Allahurabbi, malangnya nasib seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang kena cucuh api di kemaluan dan dirotan di bahagian kepala di pusat jagaan Lorong Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad, Kuantan.
Kanak-kanak itu dikenakan hukuman tidak masuk akal oleh dua petugas pusat jagaan kanak-kanak, ini termasuk seorang lelaki dikatakan mencucuh api pada kemaluan dan mengugut untuk menggunting kemaluan mangsa, selain memukul badan serta kepala mangsa menggunakan rotan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku jam 7 malam dan disedari bapa mangsa berusia 25 tahun selepas rakaman video kejadian itu tersebar di media sosial.
Apa yang difahamkan, kanak-kanak terbabit dipukul tanpa belas kasihan kerana melakukan kesalahan kencing berdiri, mencuri barang dan tidak mencuci selepas buang air besar.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata dua petugas pusat jagaan itu sudah menghubungi bapa mangsa selepas menyedari video berkenaan viral dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.
Mereka sudah hubungi bapa kanak-kanak itu dan memaklumkan tindakan merotan mangsa dibuat sebagai proses pembelajaran, bukan untuk mendera.
Kalau ikutkan cerita, mangsa adalah anak tunggal dan sebelum ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Rangin, tetapi dihantar ke tempat itu oleh bapanya selepas didapati tidak begitu berminat untuk belajar.
Pihak polis merampas rotan berukuran 58 sentimeter dan satu gunting rambut yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Mohamad Noor juga sudah meninjau pusat jagaan itu dan tidak menolak kemungkinan terdapat unsur penderaan cuba dilakukan terhadap mangsa.
Dua petugas pusat berkenaan yang berusia 42 dan 43 tahun ditahan jam 10 malam tadi bagi membantu siasatan.
Mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan kerana mengalami kecederaan pada bahagian punggung.
Manakala dua petugas pusat jagaan itu direman dua minggu bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
INFO: Sinar Harian