23 Tahun Dalam Dunia Seni, Haiza Tak Suka Kalau Orang Tengok Diri Macam Tak Siap

Share

Sejak Haiza Hanafi bergelar penyampai radio, peminat malah pengikutnya lebih banyak mendengarsuaranya di corong radio. Berbanding dengar suaranya di pentas persembahan.

Inilah rezeki Haiza tatkala ada artis seangkatannya yang sudah tak lagi aktif dalam kerjaya  seni mereka.Diharapkan rezeki Haiza sentiasa ada dan terus kekal dalam industri untuk tempoh yang lama.

Ikuti apa kata Haiza berkaitan kerjayanya sebagai penyampai radio dan kehidupan sebagai anak seni selama 23 tahun ini.

Tak Ada Istilah ‘Tak Ada Job’

MW: Trend artis jadi penyampai radio. Adakah sebab hendak kembangkan kerjaya atau sebab tidak ada tawaran atau job sebagai penyanyi atau sebab hendak mencari pendapatan tetap?

Kalau lihat trend selebriti sebagai penyampai radio ini sudah lama bermula. Strategi syarikat yang mungkin inginkan sesuatu yang berbeza. Lagipun sekarang ini radio bukan sekadar radio.

Radio sudah jadi radio digital. Audio dan visual digabungkan. Ini juga faktor mengapa selebriti sering dipilih untuk jadi penyampai radio untuk menarik pendengar memilih sesebuah stesen.

Artis atau selebriti adalah pemain industri dan juga aset. Tiada istilah tiada tawaran atau tiada job. Dari aspek bisnes, fikirkan mengapa selebriti atau artis itu dijemput menjadi  penyampai radio. Ini kerana mereka mempunyai kredibiliti, mempunyai followers dan sentiasa menjadi pilihan.

Haiza tidak tahu selebriti lain, tetapi kalau tanya Haiza, menjadi penyampai radio ini satu bonus. Sebahagian daripada marketing untuk bisnes-bisnes yang lain. Selain menyanyi, Haiza dan suami ada kafe yang kami usahakan.

Kami jumpa macam-macam pelanggan. Bila Allah beri rezeki, kenapa perlu tolak. Orang yang sudah bergelar jutawan pun masih lagi cari peluang untuk kembangkan bisnes. Apatah lagi kita yang biasa-biasa ini.

Imej Itu Penting..

MW : Imej amat penting bagi artis. Walau hanya dengar suara di radio tidak bermakna penampilan tidak dijaga. Bagaimana dengan Haiza?

Ya. Imej sangat penting. Biarlah umur kita berapa pun bagi Haiza imej perlu kita jaga. Macam Haiza cakap tadi, radio sekarang bukan radio zaman dahulu. Kita adalah barisan hadapan syarikat dan kena jaga identiti dan jaga penampilan.

Haiza sendiri kalau di konti setiap hari mesti bersiap. Haiza tidak gemar kalau orang melihat kita dalam keadaan tidak siap. Sekurang-kurangnya kena sentiasa dalam keadaan kemas dan bersih.

Muka sentiasa ada dalam media sosial (Ig, FB dan twitter) radio tempat kita kerja, makanya perlu ada tanggungjawab untuk diri kita berikan yang terbaik pada syarikat.

Sebagai selebriti saya sudah terbiasa dengan keadaan ini. Orang bayar untuk kita menyanyi, berlakon, mengacara, menjadi penyampai dan lain-lain jadi kita perlu jaga penampilan. Jangan ala kadar sahaja. Kita juga perlu ‘melabur’ untuk berikan yang terbaik pada client.

Jaga Kualiti, Populariti Datang Dengan Sendiri – Haiza

MW : Bagaimana dengan perkembangan dan kerjaya seni Haiza sekarang. Adakah Haiza hanya fokus pada kerja sebagai penyampai?

Kerjaya Haiza sebagai anak seni berjalan seperti biasa. Menyanyi, mengacara dan menjadi penyampai ini Haiza perlu atur dan lakukan sebaik mungkin.

Jadual setiap minggu perlu diuruskan dengan cekap agar tidak terlepas pandang dan sebagainya. Urusan kafe adalah urusan suami. Manakala MYHAIZA PARFUM adalah urusan Haiza dan staff lain.

Insya-Allah setiap kerja yang diberi kami akan fokus sebaik mungkin. Tidak terhad pada satu kerjaya sahaja.

MW: Apa komen Haiza, penyampai sekarang ini ada yang lagi popular dari artis?

Itu rezeki yang Allah sudah tentukan. 23 tahun dalam industri, Haiza rasa apa yang penting adalah kualiti kerja. Tetapi perlu tetap bersaing supaya tidak ketinggalan.

Jika kerja ada kualiti, populariti itu datang dengan sendiri.

Cari Duit Tambahan..

MW: Apa komen Haiza berkaitan dengan sesetengah artis yang sekarang sudah kurang aktiviti dan kerjaya seni mereka telah mencari cara baru tambah pendapatan dengan buat duit melalui review produk dan servis di Instagram?

Haiza rasa mereka bijak mencari peluang dan ruang untuk menjana pendapatan. Sebenarnya sama sahaja sistemnya cuma beza ialah selebriti sentiasa diberi tumpuan.

Kalau buat kerja yang ‘lari’ sikit dari industri sering dikata tak laku. Silap itu. Perlu ubah berfikir sedemikian.

Mereka bijak menggunakan medium mdia sosial yang ada. Selebriti ini sedang menambah pendapatan manakala yang sentiasa bercakap negatif masih makan gaji dan berada di takuk lama.

Pesan ‘orang lama’ dalam industri ini banyak benarnya. Moga temubual ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada orang baru dalam industri seni kita.

Foto : Tuan Azman Tuan Muda

Published by
Julie Roshana