2 Kali Bercerai Dikatakan Tak Pandai Masak, Suami Ketiga Pula Tak Reti Merasa, Tapi Akhirnya Wanita Ini Jadi Tukang Masak Kem

Atas permintaan tuan punya diri (tukang masak), saya paparkan nukilannya untuk membantu semua yang menghadapi masalah serupa. Memang salah satu cara memberikan kelegaan pada diri sendiri terhadap masalah-masalah yang dihadapi adalah dengan menceritakannya kepada orang lain.

Namun, jujur saya katakan, saya tertawa membaca cerita ini. Dalam simpati menggunung tinggi, tetap lucu mencuit hati. Mari kita ikuti kisah ini, ia sedih namun lucu juga serta bernilai motivasi;

Trauma Dengan Facebook

“Mungkin Dr. dah lupa pada saya, saya banyak berkongsi masalah rumah tangga saya kepada Dr. lima tahun yang lepas. Lepas itu saya off Fb sebab trauma dengan Fb ni.

“Kali ini saya akan berkongsi semula, kisah pahit manis hidup saya, mana tahu Dr. dapat selitkan dalam buku-buku Dr. nanti. Seronok juga bila kisah kita dikongsi untuk pembaca di luar sana.”

Warna kehidupan saya macam pelangi, kadang timbul gerhana matahari. Bagaimanapun, kutukan dan hinaan jika kita terima secara positif, ia boleh merubah hidup kita. Ini pengalaman hidup saya sendiri.

Saya telah berkahwin sebanyak tiga kali dan ketika ini usia saya 38 tahun. Perkahwinan pertama pada usia 18 tahun, bercerai tiga tahun selepas itu.

Saya tak pandai masak, habis sekolah terus kahwin dan duduk dengan keluarga mentua. Bayangkan saya yang memang tak ada ilmu masak memasak ni duduk pulak dengan mentua, memang huru-haralah, kan?

Mak mentua suruh masak ayam masak kicap, saya goreng ayam curah kicap. Haaa, haaa…

“Saya bercerai sebab kes dera, suami kaki pukul. Saya dijadikan tempat dia lepaskan marah. Tapi berita saya bercerai orang cakap sebab saya tak pandai masak.

IKLAN

Bercerai Sebab Tak Pandai Masak?

Saya kahwin kali kedua, duduk rumah sendiri. Jadi saya tak ada masalah fasal masak. Saya masak saja benda yang senang, tapi saya bercerai lagi bukan juga sebab saya tak pandai masak.

Tapi heboh orang perkatakan kes cerai itu sebab saya tak pandai masak. Dari situ pelan-pelan saya belajar buka buku resipi, bukan belajar masak. Bila selalu buka buku resipi timbul minat untuk masak.

Perkahwinan ketiga ini dah masuk lapan tahun, saya berkahwin dengan anggota tentera dan duduk dalam kem.

ALLAH jodohkan saya dengan lelaki yang lidahnya kebas, tak pandai merasa masin ke tawar ke, askar, kan… boleh makan apa saja.

Tiap kali masak suami saya makan saja. Walaupun saya sendiri tak tertelan apa yang saya masak.

IKLAN

Lauk Masin Macam Lori Garam Tumpah Pun Suami Tak Komplen

Kadang masin sangat macam lori garam tumpah depan rumah, kadang tak ada rasa langsung tapi suami tak pernah komplen.

Dari situ saya berazam nak buktikan saya boleh, sebab kesian tengok suami yang sentiasa redha, tukang perabis makanan yang tak berapa nak sedap tu.

Saya belajar masak, belajar dengan kawan dan buku.

Dipendekkan cerita, Alhamdulillah, sekarang ni saya mencari rezeki melalui masakan. Saya jual kuih-muih, saya juga merupakan tukang masak peribadi seorang pegawai dalam kem.

Saya ambil upah masak untuk keluarga dia. Tiap kali saya masak dia mesti cakap sedap. Kalaulah dia tahu siapa saya sebelum ni, mesti dia tak sangka, kan?” Lily Fakrulazi

IKLAN

Dari Tak Tahu Masak, Jadi Tukang Masak

Lihatlah betapa hebatnya wanita ini. Daripada langsung tak tahu masak hingga jadi tukang masak. Ada ke ayam masak kicap, curahkan kicap je ke atas ayam goreng. Isyk, isyk… itu memang kelakar dan buatkan saya tertawa.

Apabila berkahwin dengan suami ketiga, lidahnya kebas pula, hingga tak dapat membezakan makanan itu maniskah, tawarkah. Memanglah lucu bukan?

Kita boleh jadi apa saja jika kita sanggup tranformasikan diri kita. Jika selesa di takuk lama jangan salahkan orang jika terus dihina. Orang merendah-rendahkan kita barangkali sebab kita sendiri meletakkan diri kita pada kedudukan yang rendah untuk orang nilai begitu.

Mungkin penderaan yang berlaku semasa perkahwinan pertama dan kedua susur galurnya datang daripada makanan juga. Apabila tekak tak rasa nikmat semua layanan selepas itu turut menjadi pahit.

Tak Susah Pun Nak Tawan Hati Suami

Mana ada suami yang tersenyum kalau masakan isteri tak sedap. Hendak menawan suami ini bukanlah payah sangat, pastikan perutnya sentiasa kenyang oleh makanan yang dia suka, insya-Allah okeylah dia.

Maka itu, belajarlah masak dan mahirkanlah diri dalam seni yang amat penting ini. Ia sangat berguna sebab setiap rumah tangga pasti memerlukan seorang chef supaya semua orang dalam rumah itu tak perlu pergi hotel untuk makan makanan best-best!

Suami akan diam apabila perutnya kenyang, ingat tu.

Penulis : HM TUAH ISKANDAR al-Haj, penulis ruangan Motivasi majalah Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI