Biasanya anak tantrum ketika berusia 1 tahun setengah hingga 2 tahun setengah yang mana mereka akan mula memberontak, buang barang, merajuk dan protes.
Kanak-kanak selalunya mula meragam, mengamuk dan buat tantrum apabila mereka tak dapat apa yang mereka nak.
Jadi, bila anak-anak sudah mula “buat perangai” dan menangis, anda boleh cuba tip yang dikongsikan oleh Puan Nurul Ilyani ini…
Sabtu lepas ada peserta playdate yang autistik, tantrum. Menangis berguling-guling. Mahu bola yang jatuh ke rumah jiran sebelah. Sudah dibilang, jiran tiada tidak boleh ambil. Tapi mahu juga.
Lalu, aku teringat sungguh Dhuha Tihani di zaman kuat tantrum dan meltdown-nya. Ada pelbagai cara aku guna. Macam yang selalu aku tegaskan, bertegas dengan prinsip, fleksibel dengan teknik.
1) Tantrum daripada perspektif psikologi
2) Tantrum daripada perspektif occupational therapist (ini untuk kes anak yang ada masalah sensori)
3) Menggunakan behavior modification – negatif pada tempatnya. Menggunakan ayat tawaran dan memberi pilihan
4) Menggunakan bilik bertenang dengan betul. Ini aku pernah tulis, bagaimana aku mengajar Dhuha masuk bilik bertenang dengan sendiri tanpa di suruh-suruh, untuk merawat kemarahannya.
5) Menggunakan komunikasi teknik Nabi saw sebagai peneguhan positif. (Aku jarang menggunakan reward material)
Semua di atas juga perlu datang dengan pengalaman, untuk memahami punca tantrum dan apa yang perlu dilakukan. Ia juga bukan sehari dua boleh berjaya.
Untuk Dhuha 2 tahun aku habiskan penuh kesabaran, aku asuh hingga hari ini, aku boleh kira. Lebih-lebih apabila masalah sosial dan visual sensory sudah lebih baik. Memang boleh dikira tantrumnya.
Kalau punca tantrum mahu barang yang tidak mungkin dapat, yang ini tolong jangan layan. Keraskan hati. Kalau risau orang pandang serong, angkut bawa pulang. Kesannya, memang anak akan manipulasi jika diturutkan.
Apabila anak mahu sesuatu, dia tahu, kalau tantrum mesti dapat. Contoh, pergi pasaraya, nampak mainan, guling nak mainan walhal sudah janji tidak akan beli. Ini memang jangan layan. Ulang saja peraturan.
Social story atau peraturan itu memang aku perlu ulang beribu kali. Sama juga masa aku establish peraturan 10 minit saja tengok youtube.
Masa kali pertama, Dani mengamuk berguling bila aku ambil. Sampai entah kali ke berapa masih menangis. Tapi aku tak give up. Nak bentuk tingkahlaku anak memang hati kena keras. Tak boleh lembut macam tisu. Mudah anak manipulasi.
Sekarang? Peraturan 10 minit youtube, mereka sudah hadam. Kadang-kadang automatik berhenti dan pulang HP pada aku. Apabila kita tegas, anak tahu, peraturan yang dibuat memang bukan untuk dilanggar. Jadi mereka akan proses maklumat dan menerima peraturan dengan berlapang dada dan tidak mengamuk.
Kalau punca tantrum sebab ada masalah sensori visual macam tak suka stranger, macam Dhuha. Tidak biasa orang ramai, rasa bising, macam Dhuha, ini memang kena elak atau kena buat social story. Sampai dia boleh adapt. Alhamdulillah sekarang boleh adapt. Sikit-sikit hilang.
Kalau punca tantrum sebab kecewa dengan sikap kita contoh kita sudah janji mahu bawa main taman, kita tak bawa, ini kena minta maaf dan bawa. Tak boleh mungkir janji. Atau terangkan sampai dia faham yang kita ada kecemasan. Nanti kita akan tunaikan.
Di sini, anak belajar kemahiran menunggu dan toleransi. Ini kemahiran tinggi. Anak yang boleh kuasai ini memang ada impulse control yang baik. Biasanya ini juga berlaku pada kami. Memang mengamuk habis anak-anak. Tapi lama-lama Dhuha dan Dani faham terutamanya bila kami cuba terangkan.
Itu saja buat masa ini. Saya doakan kawan-kawan tabah dan istiqamah didik anak. InshaAllah.