Ujian demi ujian menimpa adakala mendewasakan diri untuk merubah menjadi lebih baik.Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya, menjadikan diri ‘insan terpilih’ agar lebih cekal, redha serta membina kekuatan dalam diri.Kasih sayang dan ikatan hubungan adik beradik berkongsi rahim daripada ibu yang sama, bagaikan air dicincang yang takkan putus.
Namun adakalanya, keterbatasan waktu dan kesibukan komitmen menguruskan keluarga dan kerjaya, menjarakkan hubungan dalam meluangkan masa bersama-sama.Sehinggalah ujian menimpa, hikmahnya ikatan adik beradik ini bertambah rapat, saling memerlukan dan menjadi penguat semangat.
Coretan oleh wanita cekal ini, Puan Azila Mahmood yang ketika ini sedang berhadapan dengan dugaan, apabila abang kandung sendiri, Khairul Annuar Mahmood,38 baru sebulan lebih disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4, semoga membuka mata kita agar menerima setiap ujian dengan berlapang dada serta pentingnya menjaga ikatan kekeluargaan dan hubungan adik beradik.
Wahai abangku yang berkongsi rahim ibu yang sama denganku.Kita kini dilanda ujian yang sangat hebat.Satu keluarga yang sebelum ini penuh gelak ketawa kini menahan air mata. Allahu… berat ujian mu Ya Allah..
Kita perlu kuat abang. Kerana dugaan yang hebat adalah untuk manusia yang hebat. Jadi orang hebat itu adalah kita sendiri. Barangkali ujian yang kita hadapi ini ialah peringatanNYA untuk kita yang sebelum ini hidup keluarga ini tidak cukup bersatu.Berkumpul sekeluarga hanya pada hari raya dan jarang sekali bertanya khabar akibat sibuk dengan kerja masing-masing.
Kini dengan hikmah dugaan ini, keluarga kita kembali bersatu dan saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kita berkumpul semula untuk memberi sokongan pada abang.
Allahuakbar. Allah Maha Besar.
Wahai abang, adik tahu walaupun berat dugaan ini buat adik, tapi berat lagi bahu abang yang memikul. Berat lagi abang yang bertarung dan berlawan dengan penyakit abang. Alhamdulilah kita semua redha dengan dugaan Allah ini. Kita sama-sama perbetulkan kesilapan kita.
Namun adik tahu abang akan sembuh. Abang hanya perlu kuat, bertahan dan lawan! Semangat abang akan bertambah kuat dengan sokongan keluarga yang tak berbelah bahagi untuk abang.
Terus lawan abang.Kami percayakan abang.Kami semua terlalu sayangkan abang dan kami akan sentiasa disisi abang.Dugaan ini tidak melemahkan kita abang.Tapi membuatkan kita menjadi lebih kuat untuk berjuang. Teruskan berjuang wahai abang. Satu-satunya anak lelaki mama abah dan satu-satunya abang buat kami.
Lawan abang! Banyak perkara lagi yang adik nak lakukan bersama sama abang. Kalau ada rezeki dan izin Allah, kita tunaikan umrah sama sama tahun ini ya. Abanglah pahlawan kami. Kami yakin dengan abang.And we love you so much.
6 tahun lepas, aku diuji dengan ketiadaan zuriat. Berkahwin selama 4 tahun tanpa anak. Allah saja tahu betapa sedihnya aku.Aku seorang manusia yang sangat sukakan kanak-kanak dan pada ketika itu hanya menumpang kasih pada anak-anak saudara. Bila mendengar perkhabaran rakan rakan mendapat anak, aku gembira tapi hati aku meraung. Sebab aku juga mahukan zuriat sendiri.Ya Allah.. aku ingin anak.. ini la rintihan hatiku hari-hari.
Sampailah aku memilih untuk redha sambil berusaha. Namun akhirnya Allah anugerahkan aku zuriat pada tahun ke 4 usia perkahwinan ku. Syukur Alhamdulilah. Ganjaran yang terindah dalam hidup aku. Aku kini punya zuriat yang dapat aku curahkan segala kasih dan sayang aku. Aku bahagia melihat keceriaan suamiku dengan zuriat kami sendiri.
3 tahun lepas pula aku diuji pula dengan kesempitan hidup. Perniagaanku gagal. Setiap kali susu dan pampers anak hampir habis, aku gelisah memikirkan mahu dapat duit dari mana untuk beli.Aku sangat teruji apabila setiap hujung bulan aku taktau mana lagi nak korek duit untuk bayar sewa rumah. Terpaksa tebalkan muka mengharap belas ehsan bapa mertua.Kadang aku teringin makan ayam. Lalu aku ke Tesco beli kaki dan tengkuk ayam. Itu lebih murah dan boleh dapat lebih banyak.
Aku sudah cukup teruji apabila tak mampu membayar roadtax kereta selama 2 tahun. Pergi mana mana pun sentiasa berlari dari polis atau JPJ. Cermin kereta retak dengan cat yang pudar juga selama 2 tahun. Air cond kereta tak berfungsi berbulan-bulan sampaikan anak ku Aisyah yang masih bayi demam panas kerana naik kereta tanpa air cond ketika musim el nino.
Kedengaran macam tak logik. Seorang yang bernama Azila Mahmood pernah mengalami kesusahan sampai tahap itu. Ya, aku pernah merasainya.Setiap memori itu terpahat dalam ingatan ku sebagai semangat aku pada hari ini.
Syukur alhamdulilah. Beberapa tahun aku teruji dengan kesempitan hidup, kini Allah beri aku kesenangan.Aku punya kereta yang lebih besar dari dulu. Aku mampu beli apa yang aku mahu dan wang sudah tidak menjadi masalah lagi. Keperluan cukup dan kehendak selalunya mampu dipenuhi.Aku juga mampu menghantar ibu bapa ku mengerjakan umrah. Pencapaian yang sangat bermakna dalam hidupku. Alhamdulilah..
Aku kira, hidupku sudah dasyat diuji sebelum ini. Namun aku silap. Hidup di dunia tidak akan sentiasa menyenangkan.Kadang kita dapat semua yang kita suka dan kadang kita takkan dapat lari dari ujian yang Allah akan bagi kerana Allah mahu menguji sekuat mana iman kita.
“Firman Allah, sungguh kami telah menguji orang orang sebelum mereka. Dan Allah pasti mengetahui orang orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta (Al Ankabut:3)
Diumur 32 tahun, aku ketemu ujian baru.Ujian yang tak pernah aku bayangkan.Dalam keghairahan aku mengusahakan perniagaan, aku mendapat perkhabaran yang abang aku mendapat kanser.
Apa kanser? Ya, kanser. berderau darah aku bila dapat tahu. Satu penyakit yang semua orang takut.Kanser paru paru stage 4. Kanser itu hampir sebesar paru-paru abang aku sebelah kanan dan kanser itu dah merebak dan memakan tulang tengkuk abang aku.
Allahuakbar… ujian yang sangat hebat untuk aku. Separuh jiwa aku lemah.
Walaupun kita jarang berjumpa tapi sekurang-kurangnya abang aku ada. Jadi aku tak perlu risau.Aku lihat wajah anak-anak buahku yang masih kecil. Aku lihat wajah kakak iparku yang lemah. Aku seolah tak dapat menerima kenyataan.
Kenapa ini berlaku dalam keluarga aku?
Abang sentiasa sihat.
Abang aktif dan ceria.
Kenapa tiba tiba abang sakit? Soal aku dalam hati.Aku murung dan sentiasa menangis.
Suami memeluk aku lalu bersuara.
“Siapalah kita untuk menolak takdir. Ini bukan kerja kita. Ini semua kerja Allah. Banyak berdoa padaNYA. Pandanglah hikmah disebalik semua dugaan ini.”
Barangkali aku lupa. Allah adalah sebaik-baik perancang.Lalu aku mula redha dan membina kekuatan dalam diri. Kalau aku lemah, bagaimana pula abang aku yang menanggung? Abang perlukan kekuatan dari aku. Jadi aku perlu kuat!
Wahai abang, aku takkan mampu memahamimu walau aku cuba. Kerana aku tak pernah merasai berada di tempatmu.Namun aku berjanji, aku takkan pernah meninggalkanmu mengharungi semua dugaan ini. Aku akan sentiasa menemanimu.
Kini aku mula faham. Bila kita rasa ujian kita dah sangat besar, masih ada orang yang lebih teruk ujiannya dari kita.Apalah sangat ujian kesempitan hidup aku dulu kalau nak dibandingkan dengan ujian yang abang aku tanggung ketika ini. Menjadi dewasa bukanlah mudah sebenarnya. Ini ayat yang aku selalu ulang apabila menghadapi ujian-ujian besar.
Kerana aku juga masih cuba memahami erti kehidupan yang sebenar.Part paling last adalah kembali kepada fitrah. Dimana kita tiada kuasa untuk mengubah apa saja yang telah Allah rancangkan. Aku mula melihat hikmah-hikmah besar disetiap dugaan dan musibah.Aku redha dan abang yon juga redha.
Namun perkataan give up takkan ada dalam fikiran aku. Aku akan berusaha yang terbaik untuk abang yon.Dan aku pasti. Abang Yon juga takkan pernah mengalah.
Buat para pembaca yang sedang berhadapan dengan ujian semoga terus cekal dan kuat menghadapi dugaan yang menimpa. Pasti ada hikmahnya yang tersendiri serta ada sebab kita yang ‘terpilih’ menghadapi ujian ini.
Sumber:Azila Mahmood