3 Minggu Bertarung Nyawa, Muhammad Adib Akhirnya Pergi Jua, Al Fatihah..

Share

Daripada Allah kita datang, kepada Dia jualah kita kembali. Selepas 3 minggu bertarung nyawa menerima rawatan di Institut Jantung Negara, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 9.41 malam tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesahkan Muhammad Adib sudah meninggal dunia.

Jenazah Muhammad Adib akan dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Hang Tuah pada pagi esok untuk penghormatan terakhir.

Selepas itu, jenazah akan dibawa menaiki helikopter untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Kedah. Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor.

Kesihatan Muhammad Adib Makin Merosot Sejak Semalam

Rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya membawa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ini ke lokasi kejadian

.

Pasukannya mahu memadamkan kebakaran kereta di luar lokasi rusuhan. Malangnya, dipercayai Adib menjadi mangsa serangan perusuh di kuil tersebut.

Sejak 27 November lalu, Adib dimasukkan di unit jagaan rapi Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby Subang Jaya, sebelum dipindahkan rawatannya ke IJN, Kuala Lumpur.

Kesihatan allahyarham dilaporkan semakin merosot sejak semalam dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak semalam, dan malam ini tidak lagi dapat bertahan.

Allahyarham Muhammad Adib sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada hujung bulan ini.

MW : Tenanglah wahai Adib bertemu penciptaMu. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Sumber/Foto : astroawani, mstar

Published by
Netty Ah Hiyer