Selalunya kalau makanan tak habis, ramai yang buang ke tong sampah. Ada juga yang simpan lebihan makanan dalam peti ais, konon nak panaskan. Sudahnya keras kejung dalam peti ais ada yang dibiar sampai seminggu. Silap-silap sebulan pun penah sebab lupa.
Sebenarnya memasak pun mesti merancang dengan bijak. Ramai antara kita yang gagal membuat anggaran kuantiti makanan yang dimasak, akhirnya makanan yang tidak habis dibuang ke dalam tong sampah. Kita sudah melakukan dua kali kesilapan, gagal merancang dan melakukan pembaziran.
Mulai hari ini, belajar membuat anggaran dengan tepat. Jika masih ada makanan yang tidak habis, tolong jangan buang. Kita guna semula makanan ini dengan cara yang kreatif. Bukan sahaja menjimatkan malah memberi idea kepada kita untuk menambah menu keluarga dengan cara yang tidak disangka. Jom semak beberapa tip berikut, praktikkan dalam kehidupan kita.
Ketika menghidang makanan untuk dijamu seisi keluarga, jangan letakkan semuanya sekali. Letakkan kuantiti mengikut keperluan ahli keluarga. Asingkan makanan, jika tidak cukup baru kita tambah. Pengasingan makanan ini sangat penting, ia dapat membantu mengekalkan kesegaran makanan dan mengelakkan ia daripada cepat basi.
Bayangkan jika kita sudah ‘lanyak’ makanan tersebut, tiba-tiba ianya tidak habis. Adakah kita akan menyimpannya? Kebanyakan orang akan buang kerana geli. Jadi amat penting kita belajar menghidang makanan sedikit demi sedikit. Kita bukan kedekut tetapi kita mengambil sikap bijak.
Lebihan makanan hendaklah disimpan dengan cara yang betul. Untuk lauk pauk, sila masukkan di dalam peti ais. Ia dapat mengelakkan makanan basi dan mengekalkan kesegarannya. Makanan seperti nasi yang berlebihan, perlu dipanaskan di dalam periuk elektrik. Ia dapat memelihara kualiti nasi. Asingkan makanan yang tidak habis, letakkan di dalam bekas berbeza. Ingat! Gunakan bekas bertutup jangan biarkan makanan terdedah walaupun diletakkan di dalam peti ais.
Kitar semula makanan yang tidak habis, caranya mesti betul. Misalnya untuk nasi yang tidak habis, kita boleh membuat nasi goreng. Tambahkan isi ikan atau lauk lain seperti sotong agar menu ini menjadi lebih menyelerakan.
Ikan goreng atau ikan sambal yang tidak habis, boleh digunakan untuk membuat nasi goreng. Asingkan tulang, ambil isinya. Tumbuk isi ikan bersama bawang merah dan bawang putih. Kemudian tumis dengan minyak panas sehingga naik bau, masukkan nasi. Cara ini sangat mudah dan praktikal. Emak dan nenek kita di kampung sering melakukannya.