“25 tahun kahwin, tidak dikurniakan anak.” Isteri ini tak menyesal, berhenti kerja jaga suami kanser. Suaminya disahkan mengidap kanser usus.
Sebagai seorang isteri, wanita ini sanggup berhenti bekerja semata-mata untuk menjaga suaminya yang menghidap kanser usus sejak dua tahun lalu.
Tak Menyesal
Menurut Azizah Ismail, 57, suaminya, Mohamad Salim Lim Abdullah, 77, yang juga seorang mualaf dikesan menghidap kanser itu selepas mengalami kesukaran untuk membuang air besar.
Katanya, disebabkan itu dia tekad untuk menjaga suaminya apabila doktor mengesahkan kanser itu sudah merebak ke tahap tiga selain menghidap asma.
“Perkahwinan kami sejak 25 tahun lalu tidak dikurniakan anak, namun saya tidak menyesal kerana selagi ada kudrat, saya akan menjaga suami.
“Sebelum sakit, suami menjalankan perniagaan sendiri namun terpaksa berhenti selepas disahkan menghidap kanser dan sejak itu kami tiada mata pencarian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mawar, Hutan Kampung, Alor Star, Kedah.
Ads
Tidak DiKurniakan Anak
Menurut Azizah, suaminya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan namun wang yang diterima digunakan sepenuhnya untuk membawa suaminya berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selain makan minum mereka.
“Saya perlukan bantuan kewangan kerana sekarang wang yang ada tak cukup untuk menampung kehidupan kami kerana saya tak bekerja apatah lagi menghidap kencing manis.
“Suami sudah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam kali tetapi disebabkan tidak tahan, dia tidak dapat meneruskan rawatan seterusnya,” katanya.
Katanya, suaminya boleh makan dengan baik dan minum susu formula khas dan najis atau air kencing akan terus disalurkan menerusi saluran pembuangan di perut menggunakan beg stoma.
“Beg stoma itu disumbangkan oleh pihak Majlis Kanser Nasional (MAKNA) hanya untuk tempoh enam bulan dan ini bulan terakhir kami menerimanya.
“Satu beg itu digunakan untuk sehari tetapi kadangkala tidak cukup menyebabkan saya beli sendiri dengan harga RM11 sekeping.
“Suami juga kerap penat kerana paru-parunya juga mempunyai masalah. Saya perlukan katil pesakit khas untuk membantunya bernafas dengan baik,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Azizah di talian 014-3036234.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal menziarahi pasangan itu hari ini dan pihaknya membantu menyalurkan sumbangan barangan serta wang tunai untuk kegunaan mereka.
Mingguan Wanita : Semoga suaminya dikurniakan kesembuhan dan isteri terus tabah berdepan dengan ujian berat ini. Insyallah.
Nekad sungguh, dek kerana tidak suka pink, suami ini nekad roboh dapur warna kegemaran isteri. Tindakan terburu-buru mengikut perasaan ini diambil kerana dirinya tidak suka merah jambu.
Video yang tular ini dikatakan berlaku di Jakarta, Indonesia. Marah sekalipun, apa salahnya suami ini cat sahaja dapur dengan warna lain. Ini tidak, habis musnah dapur.
Suami Nekad Roboh Dapur
Seorang isteri terpaksa berputih mata apabila dapur rumahnya yang dicat serba merah jambu dirobohkan suaminya sendiri yang tidak menyukai warna tersebut, lapor laman berita Suara.com.
Tidak Suka Pink
Menerusi video yang dimuat naik pemilik akaun TikTok @olinn21 itu, suami wanita berkenaan dilihat merobohkan dapur rumah mereka kerana tidak menyukai warna kegemaran isterinya itu.
“Dia tidak suka kerana saya sukakan warna merah jambu,” demikian kenyataan ditulis si isteri pada video tersebut.
Dapur Warna Kegemaran Isteri
Netizen yang menonton video tersebut kemudiannya meninggalkan pelbagai komen.
“Nampaknya suaminya rajin ke dapur dan tidak mahu melihat warna merah jambu supaya dia ada ‘mood’ untuk memasak,” komen seorang netizen.
“Suami saya pula tidak kisah dapur berwarna apa pun kerana saya merupakan ratu di rumah,” komen netizen lain.
Video tersebut sudah ditonton lebih 570,000 kali dengan lebih 21,000 tanda suka. – AGENSI
Mingguan Wanita : Nampak kecil saja isu ini, namun ada cerita lain di sebalik video yang tidak semua ketahui. Bayangkan dapur yang sedia cantik dirobohkan begitu saja oleh sang suami. Semoga dapur pasangan ini kembaIi berasap.
Jodoh setiap orang tak sama. Apabila Allah sudah menetapkan jodoh dengan wanita berusia, itulah ketentuanNya yang perlu anda terima. Semua itu adalah rahsia Allah. Cuma Dia yang tahu alasan, sebab dan musababnya, mengapa isteri lebih berusia jadi jodoh anda.
Jangan menolak ketentuanNya. Sekali anda sudah memiliki jagalah pasangan dengan sebaik-baiknya. Ada yang kata rezeki akan jadi lebih murah. Anda juga akan jadi lebih tenang dan sabar. Wanita berusia ini matangnya lain macam. Haa. sebab itu kena selalu positifkan diri.
Wahai suami, jika wanita berusia sudah menjadi jodoh anda nak pastikan agar hubungan jadi lebih mesra dan lebih bahagia cuba ikuti 7 tip yang dikongsikan ini.
1. Cari Sisi Matang Isteri
Sebagai suami, anda bertanggungjawab kepada kerukunan rumah tangga yang dibina. Fahami isteri anda dan jadikan diri lebih matang. Itu tidak bermaksud anda harus tinggalkan perangai ‘gila-gila’. Anda masih boleh menjadi diri anda, cuma perlu ‘mendewasakan’ sedikit pemikiran dalam beberapa perkara.
2. Kenal Rakan Isteri, Akan Kenal Juga Isteri Anda
Mungkin semasa bercinta anda tidak memahami sepenuhnya sifat isteri anda. Untuk membantu anda menilai dirinya disarankan mendekati rakan-rakannya.
Dari situ anda dapat melihat bagaimana perwatakan isteri anda. Selain itu, elakkan sikap cemburu buta apabila isteri anda meluangkan waktu bersama rakan-rakannya.
3. Tak Salah Pun Nak Bersaing Dengan Kematangan Isteri
Berkahwin dengan isteri lebih tua miliki tuahnya yang tersendiri. Mana tidaknya, isteri lebih ‘makan garam’ berbanding anda yang lebih berusia muda.
Namun jangan harap isteri anda tahu semuanya dan mengambil semua tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh anda. Jadi apa salahnya untuk menyaingi ilmu dan pengalaman yang ada pada isteri.
4. Masa Ini Dah Kena Bergaul Cara Orang Dewasa
Sebagai suami, anda mesti menghadapi masalah untuk memasuki zon atau era zaman isteri. Untuk membantu anda memahami isteri apa kata anda buat perubahan sedikit pada diri.
Bergaul dengan golongan yang jauh lebih berusia, secara tidak langsung anda akan mula terikut-ikut cara ‘orang dewasa’ bergaul. Jadi, lebih mudah anda mengenalinya.
5. Awas! Isteri Matang Sensitifnya Lain Macam
Ini apa yang harus anda harungi, perlu lebih sensitif apabila berkata-kata. Jangan mudah terikut-ikut darah muda, ada kalanya mudah melatah dan suka cakap lepas.
Mungkin bagi kawan-kawan sebaya ia tidak menjadi masalah kerana mereka faham trend ketika itu dan hanya dianggap gurauan. Tetapi harus diingat tidak semua orang boleh terima cara itu, lagi-lagi bagi orang yang berjiwa sensitif. Fahami jiwa isteri anda.
6. Bertolak Ansurlah..
Bertolak ansur dalam perhubungan membuatkan rumah tangga anda aman. Ia bukti yang boleh ditunjukkan betapa besarnya kasih sayang anda padanya. Jika anda berdua mengamalkan perkara ini, percayalah, hubungan anda akan sampai ke akhir hayat.
7. Bersabar.. Jangan Cuba Ubah Suami
Memang rumit ada sahaja yang tidak kena, lagi-lagi bila isteri anda cuba mengubah anda menjadi seseorang matang. Tidak salah jika anda banyakkan bersabar dan cuba ikuti caranya.
Tetapi, jika isteri anda cuba mengubah diri anda sepenuhnya, rasanya lebih elok anda berhenti. Mungkin untuk masa terdekat isteri anda suka dengan perubahan itu, namun lama-kelamaan ia akan bosan apabila anda tidak ada jati diri dan pegangan hidup.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekarang musim cuti sekolah. Ini bermakna setiap minggu pasti kita ada banyak undangan majlis perkahwinan yang perlu dihadiri. Sudah tentu kehadiran kita sebagai tetamu sangat menceriakan pengantin.
Namun ada sesuatu yang sudah berubah tetapi barangkali kita tidak sedar. Majlis ijab kabul sudah berlalu lebih seminggu tetapi gambar-gambar masa majlis itu masih terpapar di laman-laman media sosial peribadi. Tidak cukup begitu, rasa bahagia, rasa kasih dan rasa sayang isteri kepada suami dikongsi secara terbuka.
Perasaan Suami
Baguslah begitu tetapi izinkan saya bertanya satu soalan panas di sini. Adakah perasaan suami terhadap paparan kebahagian di laman sosial sama dengan isteri? Tahukah anda sebenarnya ramai lelaki yang baru dua tiga bulan bergelar suami mula rasa tidak selesa apabila isteri terlalu kerap menayang kebahagiaan di laman sosial?
Mereka tertanya-tanya jika nanti datang cabaran besar dalam rumah tangga, adakah isteri akan berkongsi masalah itu di laman sosial? Saya tidak tahu apa jawapannya tetapi kita sendiri lihat semakin ramai yang menjadikan laman sosial tempat melepaskan perasaan terhadap pasangan masing-masing.
Nak Tegur Boleh…
Anda mahu tahu lagi beberapa keadaan yang membuat suami rasa tidak selesa kepada isteri? Mohon anda yang baru bergelar isteri tidak marahkan saya jika saya beritahu; jangan jadi seperti nyamuk di telinga suami. Maksudnya elakkan daripada terlalu meleret-leret memberi ulasan hal-hal kecil pada suami. Betul hal itu besar bagi anda tetapi itulah lelaki.
Hal-hal tuala disidai tidak lurus, terlupa buang sampah, terlajak masa bila bertemu rakan di kedai mamak memang sangat menduga kesabaran isteri. Bukan anda tidak boleh menegur suami tentang ini semua tetapi ianya perlukan seni komunikasi yang sangat istimewa. Saya tidak boleh terangkan caranya di sini tetapi memberi ucapan meleret-leret tentang hal-hal kecil begitu boleh menyebabkan suami anda kemurungan nanti.
Buktikan Pandai Jaga Diri
Semua orang tahu suami itu tempat berlindung isteri. Namun di hujung yang satu lagi isteri juga perlu ada kemampuan untuk menjaga diri sendiri. Garis pemisah antara isteri yang terlalu bersifat berdikari dan isteri yang segala mengharapkan suami itu nipisnya umpama kulit bawang. Isteri yang terlalu berdikari boleh membuatkan suami rasa tidak dihargai. Isteri yang terlalu bergantung padanya pula boleh membuat suami rimas.
Cara paling selamat ialah dalam situasi yang sesuai tunjukkan anda boleh menjaga diri sendiri. Contoh kereta anda rosak pada ketika suami berada di luar kawasan. Buktikan anda tahu nombor telefon mekanik yang dia biasa dan bertindak sewajarnya. Isyarat yang akan dia faham ialah anda hanya bergantung kepada dia kerana dia adalah suami dan bukan kerana anda tidak boleh melakukannya sendiri.
Tak Suka Berteka-Teki
Satu lagi perkara yang selalu menjadi rungutan suami ialah menunjukkan sikap sukar untuk difahami. Anda mungkin sekadar bergurai tetapi cuba hayati dialog ini;
“Malam ni Ina tak payah masak. Kita makan kat luar. Ina nak makan di mana?” “Ikut abanglah. Ina tak kisah!” “Ok..kita pergi makan sate ya?” “Tak naklah. Ada kuah kacang. Nanti jerawat!” “Ok..kita cari kedai Tomyam. Nak?” “Laaa…minggu lepas dah Tomyam! Takkan minggu ni Tomyam lagi?” “Kalau macam tu kita pergi KepChi. Boleh?” “Taknaklah…kalau siang bolehlah. Ini makan malam pun nak KepChi?” “&%$&(#$…dahlah! Susah sangat…Cancel!”
Tak Sabar!
Wanita memang misteri. Anda mungkin saja menduga untuk mendapat perhatian tetapi suami anda itu lelaki. Dia tidak begitu sabar untuk menduga dalam kegelapan mencari apa yang anda mahukan. Oleh itu jangan terlalu menyusahkan fikiran suami meneka-neka begitu. Jika anda mahu apa-apa layanan istimewa, beritahu saja. Jangan sekadar berkias-kias atau memberi isyarat-isyarat kabur. Memang suami tidak akan faham. Ngerti?
** Artikel ini telah dikongsi oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, yang juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wah enaknya, Ayam Rendang Terangkat, Rasa Melekat. Beberapa hari saja umat Islam akan menyambut Syawal. Istimewa hari ini, Mak Empal Masak Apa Hari Ini?...