3 anak meninggal serentak, “sakitnya rasa rindu ini, rasa nak pergi korek kubur mereka – ibu. Dalam tragedi 24 Jun tahun lalu, tiga beradik Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, Nik Nur Faqihah, 11 dan Nik Ikram Nuqman, 5 disahkan meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir dekat Kampung Langgar di sini.
Pemandu van Serena dan enam penumpang terselamat namun tiga beradik ini meninggal serentak di kawasan kemalangan.
Sakitnya menahan rindu, tambah tiga anak meninggal serentak mendatangkan kesan mendalam pada jiwa Nur Baizura Mustafa yang berkongsi kisah sedih ini bersama Mingguan Wanita dalam podcast Sembang Wanita Xtra baru ini.
Menurut ibu kepada lima anak ini, pemergian tiga anak serentak bukan mudah namun dirinya perlu redha dengan takdir yang tertulis.
“Kalau kata sakitnya rindu ini, rasa seperti mereka ada. Kadang dengar bunyi motosikal ingat anak balik. Bila rindu, saya akan pergi ke kubur anak. Berbaring atas kubur dan pernah rasa pernah nak korek kubur mereka. Cukuplah kalau sekali dapat tengok mereka,” katanya berkongsi kisah menyayat hati ini.
Jelas Nor Baizura, ada banyak kenangan dicipta bersama anak-anak tambah mereka adalah anak-anak yang menjadi penyejuk jiwanya, banyak membantunya kerja malah dengan duit kerja tambahan itulah digunakan untuk kegunaan keluarga.
“Anak kembar saya yang meninggal (kembar tak seiras), Nik Ikram Idwan, 15 menyapu sampah bersama untuk cari duit tambahan. Kalau saya buatkan kuih, dia akan jualkan sampai habis tanpa merungut. Malah setiap keletahnya sangat saya ingat kerana arwah banyak bantu saya kerana kami orang susah.
“Malah pada hari anak-anak saya meninggal, kami hanya ada ada RM20 di tangan di mana gaji lambat lagi. Biasanya saya agak berkira-kira nak beri anak belanja tapi hari tu, rasa lapang nak beri duit.Kalau nak habiskan, habiskanlah.Belilah apa nak. Tapi mereka nak aiskrim. Balik dari beli aiskrim itulah motor mereka bertembung dengan MPV dan mereka meninggal di tempat kejadian,” katanya berkongsi kisah sedih ini.
Jelas Nur Baizura, pada hari kejadian berlaku, gerak gerinya sebagai ibu sudah merasa sesuatu yang berbeza.
“Rasa hati berdebar-debar sampai saya sempat kata dalam hati, Ya Allah selamatkan anak-anak aku. Tapi ketika itulah malaikat mencabut nyawa mereka,” katanya sambil mengesat air mata yang tertumpah.
Baizura turut berkongsi pernah “bertemu” dua anaknya di satu alam sangat indah.
“Buah di taman itu besar-besar, keluar jus-jusnya. Sangat cantik tempat tu. Kehijauan, anak saya pun dah besar, tak sama macam mereka kecil,” katanya berkongsi pengalaman lalu.
Ikuti kisah penuh Nur Baizura di saluran YuuTUbe Mingguan Wanita dan FB MW jam 8 malam ini.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Suami Isteri Meninggal Dunia Kemalangan Motosikal, Bayi 8 Bulan Bergelar Yatim Piatu
Isteri Meninggal Dalam Labour Room, Suami Maafkan Jururawat Beri Alasan Mahu Tidur Dulu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE