swasta. Doktor kata Alya stress dan gastrik.
Malam itu saya lihat keadaan Alya makin serius. Alya tidak boleh berjalan dan kahak terkumpul sangat banyak. Itu yang menyebabkan dia sesak nafas. Keesokan pagi 29 April 2018, saya bawa Alya semula ke klinik swasta. Doktor masih kata paru-parunya ‘clear’.
Doktor kata kaki Alya lemah sebab sudah dua hari dia tidak lalu makan dan minum. Saya bawa dia balik ke rumah. Tetapi sampai sahaja di hadapan rumah, Alya jatuh pengsan. Saya terus bawa dia ke hospital. Sampai sahaja di Hospital Serdang, keadaan Alya sangat kritikal.
Bekalan oksigen Alya Cuma ada 31 peratus sahaja dan doktor-doktor di zon kritikal sedaya upaya selamatkan Alya walaupun kami dimaklumkan keadaan Alya sangat kritikal. Selepas 30 minit, Alya stabil selepas diberi bantuan pernafasan melalui mesin.
Pada awalnya doktor mengesyaki Alya dijangkiti virus kencing tikus dan itu menyebabkan Alya dikuarantinkan di bilik khas di ICU. Doktor juga telah melakukan CT Scan sebanyak tiga kali. Namun doktor tidak dapat mengesan sebarang kuman pada otak Alya.
Semasa doktor membuat mengambil air tulang belakang untuk melakukan ujian, keputusan yang diperoleh juga ok. Kemudian pada hari kedua, pakar saraf datang melihat kes Alya. Berdasarkan temuramah dengan saya dan ujian-ujian yang telah dilakukan, doktor mengesyaki Alya dijangkiti Sindrom Guillain-Barre,” ujar ibu berusia 39 tahun ini dia seakan tidak mempercayai apa yang keluar daripada mulut doktor itu.
Reda Ketentuan Tuhan
Betapa sedihnya hati seorang ibu apabila anak tersayang menghidap penyakit yang tidak pernah didengar apa lagi difahami itu.
“ Saya sudah bersedia lebih awal semasa doktor memberitahu keadaan Alya itu. Melalui simptom-simptom yang Alya kena itu, saya cari maklumat dan saya jumpa penyakit Sindrom Guillain-Barre ini.”
Jelasnya Sindrom Guillain-Barre merupakan satu keadaan di mana terdapat masalah keradangan saraf di luar otak dan saraf tunjang. 50 peratus kes penyakit ini berlaku sejurus selepas jangkitan kuman (virus atau bacteria) seperti penyakit sakit tekak atau penyakit cirit-birit.
Terdapat teori yang mencadangkan bahawa tindakbalas autoimunisasi di mana antibodi dan sel darah putih sistem pertahanan badan bertindak balas lalu menyerang selaput atau penebat saraf.
“ Saya dimaklumkan Sindrom Guillain-Barre akan mengakibatkan penyakit lumpuh dan keadaan Alya 100 peratus lumpuh akibat saraf rosak. Allahuakbar! Pada awalnya saya tidak boleh hendak terima. Malam itu selepas solat, saya muhasabah diri. Saya cuba fikir positif dan saya menangis sepuas-puasnya merayu dengan Allah.
Saya redha kalau Allah berkehendakkan begitu. Cuma saya minta Allah pinjamkan lagi Alya walau dalam keadaan Alya seperti bayi. Saya terima dengan redha. Alhamdulillah selepas 5 hari koma, Alya sedar tetapi seluruh anggota badannya lumpuh. Alya Cuma boleh memberi tindakbalas dengan menggerakkan jari-jari tangan. Allah pulangkan Alya tetapi macam bayi,” ujarnya dengan penuh syahdu.
Kos Pemulihan Tinggi
Rawatan dengan suntikan IVIG yang diberi pada Nik Nuralya selama 5 hari menyedarkan dirinya daripada koma. Rawatan itu dicadangkan oleh doktor kerana itu sahaja rawatan yang sesuai untuk Sindrom Guillain-Barre.
“ Peluang pesakit akan sembuh bergantung kepada keupayaan pesakit itu sendiri. Macam Alya ini boleh pulih sepenuhnya tetapi ambil masa. Paling cepat 6 bulan dan paling lama doktor sendiri tidak dapat menjangka.
Alya duduk di wad ICU selama 35 hari. Dia duduk di wad neuro selama 28 dan selama 22 di duduk di wad rehabilitasi.
Hari ke 29 di ICU baru Alya boleh buka sedikit kelopak mata kirinya. Sebelum itu Alya Cuma boleh mendengar. Dia tidak boleh melihat dan bercakap. Cara kami berkomunikasi adalah dengan Alya menulis abjad di belakang tapak tangan saya dan saya catat apa yang ditulisnya itu.
Hari ke 30, Alya mula bagi respon yang baik. Pada minggu ketiga, Alya telah menjalani pembedahan tracheostomy. Sepanjang 65 hari Alya menggunakan bantuan mesin bantuan pernafasan untuk bernafas.”
Cerita Suzanawati lagi, anaknya memang sangat positif dan tidak pernah mengeluh apabila mengetahui dirinya menghidap penyakit tersebut.
“ Masa Alya sudah mula sedar, dia sudah boleh bersembang tapi komunikasi kami tulis di buku catatan. Bila saya Tanya apa perasaannya, Alya kata dia ok sahaja. Tetapi tiap hari saya sering ingatkan Alya. Apa yang kita ada semua Allah bagi pinjam. Nyawa, anggota badan, kesihatan, itu semua pinjaman. Kalau Allah hendak balik semua itu, kita kena redha.
Semangat Alya penguat semangat saya. Kami selalu sembang benda-benda yang positif. Selain itu sokongan keluarga dan sahabat handai juga menjadi penguat semangat kami.”
Kini selepas 5 bulan (ketika temubual ini dilakukan) Alya sudah mampu berjalan menggunakan walking frame. Gadis tabah ini turut menjalani rawatan fisioterapi dan rehabilitasi di hospital selama sebulan sekali. Tetapi demi anaknya, Suzanawati telah mendapatkan rawatan fisioterapi ‘private’ selama sebulan.
“ Alhamdulillah doktor maklumkan Alya sudah hampir 70 peratus pulih. Doktor juga selalu mengingatkan saya memang pesakit Sindrom Guillain-Barre ambil masa sangat lama dan kos pemulihan penyakit ini sangat tinggi.
Tambahan pula dos IVIG sangat mahal. 1 dos mencecah ratusan ringgit di hospital kerajaan. Tetapi di hospital swasta mencecah sehingga ribuan ringgit. Selama 5 hari rawatan memerlukan berpuluh-puluh dos. Rawatan susulan memerlukan fisioterapi setiap hari.”
Tambahnya lagi, peluang anaknya itu sembuh mendapat feedback positif daripada doktor.
“ Doktor bangga dengan pencapaian Alya. Doktor tidak sangka Alya boleh berjalan dengan tongkat dalam masa tidak sampai 6 bulan. Doktor juga mengatakan InsyaAllah Alya boleh berjalan tanpa tongkat sekiranya saraf kaki kanan Alya boleh pulih sepenuhnya.”
Sehingga kisah ini ditulis, Nik Nuralya masih diberi cuti sakit. Gadis tabah ini tidak dapat menghadiri sesi persekolahan sejak 29 April 2018. Doktor membenarkan dia mula bersekolah pada tahun 2019. Tetapi semua itu bergantung pada kesihatan dirinya juga.
Foto: Koleksi peribadi Suzanawati Ali
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tiga Sekeluarga Nyaris Maut, Makan Gulai Keladi Beracun
Sayur kampung seperti gulai kedai memang sedap dimakan, tapi awas jika tersalah pilih keladi boleh mengundang maut.Muntah, tekak terasa panas, mata kemerahan dan berair adalah antara simptom dialami tiga sekeluarga selepas makan gulai keladi yang dipercayai beracun, sehingga menyebabkan mereka dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah baru-baru ini.
Siti Aida Mohamad, 40, dan anak sulungnya Nor Shamira Jamal, 20, serta anak saudara, Zulfakar Norizam, 18, nyaris maut sekiranya gagal mendapatkan rawatan segera.
Hidangan Tengah Hari
Menceritakan kejadian berlaku jam 11 pagi pada Ahad lalu, Siti Aida berkata, dia mengambil pokok keladi itu di belakang rumahnya di Kampung Lonek, Kepis Hilir di sini, sebelum dibersihkan dan dimasak gulai.Setelah siap dimasak, beliau bersama anak dan anak saudaranya menjamah gulai keladi untuk hidangan tengah hari.
“Sebaik siap, saya menghidangkannya dan kami makan tengah hari bersama. Secara tiba-tiba Nor Shamira berlari ke bilik air dan muntah sebelum memberitahu tekaknya terasa panas.
“Tidak lama kemudian, saya dan anak saudara pula muntah dan mengalami simptom sama. Lebih memeritkan mata kami pedih dan bertukar kemerahan selain air liur meleleh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Siti Aida berkata, suaminya yang pulang tidak lama selepas kejadian, segera menghantar mereka ke HTAN untuk rawatan lanjut sebelum dia dan anaknya dibenarkan pulang semalam, manakala anak saudaranya masih menerima rawatan di hospital.
Boleh Bawa Maut
Menurutnya, doktor memaklumkan simptom dialami mereka berkemungkinan disebabkan termakan keladi liar beracun yang boleh membawa maut sekiranya terlambat menerima rawatan.
“Menurut doktor, jika kami lewat beberapa minit, ia boleh membawa maut kerana kami mengalami alergi yang sangat teruk.
“Doktor juga tidak menolak kemungkinan dipercayai berpunca dari gulai keladi kerana kami mengalami simptom itu secara serentak.
“Saya memang bersyukur kerana telah kembali pulih. Saya serta anak dibenarkan pulang semalam (kelmarin) tetapi anak saudara masih lagi dirawat,” katanya.
Pada kebiasaannya, suami Siti Aida, Jamal Ahmad, 50, berkata, keluarganya sering mengambil keladi itu di tepi rumahnya untuk buat lauk. Berikutan kejadian itu, dia memusnahkan semua pokok keladi di belakang rumahnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Saya menanam keladi di belakang rumah sejak enam tahun lalu, namun tidak pernah berlaku kejadian seperti itu. Saya percaya ada keladi liar tumbuh berhampiran dan isteri saya tidak sengaja mengambilnya untuk dimasak,” katanya.
“Mungkin disebabkan rupa keladi ini seakan sama, menyebabkan isteri tak dapat membezakannya lalu dijadikan lauk,” katanya.
“Kami pun tak tahu ada keladi liar yang tumbuh berhampiran keladi biasa. Bila dilihat bezanya, batang keladi liar terdapat corak bintik-bintik berwarna coklat. Terdapat lebih empat rumpun keladi liar tumbuh di sini.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali, berkata pihaknya perlu menjalankan pemeriksaan dan rawatan terperinci sebelum dapat mengesahkan simptom dialami mangsa disebabkan oleh keladi.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan ada pokok keladi yang tidak boleh dimakan kerana mempunyai kandungan toksin tinggi yang boleh membahayakan nyawa terutama golongan warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak.
Sumber: Sinar Harian & Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Punca Kematian Adib Terjawab, Dihentak & Diheret Keluar Dari Van Bomba
Teka-teki punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim akhirnya terjawab apabila Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan impak perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diheret keluar dari van bomba pada masa kejadian.
Beliau berkata, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul seseorang di kawasan di mana antara 20 dan 30 orang berkumpul.
Kegagalan Kawal Rusuhan
Selain itu, Rofiah merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib. Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan.
Prosiding Inkues 41 Hari
Prosiding inkues terbabit berlangsung selama 41 hari bermula 11 Februari lalu dan menyaksikan 30 saksi memberi keterangan dengan 137 eksibit dikemukakan.
Ia dikendalikan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin manakala, keluarga Muhammad Adib diwakili peguam Syazlin Mansor, Yahaya Othman, Kamaruzaman A Wahab dan Ahmad Taufiq Baharum.
Tiga Peguam Kanan Persekutuan iaitu Suzana Atan, Mazlifah Ayob dan Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah dan Afiq Zainal Abidin mewakili Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM).
21 Hari Bertarung Nyawa
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
MW: Semoga segala persoalan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim ini terjawab. Pengesahan daripada mahkamah ini, semoga dapat membela nasib Adib dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI