2 Resepi Mee Kuning Buat Sendiri, Guna Mesin Boleh, Uli Tangan Pun Jadi

Share

MW himpunkan dua versi membuat mee kuning buat sendiri. Satu boleh dibuat ketika emergency apabila ketiadaan mesin potong mee.

Satu lagi resipi boleh dicuba buat anda yang ada mesin potong mee. Kalau dah mahir, boleh jadikan sumber pendapatan keluarga.

Resipi mee kuning emergency ini dikongsikan oleh Puan Fahrini Marsyaley. Manakala mee kuning guna mesin pula dihasilkan oleh Puan Tahrunnisah Jali.

 

Mee Kuning Emergency Tanpa Mesin

Resepi: Puan Fahrini Marsyaley

(Adunan ini boleh makan untuk 2-4 orang)

Bahan-bahan

250 gram tepung gandum

Secubit garam

1 biji telur ayam

50 ml air

Nota: saya lebihkan sedikit sukatannya supaya doh dapat diuli dengan baik) 

1 sudu teh serbuk kunyit

Caranya

  1. Gaul semua bahan sampai jadi doh dan tak melekat di tangan.
  2. Potong doh jadi 4-5 bahagian.
  3. Canai satu-satu dan nipis.
  4. Potong guna pisau.
  5. Pastikan air rebusan mendidih baru masukkan mee ke dalam air.
  6. Rebus dalam jangkamasa seminit dua. Jangan terlalu lama nanti mee jadi lembik
  7. Angkat dan toskan cepat-cepat di bawah air paip sejuk supaya memberhentikan mee dari terlebih masak.

Nota

  • Buatlah berulang-ulang sampai doh tadi habis.
  • Sediakan pula bahan nak goreng mee tu. Bawang, ayam, telur, sawi dan sebagainya.

Mee emergency ini dibuat kelmarin, sebab nak makan sangat. Gara-gara tak ada mee langsung di rumah dan malas keluar ke pekan. So tanya En Google la resipinya.

“Semua bahan ada kat dapur. Apa lagi beraksilah. Walaupun benda penting tak ada ‘Mesin Buat Mee’.

Jadi dapat idea dari langit. Canai doh pakai kayu pencanai, potong halus-halus pakai pisau, rebus dan tadaaa siap mee goreng cik kak. Licin mee goreng tu.

“Mee ala-ala kue teaw. Sedap pula. Satu famili suka. Paling best buatan sendiri. Pewarna guna kunyit je”

“Bagi yang ada mesin mee lagi senang. Masuk dalam mesin, memang cantik kejadiannya. Saya tak ada mesin. Tu la cari idea ni. Alhamdulillah menjadi.”

 

Mee Kuning Guna Mesin

Resipi: Puan Tahrunnisah Jali

(Kalau dah mahir, bolehlah buat niaga sebab 500 gram tepung gandum tu dapat menghasilkan 1.5 kg mee kuning)

Bahan-bahan

500 gram tepung gandum

1 biji telur

Pewarna kuning

Nota: Pewarna ni agak-agaklah ya jangan banyak sangat. Saya guna yang serbuk secubit je. Kalau cecair tu agak-agak. Penggunaan kunyit jika dicampur dengan air kapur akan jadikan warna oren. Sebaik-baiknya pewarna kuning)

2 sudu besar air kapur

200 ml air

air = 200 ml

Caranya

  1. Panaskan air dalam periuk untuk merebus mee dan masa nak masukkan mee nanti masukkan garam dalam 2 sudu besar (Saya tak masuk dalam gandum sebab nak jaga mesin dari berkarat).
  2. Masukkan tepung gandum dalam bekas dan tuangkan air.
  3. Gaul sebati. Doh ini agak keras sedikit dari doh karipap ya. Tak payah bagi licin pun tak apa, asal semua sebati.
  4. Bahagikan 3 bahagian dan leperkan.

Menggunakan Mesin

  1. Masukkan doh pada bahagian yang tiada gigi dan laraskan no. 1(mesin mee saya ada 6 laras (1-6). 1 bukaan paling besar dan 6 tu bukaan paling kecil/halus_. Ada juga yang laras bukaan ada 1-9 (1 tu laras bukaan paling besar dan 9 tu laras paling halus/nipis) alirkan doh pada mesin tersebut sehingga habis. Buat 2 kali (2 kali masuk).
  2. Kemudian, laraskan semula ke no. 4 (bagi laras bukaan 1-6 atau 2/7 bagi laras bukaan 1-9.
  3. Masukkan kepingan mee tadi. Yang ni untuk nipiskan mee buat 2 kali.
  4. Kemudian, masukkan kepingan yang dah nipis ini pada mesin yang ada gigi halus.
  5. Masukkan kepingan mee tadi dan pulas sampai habis.
  6. Sekarang masa nak merebus mee. Rebus selama 5 minit. Masa masukkan mee jangan kacau dulu. Biarkan dalam 1-2 minit baru kacau. Kalau kacau masa masukkan mee nanti mee akan putus.
  7. Cukup 5 minit toskan mee.
  8. Terus masukkan mee salam air paip biasa. (ini untuk menghilangkan kanji pada mee).
  9. Kacau-kacau untuk buang kanji.
  10. Toskan semula mee sehingga kering dan masukkan 3 sudu besar minyak masak dan gaul mee sampai sebati.

Resepi mee kuning, insyaallah bersih dan halal serta dari air tangan kita. Dan ia sangat menjimatkan.

Sumber/Foto: Fahrini Marsyaley , Tahrunnisah Jali

Published by
Netty Ah Hiyer