Perjalanan Tilmiz Dr Adlee dan Tilmizah Dr Ain Syafa di Akademi Qurra’ 2024 berakhir di peringkat suku akhir di mana kedua-duanya merupakan pelajar di bawah bimbingan Mudarris Ammar Mukhlis.
Menurut juri tetap program, Ustazah Sharifah Khasif, ke semua peserta menunjukkan peningkatan yang cukup memberangsangkan dan kesilapan kecil boleh menjejaskan pemarkahan.
“Potensi mereka semakin meningkat dan kesilapan yang sedikit boleh menjadi punca mengapa mereka tersingkir. Juri akan menilai secara keseluruhan persembahan, kematangan dan suara dan episod separuh akhir ini lebih sengit dan banyak elemen penting dalam taranum dan bacaan seperti fasohah, tajwid dan kelunakan suara.
“Hari ini cabaran Salalim
yang diberikan sangat mencabar dan peserta tidak sempat untuk berfikir dalam masa dua minit, namun inilah cabarannya. Elemen ini menyebabkan mereka gagal menyampaikan bacaan sekaligus tidak dapat menarik hati juri. Malah, jumlah markah peserta juga tidak jauh berbeza”.“Saya agak terkejut kerana terdapat dua penyingkiran kerana dua peserta ini jarang berada pada kedudukan terendah. Cuma Dr Adlee dan Dr Ainsyafa agak tersasar sedikit dan tidak seimbang penyampaian mereka. Ia adalah satu aib bagi mereka yang bertaranum,” jelas Ustazah Sharifah Khasif.
Penglibatan Dr Adlee dan Dr Ainsyafa merupakan satu pemangkin buat golongan profesional terlibat dalam Al-Quran secara serius.
“Saya berbangga dengan mereka kerana mereka berjaya sampai ke peringkat ini walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai seorang doktor. Saya merasakan satu kerugian buat kami kerana saya mahu menonjolkan orang yang berpendidikan tinggi bukan sahaja sebagai pemimpin pada masa hadapan, namun mereka juga pemimpin Al-Quran.
“Saya berharap peserta seterusnya akan lebih baik dari cara penyampaian. Kalau boleh mereka lebih matang dalam mengalunkan suara, kita mahu orang terpegun dengan suara yang dikeluarkan. Pandai pilih harakat dan tabaqah suara. Kalau boleh tidak langsung melakukan kesilapan,” tambahnya lagi.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE.
Penyingkiran dua orang doktor ini memberi kesan emosi terhadap peserta lain di mana kedua-duanya disifatkan sebagai penyeri suasana.
“Mungkin kami berdua merupakan penyeri bagi adik-adik peserta dan kru produksi. Kami banyak bergelak tawa, namun saya masih ingat pesan Luqman, main-main juga, Al-Quran jangan lupa,” kata Dr Adlee.
Dr Ainsyafa menyatakan kesyukuran apabila mendapat peluang bersama Akademi Qurra’ 2024 bagi mengasah kembali ilmu Al-Quran.
“Saya sendiri sebenarnya tidak menjangkakan akan lepas hingga ke minggu keempat, namun apabila bertahan hingga minggu keenam, ia satu Rahmat dari Allah. Saya merupakan graduan dari Darul Quran Jakim dan menghafaz Al-Quran, kemudian saya beralih ke bidang sains dan bekerja di klinik kesihatan.
“Apabila tinggalkan Darul Quran, kemahiran membaca saya agak tumpul dan penyertaan ke Akademi Qurra’ ini merupakan satu jalan untuk mengasah Kembali cinta kepada Al-Quran. Walaupun agak lewat, pada usia 29 tahun untuk kembali, namun ini jalan terbaik,” jelas Dr Ainsyafa.
Sementara itu, Tilmiz Nabil dinobat sebagai penerima Anugerah Alunan Terindah yang membawa pulang hadiah RM500 beserta rehal.