Polio merupakan satu penyakit bawaan virus yang sangat mudah berjangkit melalui sentuhan, perkongsian makanan ataupun bekalan air yang tercemar.Penyakit ini boleh menyebabkan lemah otot, lumpuh dan adakalanya boleh membawa maut. Setakat ini, saintis belum menemui ubat untuk polio namun ia hanya boleh dihindari melalui vaksin khusus. Secara umumnya, wabak ini telah berjaya dibasmi di setiap negara seluruh dunia.

Kes Pertama Bayi 3 Bulan

Namun terkini, cukup membimbangkan apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah, dijangkiti virus polio yang menjadi kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa didapati mengalami demam diikuti lemah anggota badan, dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), Jumaat lalu.

Beliau berkata, bayi itu kini dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil, namun masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil ujian pengesahan dijalankan Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia, mendapati virus terbabit ada perkaitan genetik dengan virus polio dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina. VDPV1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV1).

“Penyakit ini berasal daripada virus polio yang dilemahkan dalam vaksin diberi secara oral (OPV) sebelum virus dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis.

“Dalam persekitaran tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Mutasi Genetik

Dr Noor Hisham berkata, semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti terbabit, ia mengalami mutasi genetik sehingga menjadi virus yang kembali aktif.

IKLAN

“Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun, mereka yang divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit itu,” katanya.

27 Tahun Malaysia BEBAS Polio, Terkini Bayi 3 Bulan Dijangkiti Virus Ini!
Vaksin Poliomyelitis

Tidak Menerima Vaksin Polio

Beliau berkata, setakat Khamis lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal mangsa, mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) berusia antara dua bulan hingga 15 tahun, tidak menerima vaksin polio.

Katanya, ia satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVDPV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

“Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa semua kanak-kanak terbabit bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio.

“Aktiviti pencarian kes AFP, proksi kepada poliomyelitis di kawasan tempat tinggal kanak-kanak itu juga dijalankan.

IKLAN

“Hingga Khamis lalu, seramai 646 orang diperiksa dan tiada orang bergejala AFP dikesan. Siasatan masih diteruskan di kawasan terbabit, termasuk pengambilan sampel najis daripada kontak rapat kanak-kanak itu serta sampel persekitaran bagi pengesanan virus polio,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluaskan ke kawasan lain yang berisiko.

“Ia bagi memastikan virus polio yang dikesan ini tidak terus menular di Malaysia dan menyebabkan poliomyelitis dalam kalangan mereka yang tiada imuniti terhadap jangkitan polio,

“Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio yang tinggi, iaitu melebihi 95 peratus,” katanya.

IKLAN
27 Tahun Malaysia BEBAS Polio, Terkini Bayi 3 Bulan Dijangkiti Virus Ini!
Kesan kanak-kanak yang dijangkiti Virus Polio Sumber foto: CDC

Info Ekstra!

Kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992. Pada Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region), telah diisyhtiharkan bebas daripada penyakit polio. Kejayaan pembasmian penyakit ini adalah berikutan pencegahan melalui vaksin polio yang diperkenalkan di dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 1972 dan diteruskan sehingga ke hari ini.

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Ia disebabkan oleh virus polio yang merebak lazimnya melalui oral-fekal dan boleh juga melalui makanan dan air yang tercemar. Penyakit ini hanya boleh dicegah melalui pemberian imunisasi.

Di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, empat (4) dos vaksin polio diberikan dengan menggunakan vaksin kombinasi Difteria, Pertussis, Tetanus dan Haemophilus influenza B. Ia diberikan kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

27 Tahun Malaysia BEBAS Polio, Terkini Bayi 3 Bulan Dijangkiti Virus Ini!

Orang ramai khususnya mak ayah dinasihatkan untuk memastikan anak-anak telah mendapat imunisasi polio yang lengkap. Kanak-kanak yang cicir imunisasi boleh dibawa ke mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan imunisasi. Di samping itu, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran yang berterusan.

MW: Semoga mak ayah mengambil iktibar kejadian ini. Cukup membimbangkan kerana kesan jangkitan virus polio ini boleh menyebabkan lemah otot, lumpuh dan adakalanya boleh membawa maut. Jangan memperjudikan kesihatan anak-anak, patuhi pengambilan vaksin secara berjadual seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Sumber: Bharian, kpkesihatan

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI