27 Tahun Terpisah Sejak Kecil, LEMBUT HATI Cari Emak Semula Selepas Dipujuk Isteri

Share

27 Tahun Terpisah Sejak Kecil, Lembut Hati Cari Emak Semula Selepas Dipujuk Isteri. Isteri sememangnya memainkan peranan penting dalam melembutkan hati suami dalam apa juga perkara. Lebih-lebih lagi konflik di dalam hubungan kekeluargaan yang melibatkan mak ayah dan anak.

Memang bukan mudah untuk menerima ‘kesilapan’ dan ‘kesalahan’ mak ayah. Apatah lagi ditinggalkan sejak kecil tanpa sebarang penjelasan yang kukuh. Rindu pada belaian kasih ibu, beserta ego dan marah menjadi satu.

27 Tahun Terpisah

Selepas 27 tahun terpisah, Saufi Marwan Muhammad Hariri bertemu semula dengan ibu kandungnya, Jeh-An Adsanee dalam satu pertemuan di Satun, Thailand, baru-baru ini.

Penyatuan semula dua beranak itu mendapat perhatian netizen selepas Saufi Marwan, 32, memuat naik video pertemuan dengan ibunya di TikTok.

Menerusi video itu, jelas kerinduan pada wajah Saufi Marwan dan Jeh-An Adsanee, 55, terhadap satu sama lain malah mereka terus berpelukan dan menangis sebaik bertentang mata.

Saufi Marwan tidak datang berseorangan tetapi ditemani isteri, Najla Zakaria, 32, dan dua anak mereka.

3 Dekad Terpisah

Berkongsi kisah sebenar, Saufi Marwan berkata, dia dan ibunya bertemu semula pada Ramadan tahun lalu.

Guru Sains Sukan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra, Kedah itu berkata, ia adalah pertemuan pertama mereka selepas hampir tiga dekad terpisah tanpa khabar berita.

“Saya dan emak terpisah ketika berumur empat tahun dan difahamkan, puncanya adalah kerana ada konflik ketika itu.

“Oleh kerana ayah ada masalah kesihatan mental dan tidak bekerja, saya dibesarkan datuk dan nenek.

“Jadi, saya dapat kasih sayang daripada mereka yang membesarkan saya sehingga masuk ke universiti,” katanya.

Lembut Hati Terima Pujukan Isteri Cari Emak

Menurutnya, individu terdekat dan rakan sejak di bangku sekolah hingga ke universiti sebelum ini kerap menasihatkannya untuk mencari ibu kandung.

Bagaimanapun Saufi Marwan enggan kerana beranggapan ibunya bersalah kerana meninggalkannya ketika kecil.

“Saya tak nak cari sebab ego, marah dan ada dendam dengan emak kerana dahulu, saya tak tahu cerita sebenar.

“Pernah juga nak cari ibu sebelum kahwin dahulu tetapi niat itu terbantut namun terbuka hati selepas dipujuk isteri pada awal Ramadan tahun lalu.

“Lagipun isteri nak sangat jumpa ibu mentuanya dan hidup saya pula berasa kosong selepas kematian ayah dua tahun lalu.

“Oleh kerana itu, saya jadi lembut hati dan nekad untuk cari emak,” katanya.

Saufi Marwan berkata, dia ada bertanya dengan adik beradik lain mengenai ibunya namun tidak dapat maklumat diperlukan.

Jejak Di Facebook

Menyedari tiada cara lain, Saufi Marwan memuat naik hantaran di Facebook (Fb) sebagai usaha untuk menjejak ibunya.

“Saya tak tahu banyak mengenai emak. Apa yang saya tahu emak tinggal di Satun. Jadi saya kongsi maklumat yang ada di Fb.

“Tiga hari kemudian, saya dihubungi seorang wanita menerusi kiriman mesej di Fb menyatakan dia kenal dan sedia bantu dapatkan nombor telefon daripada keluarga emak di Satun.

“Hasil pertolongan wanita itu, saya dapat berhubung semula dengan emak menerusi panggilan video dan dia sudah ceritakan kisah sebenar sebelum kami bersua muka.

“Pada waktu itu, baru saya tahu kisah sebenar malah emak pernah beberapa kali datang ke Malaysia untuk cari saya namun tiada rezeki kami berjumpa sebelum ini disebabkan ada halangan,” katanya.

Syukur Bertemu Kembali Emak

Berhubung kisahnya yang tular, Saufi Marwan berkata, niatnya memuat naik video di TiKTok sekadar untuk berkongsi kegembiraannya dan simpanan peribadi di platform berkenaan.

“Tak sangka pula boleh tular namun kebanyakan komen positif tetapi ada juga yang kecam dengan mempersoalkan mengapa baru cari emak selepas sekian lama terpisah.

“Betul juga apa yang dikatakan itu, cuma dahulu saya terlalu ikutkan perasaan dendam dan amarah serta terlalu ego walaupun sedih sebenarnya apabila tengok orang lain ada ibu.

“Apa pun itu kisah lama dan kini, saya bersyukur kerana emak sudah kembali. Buat masa ini, emak masih tinggal di Satun dan saya akan pulang ke sana sekali sebulan.

“Memang ada perancangan untuk bawa emak tinggal bersama di sini dan mudah-mudahan ia jadi kenyataan nanti,” katanya.

@marwanhariri13 Part 1 video ni kena block, ni saya up balik supaya cerita xtergantung🥹 #sekadarberkongsicerita #semuamilikAllah❤️ #28tahunxjumpa
#emaksyurgaku #fypシ #iniceritakami #🇲🇾🇹🇭 ♬ original sound – Marwan Hariri
@marwanhariri13 Part 3 Alhamdulillah Jumpa Syurga🥰🥰❤️ #ibusyurgaduniaakhirat #28tahunxjumpa #sekadarberkongsicerita #fypシ #iniceritakami #part3#kasihibuhinggakesyurga❤️❤️ #kasihayahtiadaganti #alhamdulillah❤️for❤️everything🙏♥️😍 #malaysiathailand🇲🇾🇹🇭 ♬ original sound – Marwan Hariri

Mesti Baca: Penat Menangis Di Konti, Sharifah Shahirah @Rara Tertipu Dengan Cerita Palsu ”Dr Zaireen Zareena”
Baca Lagi Di Sini:“Allah, Mak.. Mak” Wanita Rebah Saat Tunai BADAL UMRAH ARWAH IBU, Sarat Rindu Tak Terbendung
Artikel Menarik:“Anak Mana Tak Sayangkan Emaknya,” Meskipun Dihalau Dari Rumah, Diharamkan Susu Badan

Mingguan Wanita: Alhamdulillah dapat bertemu lagi dengan mak. Walau apa pun konflik yang berlaku, tetaplah memaafkan mak kerana dia merupakan insan yang melahirkan kita di dunia dan pastinya setiap mak inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Sumber: Hmetro

Published by
Suhaidah Abd Wahab