Semakin dekat tarikh jangkaan isteri bersalin, semakin berdebar hati si ibu. Walaupun sudah mempunyai pengalaman melahirkan cahaya mata, aku tetap resah gelisah. Maklumlah tidur malam pun tidak lagi nyenyak.
Baby dah semakin besar, pergerakannya membuatkan aku kurang selesa. Nak-nak time baby mengeras, rasa macam nak putus pinggang. Puas beralih ke kiri ke kanan, mata tak juga pejam. Inilah pengalaman apabila kandungan dah sarat. Aku pasti ibu-ibu di luar sana pun pasti mengalami perkara yang sama.
Pernah juga aku terlelap di atas sofa kerana tidak selesa tidur di atas katil. Macam-macam ragam. Apabila kandungan sudah masuk minggu ke 36, debaran semakin kuat. Mulalah terbayangkan kontraksi dan macam-macam lagi. Memang sakit…siapa yang berani nafikan. Inilah saat yang paling menguji kesabaran, selepas keletihan menahan sakit tiba pula masa untuk meneran baby keluar.
Seluruh tenaga dikumpul untuk melahirkan zuriat suami tercinta. Dugaan belum habis di situ, apabila bayi selamat dilahirkan. Bagi ibu yang bersalin biasa, ada juga yang dijahit kerana luka bersalin. Nak menjerit malu, memang sakit. Allah sahaja yang tahu pengorbanan seorang isteri dan ibu.
Segala isi dunia ini tidak akan dapat membalas jasa seorang isteri dan ibu yang bertarung nyawa melahirkan anak. Kepada suami-suami di luar sana, temanilah isteri ketika melalui saat getir ini. Genggam tangannya dan beri semangat. Suami mesti berdoa agar isterinya dimudahkan bersalin.
Ketika di dalam pantang, berbaktilah kepada isteri. Tidak salah anda memanjakan isteri kerana mereka sudah banyak berkorban. Jika pandai memasak, maka masaklah untuk isteri sepanjang tempoh berpantang. Bantulah isteri menguruskan anak-anak dan bayi yang baru dilahirkan. Berilah ruang kepada isteri untuk berehat agar kembali pulih.
PESANAN PENAJA-SUAMI JANGAN TAHU SERONOK JE MESTI JALANKAN TANGGUNG JAWAB!
Tip Agar Kulit Perut Cantik
1. Sejak awal kandungan lagi, oles atau sapukan losyen, minyak kelapa dara, cocoa butter mahupun minyak Zaitun pada kulit bahagian perut.
2. Bukan sahaja ia melembapkan kulit malah lebih penting lagi mencegah stretch mark.
3. Sebaik-baiknya sapu dua kali sehari, pagi dan malam sebelum tidur.
4. Selepas bersalin, untuk yang melahirkan anak secara normal gunakan bengkung kain kasa. Manakala untuk wanita yang melahirkan anak secara pembedahan, gunakan bengkung khas.
5. Bengkung membantu menganjalkan kembali kulit dan mengempiskan perut.
6. Bagi mendapatkan kesan yang terbaik, sebelum berbengkung sapukan pati halia atau minyak panas. Bagi yang bersalin secara pembedahan, anda tidak perlu mengoles minyak panas atau pati halia bimbang memudaratkan.
Tip Penjagaan Parut Pembedahan
1. Selepas mandi, pastikan lap bahagian parut dengan kain yang lembut seperti kain lampin. Tekap perlahan-lahan bagi mengelak kecederaan.
2. Kemudian, anginkan bahagian parut di depan kipas angin atau boleh juga gunakan pengering rambut.
3. Tujuannya agar air benar-benar kering dan tidak masuk ke dalam kulit.
4. Elakkan menggaru jika gatal, ia boleh menyebabkan parut terbuka dan jangkitan kuman.
5. Pastikan bahagian parut sentiasa kering, bersih dan tidak berpeluh.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI