Sejak beberapa hari lalu berlaku peningkatan jumlah kenderaan dilebuhraya dalam usaha pulang ke kampung walaupun kerajaan tidak membenarkan perkara ini berlaku.
Rata-rata mereka seolah-olah tidak memikirkan soal kesihatan dan keselamatan masing-masing apabila tekad ambil keputusan untuk balik beraya di kampung halaman bersama keluarga di desa.
Buat masa sekarang, memang rata-rata beremosi kerana tak dapat balik beraya. Tetapi mak, ayah perlu ingat bahawa hampir 3000 kenderaan diarah berpatah balik.
Mahukah mak, ayah bazirkan masa, wang dan tenaga hanya kerana mengikut perasaan. Sementara itu, Menteri Besar Kelantan bimbang perantau pulang menggunakan jalan tikus untuk pulang ke kampung halaman.
Jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik kerana cuba melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung tanpa alasan munasabah semalam, meningkat sekali ganda berbanding kelmarin.
Lebih 3,000 kenderaan dikesan cuba menghala ke kampung halaman semalam, berbanding 1,633 kenderaan kelmarin, sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan sebanyak 3,212 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung untuk berhari raya, diarah berpatah balik oleh polis, semalam.
“Kelmarin ada lebih 1,000 kenderaan cuba rentas negeri dan jumlah itu sudah kita anggap tinggi, namun semalam meningkat lagi sehingga lebih 3,000.
“Ini bermakna jumlah mereka yang berminat balik ke kampung masih ramai dengan cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya.
“Namun, polis akan bertindak tegas dan tidak akan benarkan sesiapa merentasi negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri, kecuali atas kes kecemasan seperti kematian dan kebenaran perlu diperoleh dari balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan PKPB di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengeluarkan kompaun kepada 51 individu setakat semalam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
“Semalam, PDRM juga menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP, dengan 40 individu direman dan empat individu dijamin,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, memaklumkan PDRM melaksanakan 216 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri, semalam, dan memeriksa 318,082 kenderaan.
Selain itu, sebanyak 77,537 pemeriksaan dibuat semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan PKPB di seluruh negara, membabitkan 4,883 pasar raya, 4,572 restoran, 697 penjaja, 1,260 kilang serta 3,878 bank.
“Pemeriksaan juga dibuat di 1,108 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air dan 107 terminal pengangkutan udara, dan memeriksa 32,670 kenderaan persendirian, 2,369 kenderaan awam dan 461 kapal.
“Turut diperiksa adalah 2,814 pasar awam, 3,894 tempat ibadah, 1,546 tempat riadah dan 462 tapak binaan,” katanya.
Manakala menurut laporan Sinar Harian, Kerajaan Kelantan melahirkan kebimbangan dengan perantau yang ‘curi-curi’ balik ke negeri ini menggunakan laluan tikus semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbuatan tersebut sebenarnya berisiko kerana ahli keluarga mahupun sanak-saudara akan terdedah dengan bahaya jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima terdapat mereka yang merentas negeri dengan cara tidak betul semata-mata mahu balik menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung.
“Mereka menggunakan jalan-jalan tertentu. Cara mana kita pun tidak tahu. Sedar-sedar mereka sudah ada di Kelantan.
“Saya nak nasihatkan, sebab ini berkaitan dengan kepentingan awam. Wabak Covid-19 masih tidak ada vaksin lagi,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan Bilangan 12 di Kompleks Kota Darulnaim yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Ahmad mengharapkan supaya kumpulan yang masih berada di luar Kelantan kekal tinggal di sana dan tidak sesekali merentas negeri tanpa kebenaran kerana ia adalah langkah terbaik untuk putuskan rantaian penyebaran Covid-19.
Baca ini:
Ibu Hamil Ditahan Di Singapura, Selamat Pulang Ke Tanah Air
Lebih Sebulan Kelantan Tiada Kes Baru, Wanita Hamil Rentas Negeri Positif Covid-19
Katanya juga, dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri rakyat diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya penjarakan sosial.
“Sebagaimana dilaporkan, sebahagian besar rakyat kita masih tidak mematuhi arahan tersebut. Kita sendiri dapat melihat virus ini masih belum reda lagi, bukan sahaja dalam negara, tetapi di peringkat dunia. Jadi semua kena patuh dengan arahan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebenaran jumlah jemaah menunaikan solat Aidilfitri dan solat berjemaah di negeri ini, beliau berkata pihaknya masih belum membuat keputusan terbaharu lagi.
“Ketepatan masih sama dengan yang sebelum ini. Kita masih menunggu keputusan dan ketetapan baharu dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya.
Sumber: Berita Harian/ Sinar Harian
MW: Mak, ayah harus bersabar kerana keadaan Covid-19 belum pulih sepenuhnya. Jangan terlalu ikutkan emosi hingga membahayakan nyawa sendiri dan juga keluarga. Walaupun kita semua beraya dalam normal baharu tetapi patuhilah sop yang telah ditetapkan.